Keputusan siasatan kes Juru Detention Camp

Soalan Bertulis YB SIM TZE TZIN (Pantai Jerejak): Apakah keputusan siasatan kes Juru Detention Camp untuk pendatang asing tanpa izin. Bolehkah pegawai kebajikan dan NGO dibenarkan melawat kem tersebut. Apakah perancangan untuk memperbaiki keadaan di sana.

Jawapan: Keadaan persekitaran dan kesihatan penghuni di Depot Tahanan Juru berada dalam keadaan yang amat baik dan terkawal. Sehingga 3 Ogos 2009, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku terutamanya masalah jangkitan penyakit. Selepas berlakunya krisis jangkitan penyakit Leptospirosis melanda Depot Tahanan Juru baru-baru ini, pihak Jabatan Imigresen Negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah-langkah pencegahan agar perkara ini tidak berulang lagi. Jabatan Kesihatan Negeri secara dasarnya telah mengisytiharkan bahawa Depot Tahanan Juru adalah bebas daripada wabak tersebut.

Antara tindakan yang telah diambil ialah :-

(a) Setiap blok dibersih dua (2) kali seminggu dan ia dilakukan sendiri oleh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI);

(b) Pihak depot juga telah menggantikan bekas makanan (tray) lama kepada bekas makanan yang baru dan mempunyai penutup;

(c) PATI akan dibawa ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan jika ada yang mengadu sakit atau demam. Di samping itu, pihak depot juga telah menyediakan ubat-ubatan asas bagi tujuan kecemasan dan rawatan segera;

(d) Pihak hospital juga telah diarahkan dan dibenarkan membuat
pemeriksaan kesihatan secara berkala di Depot Tahanan Juru sebanyak dua (2) kali dalam tempoh sebulan. Rawatan ini adalah rawatan berjadual yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang; dan

(e) Kebajikan petugas-petugas atau pegawai-pegawai depot juga diberi perhatian dan diutamakan dengan memberi suntikan vaksin Influenza A (H1N1).

Pegawai Kebajikan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dibenarkan melawat kem berkenaan dengan syarat mendapatkan kebenaran daripada Pengarah Imigresen Negeri dan Komandan Depot Tahanan Juru.

Leave a Reply