Penubuhan Perbadanan Bukit Bendera dan Projek Naik Taraf Keretapi Bukit Bendera

TEKS UCAPAN OLEH Y.A.B. KETUA MENTERI MENGENAI RANG UNDANG-UNDANG PERBADANAN BUKIT BENDERA PULAU PINANG 2009

“Penubuhan Perbadanan Bukit Bendera dan Projek Naik Taraf Keretapi Bukit Bendera Akan Menjadi Pemangkin Dan Penggerak Bukit Bendera atau Penang Hill sebagai Destinasi Pelancongan Terpilih Antarabangsa”

Y.B. Dato’ Speaker,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang ini yang bernama ”Suatu Enakmen Untuk Menubuhkan Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang 2009’’ dibacakan kali kedua.

Rang Undang-undang ini adalah bertujuan untuk memberi kuasa kepada Perbadanan Bukit Bendera untuk membuat kontrak, memperolehi, membeli, mengambil, memegang dan menikmati apa-apa jenis harta alih dan harta tak alih dan memindahkan, menyerahhakkan, menyerahkan balik, memulangkan, menggadaikan, menggadaijanjikan, mendemiskan, menyerahhakkan semula, memindahkan hak milik atau selainnya melupuskan, atau membuat apa-apa urusan dengan, apa-apa harta alih atau harta tak alih atau apa-apa kepentingan yang terletak hak kepada Perbadanan.

Tertakluk kepada seksyen 4(1) Enakmen ini, Pihak Berkuasa Negeri boleh dari semasa ke semasa, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, menetapkan suatu tarikh letak hak dan pada tarikh itu segala harta, hak atau liabiliti Kerajaan Negeri yang berkaitan dengan Keretapi Bukit Bendera Pulau Pinang yang ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri dalam perintah itu hendaklah, menurut kuasa Enakmen ini, berpindah kepada dan terletak hak pada Perbadanan tanpa apa-apa pemindahhakkan, penyerahhakkan atau pemindahan hak milik.

Selaras dengan pendekatan Kerajaan Negeri yang berjiwa rakyat dan berteraskan 3P iaitu Perkasakan Rakyat, Perkuasakan Rakyat dan Perkayakan Rakyat, Perbadanan Bukit Bendera akan memainkan peranannya untuk membangunkan Bukit Bendera sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa dengan matlamat menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri maju dengan rakyatnya berpendapatan tinggi. Secara ringkasnya Kerajaan Negeri ingin memperkasakan rakyat dengan ilmu pengetahuan dan kepakaran kerana pembangunan modal insan manusia adalah batu asas kemakmuran ekonomi. Kerajaan mahu memperkuasakan rakyat dengan hak dan kebebasan agar dapat menikmati hak politik yang sama rata, peluang ekonomi yang saksama dan keadilan sosio-ekonomi. Sebagai kerajaan yang bersifat penyayang adalah perlu memperkayakan rakyat supaya hasil ekonomi dapat dinikmati bersama. Dalam melaksanakan peranannya, Perbadanan Bukit Bendera akan meneruskan penghayatan dan amalan sistem penyampaian perkhidmatan berpandukan kepada urus tadbir CAT : Cekap, Akauntabiliti Dan Telus. Bagi memastikan Perbadanan Bukit Bendera menjadi sebuah organisasi yang cemerlang maka sudah pasti prinsip 5K iaitu Keadilan, Kebebasan, Kebenaran, Kebajikan Untuk Rakyat dan Ketakwaan Kepada Tuhan akan menjadi platform yang akan memperkukuhkan pelaksanaan program dan aktiviti yang dirancangkan kelak.

Dengan kuasa yang diperolehi melalui Enakmen ini di bawah seksyen 20, Perbadanan akan melakukan segala yang perlu atau suai manfaat atau berkaitan dengan pelaksanaan fungsi-fungsinya seperti berikut :-

1. memastikan bahawa Enakmen ini ditadbirkan, dikuatkuasakan, diberi kuatkuasa, dijalankan dan dipatuhi;

2. mencadangkan pembentukan dasar dan menasihati Pihak Berkuasa Negeri bagi apa-apa perkara berhubung dengan pemajuan, pembangunan dan pemuliharaan di kawasan Perbadanan;

3. mengurus, mengendali, mengawal dan menyelenggara perkhidmatan Keretapi Bukit Bendera;

4. memajukan, menggalakkan, memudahkan dan mengusahakan pembangunan ekonomi, sosial dan infrastruktur di kawasan Perbadanan;

5. memajukan, membangunkan dan menggalakkan kawasan Perbadanan sebagai destinasi pelancongan;

6. mengawal dan menyelaraskan pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang disebutkan dalam perenggan (c), (d) dan (e) di kawasan Perbadanan;

7. menasihati Pihak Berkuasa Negeri berkenaan dengan aktiviti di kawasan Perbadanan;

8. menjalankan penyelidikan atau apa-apa aktiviti yang berhubung dengannya dalam memajukan dan membangunkan kawasan Perbadanan; dan

9. menjalankan apa-apa aktiviti lain dan melakukan apa-apa perkara yang perlu atau bermanfaat dan patut bagi pentadbiran Perbadanan atau apa-apa maksud lain yang selaras dengan Enakmen ini.

Bagi melaksanakan fungsinya secara berkesan, Perbadanan Bukit Bendera juga diberikan kuasa untuk :-

1. mengenakan fi atau caj bagi apa-apa perkhidmatan yang perlu bagi Perbadanan sebagaimana yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui peraturan-peraturan yang dibuat di bawah seksyen 36 Enakmen ini iaitu berkaitan pengurusan Kumpulan Wang Perbadanan;

2. menggunakan segala harta Perbadanan, alih dan tak alih, mengikut apa-apa cara yang didapati suai manfaat oleh Perbadanan;

3. melantik ejen, pakar atau perunding yang didapatinya patut untuk membantu Perbadanan dalam menjalankan fungsi-fungsinya;

4. menjalankan segala aktiviti, khususnya aktiviti berhubungan dengan pelancongan yang didapati oleh Perbadanan adalah perlu, berfaedah atau sesuai bagi atau berkaitan dengan pelaksanaan fungsi-fungsinya;

5. bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan perbadanan atau agensi kerajaan bagi maksud melaksanakan fungsi-fungsi Perbadanan;

6. memberikan pinjaman kepada pekerja Perbadanan bagi apa-apa maksud yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri; dan

7. melakukan apa-apa jua yang bersampingan dengan mana-mana fungsi dan kuasanya.

Y.B. Dato’ Speaker,

Keputusan Kerajaan Negeri memperbadankan Bukit Bendera dan dengan penggubalan Enakmen Perbadanan Bukit Bendera 2009 maka Ordinan Penang Hill 1950 [No. 42 of 1950] tidak lagi terpakai untuk Perkhidmatan Keretapi Bukit Bendera kerana Ordinan tersebut adalah dimansuhkan. Seksyen 53(1) dan 53(2) Enakmen ini memperuntukkan bahawa ”Apa-apa perbuatan yang dilakukan atau tindakan yang diambil sebelum Enakmen ini mula berkuatkuasa hendaklah disifatkan telah dilakukan atau diambil di bawah Enakmen ini dan oleh itu bolehlah diteruskan’’ dan ”Apa-apa perintah yang dibuat di bawah Ordinance Penang Hill Railway 1950 dan berkuatkuasa sebaik sebelum Enakmen ini mula berkuatkuasa hendaklah, apabila Enakmen ini mula berkuatkuasa, terus berkuat kuasa sepenuhnya dan boleh dibatalkan atau dipinda mengikut Enakmen ini’.

Di samping itu, berkaitan dengan kedudukan dan kepentingan pekerja-pekerja sedia ada di Perkhidmatan Keretapi Bukit Bendera pula jaminan mengenai gaji, terma dan syarat perkhidmatan telahpun diambil kira. Di bawah Seksyen 25(1), 25(2) dan 25(3) Enakmen ini kepentingan pekerja –pekerja sedia ada akan terus diberi perhatian iaitu tawaran akan diberikan kepada pekerja untuk membuat pilihan bekerja dengan Perbadanan dengan tawaran gaji tidak kurang baik daripada terma dan syarat perkhidmatan yang kepadanya dia berhak sebelum tarikh yang ditetapkan. Bagi pekerja yang tidak memilih untuk berkhidmat dengan Perbadanan, mereka akan dibersarakan atas sebab pemansuhan jawatan di bawah Seksyen 10(5)(b), Akta Pencen 1957. Beberapa siri penerangan akan diadakan kepada semua pekerja sebaik sahaja Enakmen Perbadanan Bukit Bendera diluluskan dan surat tawaran opsyen kepada pegawai akan dikeluarkan.

Berasaskan kepada Rancangan Tempatan Bukit Bendera, keluasan kawasan Bukit Bendera ialah 464.14 hektar terdiri daripada kawasan Hutan Lipur, tanah milik persendirian, kawasan kuartes kerajaan, Craig Hotel dan kawasan pembangunan yang lainnya. Walau bagaimanapun bagi tujuan pemakaian Enakmen ini ”kawasan Perbadanan Bukit Bendera’’ akan ditentukan persempadanannya dari semasa ke semasa oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui pemberitahuan dalam Warta sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 6(1) Enakmen ini.

Kawasan Perbadanan Bukit Bendera akan dibangunkan oleh Perbadanan sebagai salah satu sumber kewangannya supaya menjadi ”self-financing” di masa hadapan. Walau bagaimanapun kerja-kerja pemajuan dan pembangunan Bukit Bendera perlu dibuat secara berhati-hati bagi memastikan keunikan alam sekitarnya terpelihara terutamanya dari segi pengekalan eko sistem, pemeliharaan dan pengekalan kawasan Hutan Lipur yang tertakluk kepada Akta Perhutanan Negara 1984 dan juga kepentingan Bukit Bendera sebagai kawasan tadahan bekalan air. Sesungguhnya, pembangunan di Bukit Bendera akan terus dirancang secara lestari dengan berpandukan kepada Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang. Bahkan bagi tujuan selangkah ke hadapan pembangunan mengikut konsep green state diberikan keutamaan. Justeru, pendekatan pembangunan berteraskan kepada pemeliharaan (preservation) dan pemugaraan (conservation) akan terus menjadi asas pendekatan serampang dua mata Kerajaan Negeri bagi memastikan flora dan fauna, lanskap dan rekabentuk struktur bangunan di kawasan Bukit Bendera dikekalkan. Ianya sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan dan memperkayakan khazanah alam semulajadi untuk menjamin limpahan pelancong pada setiap tahun yang sememangnya tertarik dengan keunikan Negeri Pulau Pinang.

Sejajar dengan gagasan untuk membangunkan Bukit Bendera secara realistik dan lestari maka pelaksanaan Projek Menaiktaraf Keretapi Bukit Bendera yang melibatkan kos berjumlah RM60 juta pada masa kini sedang di peringkat perancangan akhir akan memberikan kemudahan yang lebih besar kapasitinya dari segi pengangkutan pelancong memenuhi keperluan domestik. Oleh itu penubuhan Perbadanan Bukit Bendera adalah sangat bertepatan masanya bagi memastikan bukan sahaja perkhidmatan keretapi diurus dengan cekap dan lebih teratur tetapi perkara-perkara lain yang bersangkutan dengan pembangunan Bukit Bendera terutamanya dalam mempromosi dan menyediakan Bukit Bendera sebagai kawasan pelancongan bertaraf dunia akan tercapai dalam masa terdekat. Penubuhan Perbadanan Bukit Bendera akan dapat merealisasikan hasrat dan cita-cita Kerajaan Negeri untuk meletakkan Pulau Pinang sentiasa terkehadapan dengan hasrat murni untuk menjadikan mutiara yang terpancar sekarang akan terus bergemerlapan di masa hadapan dalam usaha menyediakan satu perkhidmatan dan satu penyampaian demi kebaikan dan faedah semua stakeholders dan pelanggan.

Dengan kata lain, penubuhan Perbadanan Bukit Bendera dan Projek Menaiktaraf Keretapi Bukit Bendera sebanyak RM60 juta akan menjadi pemangkin dan penggerak Bukit Bendera menjadi destinasi pelancongan terpilih di peringkat antarabangsa.

Y.B. Dato’ Sepaker, saya mohon mencadangkan.

Leave a Comment