UCAPAN PENGGULUNGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI (PART 2)

TERAS KEDUA :
MEWUJUDKAN PELUANG-PELUANG PEKERJAAN (PRO-JOBS);

Tuan Speaker,

18. Bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh YB Tanjung Bungah dan Teluk Bahang, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Tabung Pembangunan Latihan Semula Industri Negeri Pulau Pinang untuk membantu pekerja yang dijangka kehilangan pekerjaan ekoran daripada krisis ekonomi dunia menjalani latihan semula. Dijangkakan seramai 50,000 orang pekerja sektor swasta akan menghadapi risiko ini sekiranya keadaan ekonomi terus tidak menentu. Latihan dan kemahiran adalah amat penting bagi melahirkan guna tenaga yang berkebolehan terutamanya dalam sektor terkini seperti LED, bioteknologi dan kejuruteraan mahir supaya mereka ini masih employable dan memastikan tenaga mereka tidak akan disia-siakan. Kerajaan Negeri juga telah memohon peruntukan berjumlah RM 500 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk tujuan tersebut.

F. Perjawatan

19. Mengenai persoalan yang dibangkitkan oleh YB Seberang Jaya, pertambahan perjawatan di Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah ekoran daripada penyusunan semula struktur organisasi yang berkuatkuasa pada 1 Oktober 2007. Pertambahan jawatan bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah sebanyak 34 jawatan daripada jawatan sedia ada iaitu 39 jawatan dengan pemansuhan 2 jawatan. Bagi Kumpulan Sokongan, jawatan sedia ada sebanyak 578 dengan pertambahan jawatan sebanyak 151 jawatan. Jawatan yang dimansuhkan bagi Kumpulan Sokongan adalah sebanyak 33 jawatan. Secara keseluruhannya, pertambahan jawatan bagi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah sebanyak 185 jawatan. Perincian emolumen di Pejabat Ketua Menteri adalah seperti berikut:

G. Mutu Perkhidmatan Pelanggan

20. Untuk makluman YB Pantai Jerejak, Kerajaan Negeri sememangnya komited dalam meningkatkan usaha meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan kepada rakyat. Walaupun terdapat pertambahan jumlah kakitangan di bawah eksesais penyusunan semula struktur organisasi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, namun pengisian jawatan baru hanya dibuat secara berperingkat .
21. Kerajaan Negeri telah berusaha untuk memperbaiki mutu perkhidmatan dan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat menerusi penggunaan IT dan ICT. Perubahan-perubahan yang dibuat termasuklah mempercepatkan urusan bayaran perkhidmatan kepada pembekal dalam masa kurang dari 14 hari malah urusan pembayaran telah berjaya dibuat dalam masa tujuh hari bekerja.

TERAS KETIGA: MENJAMIN KEADILAN SOSIO-EKONOMI (PRO-POOR).

H. Miskin tegar

Tuan Speaker,

22. Izinkan saya untuk menjawab persoalan berkaitan isu kemiskinan yang telah dibangkitkan oleh YB Telok Bahang, YB Sungai Dua, YB Kebun Bunga dan YB Tanjung Bungah. Sebagai makluman ahli-ahli Yang Behormat, Kerajaan Negeri sememangnya sentiasa mengemaskini senarai kemiskinan melalui Pejabat-pejabat Daerah. Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang digunapakai oleh Kerajaan Negeri pada masa ini ialah RM400. Memandangkan ekonomi sekarang yang tidak stabil, Kerajaan Negeri akan mengkaji semula kadar tersebut dan akan diubah mengikut keperluan yang bersesuaian.

23. Jumlah Ketua Isi Rumah miskin tegar seramai 324 adalah berdasarkan kajian kemiskinan dan bancian yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pejabat Daerah dan agensi berkaitan. Setiap Pejabat Daerah dikehendaki mengemaskini data dari semasa ke semasa dan melalui Jawatankuasa Pembasmian Kemiskinan Daerah nama-nama yang layak dikeluarkan dari senarai miskin tegar.

24. Kerajaan Negeri melalui kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telahpun melaksanakan Program Pengurangan Beban Tanggungan Keluarga. Menerusi program ini, bantuan kos pengangkutan sebanyak RM50 sebulan diberikan kepada golongan ibu tunggal yang bekerja. Manakala bagi anak-anak golongan miskin bantuan kos pengangkutan ke sekolah sebanyak RM30 sebulan diberikan. Peruntukan bagi pelaksanaan program ini disediakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

25. YB Adun Kebun Bunga telah mencadangkan supaya golongan miskin dibantu melalui pemberian rebat cukai tanah. Kerajaan Negeri mempunyai beberapa cara untuk membantu golongan ini tetapi tidak melalui pemberian rebat cukai tanah. Ini adalah kerana rekod mengenai pemilikan tanah tidak dapat membezakan samada seseorang pemilik itu adalah golongan miskin atau tidak. Tambahan pula terdapat keadaan di mana lot tanah dipunyai oleh pemilik yang ramai. Sekiranya tuan-tuan tanah benar-benar miskin dan tidak memperolehi hasil dari tanah yang dimilikinya mereka diberi peluang untuk mengemukakan permohonan pengurangan cukai tanah, dan pertimbangan diberikan mengikut merit kes.

26. Kerajaan Negeri telah menjalankan pelbagai usaha dalam membantu meningkatkan pendapatan dan menjana ekonomi penduduk termasuk anggota perkhidmatan awam yang akan berpencen agar tidak termasuk dalam golongan miskin. Di antara langkah yang telah dilaksanakan adalah mengadakan Kursus Bakal Pesara bagi memberi pendedahan dan penekanan dalam bidang keusahawanan kepada mereka yang berminat. Selain itu bagi anggota kerajaan yang ingin menambah pendapatan ekoran dari kenaikan harga barangan, mereka dibenarkan untuk bekerja lebih masa selepas daripada waktu bekerja. Perkara ini telah dibenarkan di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Pulau Pinang 1997, Perkara 5(1), 5(2) dan 5(3).

HAL-HAL LAIN

I. Bajet 2009

27. YB Pulau Tikus, YB Seberang Jaya, YB Sungai Dua dan YB Pinang Tunggal telah bertanyakan sebab-sebab berlakunya kenaikan anggaran hasil bagi tahun 2009 berbanding tahun 2008. Dijangkakan peningkatan kutipan hasil bagi sewaan adalah disebabkan faktor berikut :

(i) Kelulusan bagi mendirikan papan iklan dan menara telekomunikasi.

(ii) Memperkemaskan kaedah kutipan sewaan tapak, bangunan dan lain-lain harta kerajaan.

(iii) Menaikkan kadar sewaan

(iv) Penggunaan premis Kerajaan untuk program rasmi Kerajaan Negeri.

28. Mengenai kutipan tunggakan cukai tanah, suka saya menjelaskan bahawa pentadbiran tanah negeri telah melaksanakan beberapa langkah untuk meningkatkan kutipan tunggakan cukai tanah seperti:

i. Mengeluarkan notis peringatan kepada hakmilik yang memiliki tunggakkan yang tinggi;
ii. Meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dengan mengeluarkan notis 6A hingga kepada tindakan perampasan;
iii. Membuka kaunter bayaran kepada program-program anjuran Kerajaan Negeri seperti pada pameran e-kerajaan dan hari bertemu pelanggan; dan
iv. Pengecualian denda lewat diberikan kepada hakmilik yang mempunyai tunggakan dengan alasan yang kukuh

29. Untuk makluman jumlah kutipan cukai tanah pada tahun 2008 yang direkodkan sehingga 18 November 2008 ialah sebanyak RM98.652 juta dan jumlah ini adalah lebih baik daripada kutipan tahun 2007 berjumlah RM92 juta.

30. Anggaran tahun 2009 bagi lesen panggung wayang sebanyak RM1 juta adalah disebabkan kutipan yang selama ini dikutip oleh MPPP dan MPSP termasuk tunggakan telah mula dibayar kepada Kerajaan Negeri.

YB Tuan Speaker,

31. Anggaran hasil tahun 2009 yang lebih rendah daripada tahun 2008 bagi Bayaran Permohonan Mengenai Tanah dijangka akan berkurangan kepada RM4.03 juta tahun 2009. Ini disebabkan kegawatan ekonomi global yang berlaku sekarang akan memberi kesan kepada ekonomi Negeri Pulau Pinang. Oleh itu, permohonan untuk membangunkan tanah-tanah Kerajaan Negeri dijangka berkurangan dan dengan ini bayaran permohonan mengenai tanah juga akan berkurangan.

32. Anggaran kutipan hasil daripada sewaan rumah kerajaan dan perabot berkurangan kepada RM0.25 juta disebabkan :

(i) Ketiadaan kuarters baru yang dicadangkan untuk dibina; dan

(ii) Dengan pemberian sebahagian sahaja imbuhan sara hidup (COLA) kepada penghuni kuartes menyebabkan ramai kakitangan yang berpindah keluar kerana lebih menguntungkan tinggal di luar daripada di kuartes kerana potongan yang dibuat lebih besar iaitu melibatkan separuh COLA dan sepenuhnya Imbuhan Tetap Perumahan (ITP).

33. Tuntutan Insuran dan Pampasan bagi perbelanjaan Tanggungan (T03) bagi tahun 2009 berkurangan iaitu RM1 juta daripada RM3 juta tahun 2008. Peruntukan bagi Maksud Perbelanjaan T03 : 44000 adalah bertujuan untuk membayar tuntutan Jabatan-jabatan Negeri berkaitan keputusan mahkamah seperti tuntutan insuran dan bayaran pampasan. Keperluan bagi perbelanjaan ini selalunya tidak dapat dijangkakan dengan tepat bagi sesuatu tahun kerana keputusan mahkamah biasanya mengambil masa yang lama. Walau bagaimanapun peruntukan ini perlu disediakan dan setakat ini prestasi perbelanjaan sebenar ialah RM47,000 tahun 2007 dan RM67,760 tahun 2008 (setakat 31 Oktober).

34. Data 2009 dan 2008 menunjukkan tambahan perjawatan di UPEN sebanyak 23 perjawatan melibatkan tambahan kos dianggarkan sebanyak RM162,680 manakala tambahan 5 perjawatan di Unit DUN melibatkan tambahan kos sebanyak RM635,330.

35. Kadar pertambahan peruntukan bagi objek sebagai 11000 iaitu gaji dan upahan di UPEN bagi tahun 2008/2009 adalah kecil disebabkan anggaran gaji dan upah dibuat berasaskan kepada jumlah pengisian sebenar. Bagi jawatan yang tidak diisi, anggaran peruntukan yang disediakan adalah pada tahap paling minima.

36. Melalui dasar penjimatan yang diamalkan sekarang, penempatan ke jawatan kosong akan disemak semula dan penempatan akan dibuat bagi perjawatan yang kritikal. Oleh itu peruntukan gaji dan upahan tidak disediakan sepenuhnya di UPEN bagi 24 jawatan kosong yang belum diisi. Manakala bagi Unit DUN sebanyak 56 perjawatan telahpun diisi dalam tahun 2008. Oleh itu peruntukan yang disediakan pada tahun 2009 telah mengambilkira kedudukan perjawatan sebenar.

1 thought on “UCAPAN PENGGULUNGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI (PART 2)”

  1. Dear CM,

    Keep up the good work!

    Penang under the DAP state government will be truly transformed into an international city, a second Singapore, with world class standards. In this regard, proper and long-term planning is vital, to avoid over-development and ensure sustainability – a global Penang which is clean and green!

Leave a Comment