UCAPAN BAJET TAHUN 2015 NEGERI PULAU PINANG oleh YAB TUAN LIM GUAN ENG KETUA MENTERI PULAU PINANG
KETIKA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2015 DI DEWAN UNDANGAN NEGERI PADA 7 NOVEMBER 2014
“MELABUR DALAM PENDIDIKAN DAN MENJANA KEMAJUAN DEMI MEMENANGI MASA DEPAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT”
YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,
Saya mohon mencadangkan supaya rang undang-undang yang bertajuk “Suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2015 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca kali kedua.
PENDAHULUAN
YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,
Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana dengan izin-Nya saya dapat berdiri di dalam Dewan yang mulia ini bagi menyampaikan ucapan Bajet Negeri Pulau Pinang tahun 2015 dalam persidangan dewan pada kali ini.
2. Saya juga ingin menzahirkan rasa syukur kepada Tuhan kerana diberi kesempatan kepada saya dan semua kepimpinan negeri untuk meneruskan tugas yang diamanahkan dan saya bagi pihak kepimpinan negeri beriltizam untuk melakukan segala yang termampu untuk terus membela dan menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri. Dengan usaha gigih dan bersungguh-sungguh, pengurusan serta program pembangunan yang terancang inklusif dan seimbang ini telah banyak memberi impak ke atas kualiti hidup rakyat.
YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,