UCAPAN PENGGULUNGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI (PART 1)

Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan ke atas Ucapan Bajet 2009 Negeri Pulau Pinang yang telah saya bentangkan di dewan yang mulia ini pada 14 November 2008. Seperti yang semua Ahli Yang Berhormat sedia maklum, bajet 2009 telah menggariskan tiga teras utama iaitu :

Pertama : Merancakkan pertumbuhan ekonomi (Pro-Growth);

Kedua : Mewujudkan peluang-peluang pekerjaan (Pro-Jobs); dan

Ketiga : Menjamin keadilan sosio-ekonomi (Pro-Poor).

TERAS PERTAMA: MERANCAKKAN PERTUMBUHAN EKONOMI

A. Pelaburan

1. YB Pulau Tikus dan Telok Bahang telah menyentuh mengenai garis panduan pelaburan di Pulau Pinang. Pada masa sekarang, garis panduan yang digunapakai oleh Kerajaan Negeri adalah berdasarkan garis panduan MIDA. Garis panduan ini adalah bertujuan untuk memudahkan pelabur dan bersifat mesra-perniagaan. Kerajaan Negeri akan terus meneliti prosedur sedia ada dari semasa ke semasa supaya prosedur ini mengikut arus perkembangan. Berdasarkan kepada semua usaha-usaha di atas, pihak Kerajaan Negeri berharap agar Pulau Pinang akan terus menjadi lokasi utama pilihan bagi para pelabur.

Y.B. Speaker,

2. Menjawab kepada soalan yang dibangkitkan oleh YB Telok Bahang, Kerajaan Negeri bercadang untuk menubuhkan sebuah Pejabat Pelaburan dan Pelancongan Negeri Pulau Pinang di KLIA dan Kuala Lumpur. Penubuhan pejabat ini adalah perlu dan bukan merupakan satu pembaziran. Pejabat ini merupakan pejabat perwakilan yang melibatkan kos operasi yang rendah. Pejabat ini akan menyediakan maklumat-maklumat mengenai pelaburan dan pelancongan Negeri Pulau Pinang.

3. Penubuhan “Pasukan Petugas Khas” (Special Task Force) berfungsi sebagai pemudahcara dalam aspek pelaburan khusus bagi pelaburan bernilai RM1 bilion ke atas. Pasukan Petugas Khas ini berperanan membantu para pelabur mempermudah dan mempercepatkan semua proses berkaitan dengan kelulusan dan perlesenan di antara agensi Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan. Pasukan Petugas Khas ini terdiri daripada EXCO Kerajaan Negeri, investPenang, PDC dan MIDA.

B. Kemelesetan Ekonomi

4. Saya ingin menyentuh persoalan yang dibangkitkan oleh ADUN Pulau Betong mengenai langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam menghadapi kesan kemelesetan ekonomi dunia. Masalah kewangan antarabangsa (bermula dari Amerika Syarikat dan menular ke Eropah serta Asia Pasifik) dijangka akan menyebabkan kemelesetan ekonomi sedunia. Krisis ekonomi ini akan memberi impak negatif kepada eksport Negeri Pulau Pinang disebabkan kurangnya permintaan untuk barang-barang pembuatan elektronik dan semikonduktor oleh negara Amerika Syarikat dan Eropah.

5. Langkah-langkah jangka pendek yang sedang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengurangkan impak kemelesetan ekonomi termasuk :

(i) Memantau prestasi sektor-sektor ekonomi dalam negeri serta perkembangan ekonomi dunia;

(ii) Mengadakan perbincangan dan mendapatkan maklum balas daripada persatuan industri dan pihak yang berkepentingan;

(iii) Menggalakkan sektor awam dan swasta meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengurusan bagi meminimakan kos pengeluaran;

(iv) Menggalakkan perbelanjaan berhemah;

(v) Mengadakan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi dan institut kemahiran untuk menjalankan program latihan semula, ‘reskilling’ dan ‘skill-rematching’ bagi pekerja yang diberhentikan dan para graduan yang masih menganggur;

(vii) Menggalakkan pengusaha kilang untuk mengurangkan pengambilan pekerja asing dan mengutamakan pekerja tempatan dalam mengisi kekosongan;

(viii) Membantu industri kecil dan sederhana memperluaskan pasaran melalui program promosi, program pemadanan perniagaan dan misi perdagangan ke luar negara;

(ix) Mengkaji cadangan projek perumahan, pejabat dan pusat membeli-belah yang baru secara teliti sebelum kelulusan diberikan agar masalah ‘overhang’ dapat dikurangkan atau dielakkan; dan

(x) Mempergiatkan lagi usaha untuk memelihara pasaran pelancongan domestik.

6. Bagi langkah jangka panjang, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengambil langkah-langkah berikut:

(i) Memperluas dan mempelbagaikan kegiatan ekonomi, termasuk mentransformasikan sektor pertanian ke arah berorientasikan teknologi tinggi dan peningkatan kualiti dan keluaran;

(ii) Menggalakkan pertumbuhan sektor baru dan inovasi berasaskan e-pengetahuan

7. Kerajaan Negeri juga akan memberi tumpuan kepada pelaburan tempatan. Syarikat-syarikat tempatan yang berjaya dan berdaya saing dalam pasaran antarabangsa bukan sahaja melambangkan keupayaan dan kemampuan pengusaha tempatan, mereka juga merupakan sebahagian daripada rantaian nilai syarikat-syarikat antarabangsa dan merupakan salah satu daripada daya tarikan utama Pulau Pinang. Dengan kata lain, syarikat-syarikat tempatan menjadi pemangkin sektor perindustrian.

C. Industri Kecil dan Sederhana (IKS)

Tuan Speaker,

8. YB Telok Bahang telah membangkitkan isu berkaitan definisi IKS. Untuk pengetahuan ahli-ahli Yang Berhormat, sektor yang termasuk dalam IKS ialah perkilangan, perkhidmatan berkaitan perkilangan dan industri asas tani serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Definisi IKS mengikut sektor adalah seperti berikut :-

i. Perkilangan, Perkhidmatan berkaitan perkilangan dan Industri Asas Tani

“Enterpris kecil dan sederhana dalam sektor perkilangan, perkhidmatan berkaitan perkilangan dan industri asas tani dengan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 150 atau nilai jualan tahunan tidak melebihi RM25 juta”.

ii. Perkhidmatan, Pertanian Asas dan Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT)

“Enterpris kecil dan sederhana dalam sektor perkhidmatan, pertanian asas dan Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT) dengan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 50 atau nilai jualan tahunan tidak melebihi RM5 juta”.

Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan untuk menubuhkan sebuah pusat bagi mempamerkan produk IKS di Negeri Pulau Pinang.

D. Wi-Fi

9. Untuk makluman YB Tanjong Bungah, Kerajaan Negeri telah meneliti pelbagai laporan dan kajian yang dilaksanakan oleh badan-badan bertauliah seperti World Health Organisation (WHO) bagi memastikan pelaksanaan WiFi dan WiMAX ini tidak memberi kesan kepada kesihatan orang ramai. Semua kajian dan laporan yang dihasilkan sehingga kini menunjukkan tiada sebarang bukti yang kukuh akan kesan radiasi dari peralatan WiFi terhadap kesihatan.

10. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Forum Awam [email protected] pada 8 November 2008 di Geodesic Dome, KOMTAR dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Objektif forum ini adalah untuk memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai isu-isu ‘radio frequency radiation’ serta ’electromagnetic field (eml)’.

E. Tanah

11. YB Sungai Dua membangkitkan mengenai tanah-tanah yang diambil balik untuk tujuan kebajikan dan keagamaan dan tidak didaftarkan hakmilik atas nama Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) tetapi didaftarkan atas nama SSI. Berhubung dengan perkara ini ingin saya jelaskan bahawa tanah yang diambil balik tidak menggunakan wang baitulmal tetapi menggunakan wang Kerajaan Negeri. Dalam hal yang demikian adalah tidak menjadi kesalahan hakmilik tanah yang diambil balik menjadi milik Kerajaan Negeri dan didaftarkan atas nama SSI. Walaupun begitu MAIPP boleh terus menggunakan tanah-tanah tersebut untuk tujuan kebajikan dan keagamaan. Perubahan ini hanyalah perubahan pemilikan sahaja dan bukan perubahan kegunaan.

12. Mengenai siasatan ke atas kes pemberian milik tanah kepada Tan Hak Joo dan kes pengambilan balik tanah Mengkuang sebagaimana yang dibangkitkan oleh ketua pembangkang, adalah dimaklumkan bahawa siasatan ke atas kedua-dua kes tersebut masih belum selesai. Dengan hal yang demikian keputusan ke atas siasatan tersebut belum dapat diumumkan.

13. Mengenai cadangan pembangunan bercampur yang dicadang oleh PERDA di kawasan Balik Pulau, saya akui bahawa pentadbiran tanah negeri telah menerima permohonan untuk ubah syarat tanah berkenaan. Permohonan tersebut sedang diteliti tentang kesesuaiannya dan keputusan akan dibuat sedikit masa lagi.

14. YB Pinang Tunggal membangkitkan mengenai bayaran premium tanah di kawasan Kg Selamat di mana tempoh pajakan telah dipendekkan kepada 42 tahun dan tidak 60 tahun seperti kelulusan terdahulu. YB Pinang Tunggal menimbulkan keraguan mengapa perkara ini boleh terjadi kerana dalam masa yang sama Kerajaan Negeri telah menerima pakai satu polisi untuk memberikan status freehold kepada pemilik-pemilik tanah. Dalam hubungan ini saya ingin jelaskan bahawa polisi memberikan status freehold kepada pemilik-pemilik tanah hanya terpakai untuk tanah-tanah dalam kategori kediaman sahaja, sedangkan lot-lot tanah di Kg Selamat yang rata-rata keluasannya dalam lingkungan 1.5 – 2.00 ekar adalah tanah pertanian. Dengan itu ianya tidak termasuk dalam polisi yang telah diluluskan.

15. Mengenai tempoh pajakan yang telah diluluskan selama 42 tahun berbanding dengan tempoh 60 tahun yang telah diluluskan bagi kes –kes terdahulu, saya ingin jelaskan bahawa langkah ini dibuat adalah untuk menyeragamkan tarikh tamat pajakan iaitu pada 31.12.2050. Oleh yang demikian permohonan yang lewat dikemukakan akan memperolehi tempoh pajakan kurang daripada 60 tahun. Sesuai dengan penyelarasan tempoh tersebut, jumlah premium juga diselaraskan sewajarnya.

16. YB Telok Air Tawar membangkitkan mengenai penemuan yang disebutkan dalam laporan Ketua Audit Negara khasnya yang berkaitan dengan kes-kes penipuan tanah. Berkaitan dengan itu suka saya menjelaskan bahawa sebelum laporan audit dikeluarkan PTG telahpun menjalankan siasatan dalaman dan berjaya mengumpulkan beberapa kes penipuan urusniaga tanah. Penipuan ini bukan berpunca dari kakitangan pentadbiran tanah tetapi berpunca dari pihak-pihak luar yang merupakan individu-individu tertentu yang cuba mengambil kesempatan untuk faedah sendiri. Diantara bentuk penipuan yang sering ditemui adalah seperti berikut:

i. Memalsukan tandatangan pemilik;
ii. Memalsukan dokumen hakmilik;
iii. Memalsukan Surat Kuasa Wakil;
iv. Memalsukan perintah mahkamah; dan
v. Membuat surat akuan sumpah palsu.

17. Berdasarkan kepada penemuan-penemuan tersebut PTG telahpun mengambil tindakan bagi memperkasa dan memperkukuhkan jentera pentadbiran. Bengkel – bengkel yang berterusan kepada semua kakitangan yang merupakan barisan hadapan pentadbiran tanah telah diadakan dari masa ke semasa. Di samping itu peraturan-peraturan baru telah diperkenalkan seperti kewajipan menyertakan salinan kad pengenalan bersama-sama dengan dokumen penyerahan walaupun perkara tersebut bukan merupakan keperluan dari segi undang-undang. Sebagai satu langkah pencegahan, PTG telah mewujudkan kerjasama yang erat dengan pihak polis dan mengadakan perjumpaan secara berkala dengan Majlis Peguam. Dengan langkah tersebut adalah diharapkan unsur-unsur penipuan dalam urusniaga tanah dapat dibendung.

Leave a Reply