Insentif yang diberikan untuk pemohon yang berpendidikan tinggi bagi sektor awam

Soalan Bertulis YB. TUAN JAGDEEP SINGH DEO A/L KARPAL SINGH( Dato Keramat): Apakah insentif-insentif yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menarik lebih pemohon-pemohon yang berpendidikan tinggi untuk menyertai sektor perkhidmatan awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Jawapan: Perkhidmatan awam merupakan satu cabang perkhidmatan yang penting bagi urusan mengurus tadbir negeri dan negara. Selaras dengan itu, penyediaan insentif-insentif yang diberikan kepada pemohon-pemohon yang berjaya menyertai perkhidmatan awam negeri. Adalah seperti yang terkandung di dalam Perintah-Perintah Am dan Arahan Pentadbiran serta Pekeliling dan Surat Pekeliling yang berkuatkuasa dari masa ke semasa yang menyatakan secara terperinci berhubung dengan perkara-perkara berikut:

i. Pelantikan dan penetapan gaji yang lebih tinggi mengikut kelulusan dan kelayakan pemohon;

ii. Pergerakan gaji tahunan yang tinggi (jika lulus peperiksaan yang ditetapkan dengan cemerlang);

iii. Peluang kenaikan pangkat;

iv. Peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi (sama ada di dalam negera atau luar negara) dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan;

v. Kemudahan cuti yang pelbagai selain cuti tahunan misalnya cuti melanjutkan pelajaran, cuti menunaikan fardhu Haji, cuti tanpa rekod kerana menyertai pasukan sukarelawan dan lain – lain lagi;

vi. Pinjaman penuh perumahan dan kenderaan;

vii. Pinjaman komputer;

viii. Kemudahan telefon bimbit percuma untuk Kumpulan Pengurusan & Profesional (maksimum hingga RM750.00);

ix. Hadiah di atas kecemerlangan dalam perkhidmatan seperti Anugerah Khidmat Cemerlang serta Anugerah Bintang & Darjah Kebesaran;

x. Kemudahan rawatan secara percuma di Hospital Kerajaan;

xi. Tuntutan rawatan perubatan (hospital swasta) bagi kemudahan yang tidak dapat ditawarkan oleh hospital kerajaan; dan

xii. Lain – lain lagi mengikut peraturan dan pekeliling yang berkuatkuasa dari semasa ke semasa.
Kemudahan – kemudahan ini terbuka kepada semua penjawat awam tanpa mengira kaum, umur dan jantina.

Leave a Reply