Kenyataan Akhbar Ketua Menteri Pulau Pg Lim Guan Eng Di Komtar George Town Pada 28.11.2012
Adakah Kerajaan Persekutuan BN Bercadang Menaikkan Harga Tol Jambatan Kedua Pulau Pinang Lebih Tinggi Daripada RM9.40 Yang Pasti Akan Dikenakan Juga Untuk Jambatan Pertama Yang Kini Pada Tahap RM7? BN harus menjawab soalan penting ini berikutan keengganan YB Menteri Kerja Raya menjawab soalan saya di Parlimen tentang kadar tol yang akan dikenakan sebaik jambatan Kedua Pulau Pinang dibuka untuk lalulintas pada Nov 2013.
Dalam jawapannya kepada saya secara bertulis pada 26 Nov 2012, YB Menteri hanya menyatakan bahawa kadar tol ini akan diumumkan setelah keseluruhan projek ini disiapkan kelak pada Sept 2013. Sebelum ini Kerajaan Persekutuan BN menyatakan kadar tol Jambatan Kedua Pulau Pinang telahpun ditetapkan pada harga RM9.40. Ini bermakna bahawa kadar tol untuk Jambatan Pertama Pulau Pinang akan dinaikkan daripada RM7 kepada RM9.40 kerana tidak ada sesiapa akan gunakan Jambatan Kedua sekiranya kadar tolnya jauh kebih tinggi daripada Jambatan Pertama. Malah berkemungkinan besar pengguna kenderaan akan lebih memilih Jambatan Pertama sungguhpun kadar tol kedua-dua jambatan adalah sama kerana jarak Jambatan Kedua sepanjang 23.5km adalah lebih panjang dan memakan duit minyak berbanding dengan Jambatan Pertama sepanjang 13km.