UCAPAN PENGGULUNGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI (PART 3)

37. Telah menjadi amalan penyediaan bajet di Negeri Pulau Pinang sejak dahulu lagi menyediakan Bajet Berdefisit kerana berasaskan kepada kedudukan ekonomi dan kewangan negeri. Penelitian ke atas penyediaan Bajet di Negeri Pulau Pinang sejak tahun 1990 mendapati bahawa tidak pernah Bajet Surplus disediakan di negeri ini walaupun dalam keadaan ekonomi negeri yang amat memberangsangkan di mana negeri ini pernah mencapai tahap pertumbuhan ekonomi tujuh tahun berturut-turut melebihi 7 peratus setahun.

38. Jika dihalusi Bajet Mengurus Negeri yang disediakan, Ahli-ahli Yang Berhormat akan mendapati bahawa sebahagian daripada perbelanjaan pembangunan adalah dibiayai daripada Bajet Mengurus iaitu secara caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM40 juta yang diambil daripada B.16 40000 : Jabatan Kewangan Negeri – Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Oleh itu dalam kegawatan ekonomi global sekarang ini yang dijangka akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negeri tidak lama lagi, Kerajaan Negeri perlu lebih berhati-hati dan dengan demikian anggaran Bajet Berdefisit perlu disediakan termasuklah menyediakan peruntukan dalam bentuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan. Kedudukan Bajet Kerajaan Negeri dari tahun 1990 hingga 2009 adalah seperti berikut:

39. Berikutan dengan kegawatan ekonomi sekarang adalah dijangkakan kutipan hasil tahun 2009 bagi lesen dan permit, bayaran perkhidmatan khususnya berkaitan pembangunan tanah, bayaran premium bagi pemberian milik tanah dan bayaran khas akan berkurangan bukan sahaja berbanding pendapatan tahun 2007 tetapi juga berkurangan daripada anggaran tahun 2008. Anggaran kutipan hasil adalah seperti berikut:

40. Mengenai tambahan perbelanjaan emolumen dan perjawatan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, ianya adalah disebabkan penstrukturan semula organisasi di kedua-dua jabatan tersebut iaitu:

(i) Pengwujudan unit-unit baru iaitu unit Komunikasi Korporat, Unit Kawal Selia Sumber Air dan PEGIS di PSUK;

(ii) Anggaran Mengurus bagi Jabatan Bekalan Air tidak disediakan bagi tahun 2009 kerana jabatan ini telah diserapkan dan diletakkan di bawah PSUK; dan

(iii) Bagi Jabatan Perkhidmatan Veterinar tambahan perjawatan adalah disebabkan penstrukturan semula organisasi yang melibatkan kewujudan unit baru iaitu Bahagian Regulatori yang bertanggungjawab memantau Industri Asas Tani (IAT) dan Sistem Akreditasi Ladang Ternakan (SALT) dan penguatkuasaan untuk memastikan industri veterinar sentiasa terpelihara dari segi kesihatan

41. Berhubung perkara yang dibangkitkan oleh YB Sungai Dua, Kerajaan Negeri sememangnya menyediakan peruntukan untuk pelaksanaan projek-projek kecil di semua kawasan DUN. Bagi KADUN yang diwakili pembangkang, telah diwujudkan Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Ketua Menteri untuk menyelaras dan meluluskan cadangan projek-projek kecil di 11 KADUN terlibat.

42. Sementara itu, di bawah Maksud Tanggungan T.03 Jabatan Kewangan Negeri, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sejumlah RM3.32 juta bagi tahun 2008 bagi pembayaran balik pinjaman perumahan kos rendah. Jumlah ini adalah berdasarkan bayaran anuiti mengikut jadual.

43. Berkaitan dengan pembayaran balik pinjaman projek bekalan air pula, peruntukan tidak disediakan dalam tahun 2009. Ini ialah kerana formula penyelesaian bagi pinjaman Projek Bekalan Air Negeri-negeri masih dalam pertimbangan Kerajaan Persekutuan.

44. Untuk makluman YB juga Kerajaan Negeri menjangkakan anggaran hasil akan bertambah bagi perolehan dari saham kerana telah membuat pelaburan dalam saham-saham ‘blue chip’ yang memberi pulangan dividen yang tinggi (high dividend yields), walaupun menghadapi ketidaktentuan pasaran saham. Sehingga 15 November 2008, terimaan dividen bersih daripada pelaburan dalam 5 saham ‘blue chip’ terlibat ialah sebanyak RM7.7 juta tanpa mengambil kira cukai yang boleh dituntut sebanyak RM2.6 juta.

45. Selain daripada itu dengan pengurusan strategik yang diamalkan, faedah terkumpul atas simpanan tetap pada masa kini ialah sebanyak RM27.9 juta dan telahpun melebihi sasaran tahunan 2008 yang sebanyak RM22 juta. Oleh yang demikian, sasaran faedah dan perolehan dari pelaburan yang dijangkakan dalam tahun 2009 adalah berasas dan relevan.

J. Agama

Tuan Speaker,

46. Y.B. Adun Permatang Berangan dan Teluk Bahang telah membangkitkan isu berkaitan penggunaan ayat ”Amar Ma’ruf Nahi Mungkar”. Kerajaan Negeri telah mendapatkan pandangan daripada Jabatan Mufti Pulau Pinang berhubung dengan penggunaan kalimah ”Amar Ma’ruf Nahi Mungkar”.

47. Jabatan Mufti beranggapan bahawa kenyataan Y.A.B. Ketua Menteri untuk menjadikan pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz sebagai contoh dan panduan pemerintahan beliau amat digalakkan. Khalifah Umar Bin Abdul Aziz terkenal sebagai seorang pemimpin yang adil, bijaksana dan mengutamakan kepentingan serta kebajikan rakyat bawahannya. Dengan mengambil contoh yang baik, adalah diharapkan pemimpin-pemimpin di negeri ini akan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak. Apa yang menjadi keutamaan ialah agama Islam terpelihara, keadilan terlaksana, dan rakyat diutamakan.

48. Begitu juga isu penggunaan kalimah amar makruf nahi mungkar. Ia merupakan salah satu maksud dari kalam Allah yang terkandung di dalam al-Quran yang menjelaskan ciri-ciri yang sepatutnya dimiliki oleh orang Islam. Ia bermaksud menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran. Jabatan Mufti bersetuju telah berlaku kesilapan dalam penulisan ejaan yang terdapat di banner atau poster sempena sambutan hari raya idul fitri baru-baru ini. Tiada istilah bagi amal mahruf nahi mungkar. Bagi persoalan sama ada istilah ini boleh digunakan oleh orang bukan Islam atau digunakan oleh sesebuah negeri sebagai satu slogan atau pendekatan, Jabatan ini berpandangan bahawa pendekatan atau slogan amar makruf nahi mungkar yang ingin dibawa oleh Y.A.B. Ketua Menteri adalah satu pendekatan yang baik. Secara umumnya, pendekatan yang ingin diambil ialah menyuruh atau menggalakkan rakyat Pulau Pinang sentiasa melakukan kebaikan sama ada tolong menolong, bantu membantu, bekerjasama dan dalam masa yang sama mencegah kemungkaran yang ditimbulkan.

49. Secara tidak langsung, pendekatan yang diambil menggambarkan kehebatan ayat-ayat al-Quran yang merupakan kalam Allah. Menjadikan panduan hidup dari ajaran al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan harian adalah satu kewajipan bagi umat Islam dan tidak menjadi kesalahan bagi bukan Islam untuk turut mengambil peringatan dan pengajaran. Apa yang ditegah ialah mempersenda, memperolok, menghina dan mengingkari sesuatu ayat al-Quran walaupun satu ayat.

50. YB Sungai Bakap telah menyatakan dengan jelas tentang perkara ini bahawa dalam konteks ”amal”, ia tidak salah. Walaubagaimanapun sekiranya ejaan dianggap tidak sesuai atau kesilapan dalam penulisan ejaan yang terdapat di banner sempena sambutan hari raya idul fitri baru-baru ini.atau menyinggung perasaan YB UMNO dan mana-mana pihak yang beragama Islam, saya ingin memohon maaf. Saya tidak mempunyai niat selain daripada mengiktiraf agama Islam yang syumul boleh membantu memupuk persefahaman dan harmoni kaum. Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya akan memastikan kesilapan yang dibuat oleh Pejabat Ketua Menteri tidak berulang dan mesti merujuk dahulu kepada Jabatan Mufti dan ingin mengucapkan terima kasih atas fahaman mereka.

51. Secara umumnya, pendekatan yang ingin diambil ialah menyuruh atau menggalakkan rakyat Pulau Pinang sentiasa melakukan kebaikan sama ada tolong menolong, bantu membantu, bekerjasama dan dalam masa yang sama mencegah kemungkaran yang ditimbulkan. Dalam aspek ini, untuk memberi sumbangan ikhlas akan diberikan kepada para Huffaz, anak kelahiran Pulau Pinang, yang telah belajar serta juga yang mengajar di seluruh Negeri Pulau Pinang dalam majlis yang dijadualkan pada 3 Disember 2008.

52. Sumbangan ini merupakan pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada para Huffaz yang telah berjaya mencapai tahap yang disegani dan tinggi di dalam mendalami ilmu agama, khususnya Al-Quran.

K. Pinjaman Pendidikan

53. Menyentuh persoalan yang disuarakan oleh YB Pantai Jerejak, Kerajaan Negeri sememangnya serius dalam mengutip tunggakan pinjaman pendidikan. Berdasarkan langkah-langkah proaktif dan tegas yang diambil Kerajaan Negeri telah berupaya mengurangkan jumlah tunggakan dari RM24,297,229.88 pada 31 Disember 2006 kepada RM19,209,230.21 pada 31 Disember 2007. Jumlah tersebut telah berkurang sebanyak RM5,087,999.67 (20%). Sehingga 31 Oktober 2008, jumlah tunggakan telah berkurangan hampir 24 peratus menjadikan baki tunggakan sebanyak RM14,540,341.37 (Pengurangan sebanyak RM4,668,888.84).

L. Kadar Jenayah

54. Menjawab kepada perkara yang dibangkitkan oleh YB Pinang Tunggal, tidak ada percanggahan fakta antara kenyataan saya dan kenyataan daripada Ketua Polis Negeri. Statistik keseluruhan kadar jenayah negeri menurun, namun begitu, terdapat peningkatan bagi kategori jenayah tertentu seperti jenayah kekerasan dan kes kecurian motosikal. Kerajaan Negeri mengambil inisiatif memantau keadaan keselamatan negeri menerusi Majlis Perundingan Keselamatan dan Kententeraman Awam. Kerajaan Negeri juga telah mengambil langkah proaktif, memohon peruntukan berjumlah RM58 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk memperbaiki infrastruktur keselamatan seperti CCTV, lampu jalan di kawasan yang kerap berlaku jenayah dan melaksanakan Inisiatif Bandar Selamat (IBS), secara menyeluruh di Negeri Pulau Pinang.

M. Cuti Umum Pilihanraya

55. Sepertimana yang diutarakan oleh YB Penaga, Kerajaan Negeri tidak mengalami apa-apa kerugian atau penambahan kos akibat daripada peristiharan 26 Ogos 2008 sebagai hari cuti umum. Sebaliknya peristiharan cuti ini memberi kelebihan kepada semua warga kerja kerajaan untuk keluar membuang undi dengan lebih bebas mengikut kesesuaian mereka. Tindakan Kerajaan Negeri telah memberi kesan positif kepada peratus pengundi yang keluar mengundi pada pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh iaitu lebih 80 peratus.

56. Maklumbalas daripada pihak FMM menunjukkan bahawa tidak banyak kilang yang ditutup pada 26 Ogos 2008 walaupun Kerajaan Negeri mengisytiharkan hari tersebut sebagai hari cuti umum. Sebaliknya, pelepasan diberi kepada pekerja untuk keluar membuang undi pada hari tersebut. Setakat ini Kerajaan Negeri tidak menerima apa-apa laporan kerugian yang dialami oleh FMM atau ahli-ahlinya, begitu juga dengan Persatuan Bank-bank.

N. Tempat Letak Kereta

57. Kerajaan Negeri mengambil maklum masalah yang dihadapi oleh penjawat awam yang bertugas di KOMTAR sebagaimana yang dibangkitkan oleh YB Dato Keramat. Pada masa ini Kerajaan Negeri dalam proses perbincangan dengan empat syarikat pengendali tempat letak kereta di sekitar KOMTAR untuk mendapatkan tawaran terbaik pada harga yang amat berpatutan bagi menyediakan kawasan tempat letak kereta bagi semua kakitangan awam.

O. Prestasi MPSP & MPPP

58. Prestasi MPPP telah menurun dengan Baki Kumpulanwang daripada RM 297.4 juta kepada RM 164.3 juta pada akhir tahun 2007 sebalum menambah baik kepada RM 198.7 juta setakat 31 Oktober 2008 berikutan tumpuan kerajaan negeri baru kepada urustadbir CAT untuk menjalankan perbelanjaan berjimat cermat dan berhemah tanpa mengurangkan program pembangunan. Prestasi kewangan dijangka bertambah baik pada 2009 berkutan kelulusan Bajet RM221,841,795 yang merupakan Bajet Berimbang 2009.

59. Di samping itu, salah pengurusan oleh kerajaan negeri yang lepas dan sikap acuh dan acuh ahli EXCO dulu yang bertanggungjawab menyebabkan keadaan defisit yang bertambah sehingga baki Kumpulanwang kusut daripada RM 225 juta pada 2000 kepada hanya RM 6.4 juta akhir tahun ini.

1 thought on “UCAPAN PENGGULUNGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI (PART 3)”

  1. Let Penang be a model of success for other states, and by extension, the country to emulate! Penang Leads! This is how the DAP will translate its vision for a Malaysian First in conrete terms.

Leave a Comment