UMNO sekali lagi meneruskan fitnah dan tohmahan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan mendakwa bahawa Program Penghargaan Warga Emas dibiayai oleh sumber judi haram dan bila ini dibuktikan palsu, UMNO mengalih kepada program Rakan Anti-Kemiskinan (RAK) untuk membasmi miskin tegar. Taktik jahat seribu jahat bertujuan menggagalkan program ini daripada kerajaan berjiwa rakyat PR yang memberi manfaat kepada rakyat.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan tunduk kepada usaha UMNO mengganggu-gugat program penghargaan warga emas yang membayarkan RM100 setiap tahun kepada semua yang melebihi 60 tahun. Sehingga sekarang, hampir 110,000 warga emas di Pulau Pinang telah mendaftarkan diri dan akan mendapat bayaran RM100 setiap tahun demi mengenang budi atas sumbangan warga emas. Di samping itu, si waris warga emas yang mendaftarkan diri akan menerima RM1,000 sekali sahaja bila warga emas meninggal dunia. Sebanyak RM20 juta telahpun diperuntukkan untuk program ini dalam Belanjawan 2010 pada tahun lepas.