Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1435 DAP Oleh Setiausaha Agung DAP Dan Ahli Parlimen Kawasan Bagan Lim Guan Eng Di Kuala Lumpur Pada 27.7.2014.
Salam Aidilfitri saya ucapkan kepada umat Islam di mana sahaja berada serta selamat bercuti kepada semua rakyat Malaysia. Kepada mereka yang bertugas pada 1 Syawal ini, khususnya anggota keselamatan negara kita, saya luahkan rasa syukur atas kegigihan dan pengorbanan mereka untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan kita semua.
Sesudah berpuasa selama sebulan sepanjang Ramadan, inilah masanya umat Islam riang gembira menyambut ketibaan Hari Raya. Namun kemeriahan Aidilfitri kali ini sudah tentu diinsafi dengan tragedi yang menimpa Malaysia.
Saya bagi pihak DAP ingin sekali lagi merakamkan rasa kepiluan dan kesedihan serta doa kami kepada keluarga dan kenalan mangsa-mangsa tragedi MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine baru-baru ini. Dan juga MH370 yang masih kehilangan di Lautan Hindi.