Tambahan Peruntukan 50 juta Bagi Pelaksanaan Program, Aktiviti dan Acara Sektor Pelancongan

Tambahan Peruntukan 50 juta Bagi Pelaksanaan Program, Aktiviti dan Acara Sektor Pelancongan Negeri Pulau Pinang Dan Bukan Hanya Setakat RM500,000 Dari Kerajaan Pusat

Sebagai negeri ketiga terbesar yang menyumbang kepada jumlah kemasukan pelancong pada tahun 2009, peranan Pulau Pinang dalam mempromosikan sektor pelancongan Malaysia tidak wajar diperkecilkan.

Dengan jumlah kemasukan pelancong berjumlah 5.96 juta (domestik, 2,982,687 orang ; pelancong asing, 2,977,642 orang) pada tahun lalu ke negeri Pulau Pinang membuktikan bahawa masih banyak ruang yang boleh dikemaskini bagi menjana keuntungan kepada semua pihak serta ekonomi sama ada di dalam negeri Pulau Pinang sendiri ataupun pada peringkat antarabangsa.

Pada tahun 2009, Kementerian Pelancongan hanya membelanjakan RM500,000 di dalam 51 program, aktiviti dan acara pelancongan negeri Pulau Pinang. Kenyataan ini dinyatakan oleh Menteri Pelancongan, YB Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen di dalam jawapan bertulis susulan daripada soalan saya di Dewan Rakyat pada 5 April 2010.

Tanpa dapat memberikan data kemasukan pelancong negeri Pulau Pinang pada tahun 2009, YB Dato’ Sri Ng Yen Yen menyatakan bahawa sebanyak 51 program telah dijalankan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia yang melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM500,000. Antara program, aktiviti dan acara yang dilaksanakan adalah Majlis Pelancaran Promosi Homestay Pulau Pinang ; Malaysia Travel Fair 2009 ; Penang International Food Festival dan lain-lain

Logiknya, dengan jumlah kemasukan pelancong hampir mencecah 6 juta orang ke negeri Pulau Pinang, RM500,000 adalah terlalu kecil dan sama sekali tidak mencukupi terutamanya di dalam aspek penyediaan infrastruktur, penambahbaikan kemudahan sedia ada, promosi dan sebagainya.

Sebagai tambahan, angka RM500,000 juga sama sekali tidak mencukupi bagi membolehkan Kerajaan Negeri menjalankan program, aktiviti dan acara pembangunan pelancongan yang secara keseluruhannya juga mampu menyuntik percambahan positif sektor-sektor industri lain di dalam negeri khususnya industri bersaiz sederhana dan kecil.

Sekiranya sektor pelancongan dilihat sebagai mampu menjana pendapatan rakyat dan ekonomi negara, peruntukan yang lebih besar – RM50 juta perlu disalurkan kepada negeri Pulau Pinang selain negeri-negeri lain di seluruh negara.

Apa yang menarik perhatian saya adalah, di dalam pembentangan Bajet 2009 menyatakan bahawa Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk kerja pemuliharaan di Pulau Pinang dan Melaka. Malah, kerja-kerja ini perlu dikendalikan oleh badan bukan kerajaan dan sektor swasta. Di dalam pembentangan Bajet 2010 pula, sebanyak RM899 juta turut diperuntukan kepada sektor pelancongan negara.

Sesungguhnya, pengiktirafan Bandaraya George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2008 membuktikan bahawa masih banyak potensi dan aspek pelancongan yang dapat dibangunkan di negeri ini.

Malah, bersempena Pameran Pelancongan Antarabangsa (ITB) Berlin, Jerman yang berlangsung pada 24 Mac 2010 (dianggap sebagai yang terbesar di dunia) turut melihat Pulau Pinang sebagai sebuah negeri tumpuan dunia dengan tarikan sebagai destinasi pelancongan mengetengahkan kawasan warisan, masakan berempah, pelancongan perubatan dan pelbagai lagi.

Dengan sasaran 6 juta pelancong pada tahun 2010, Pulau Pinang memerlukan peruntukan tambahan ataupun secara adil daripada Kerajaan bagi merancakkan lagi aktiviti promosi sektor ini demi kepentingan ekonomi negara.

Keperluan tambahan peruntukan sebanyak RM50 juta daripada Kerajaan Pusat ke dalam sektor pelancongan negeri lazimnya diperkukuhkan dengan fakta kedudukan serta keupayaan Pulau Pinang merangkul catatan jumlah kemasukan pelancong ketiga tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia pada 2009. Peruntukan tersebut perlu disegerakan dan bukannya hanya terhad kepada angka RM500,000 sahaja.

Leave a Reply