TEKS UCAPAN MENGENAI RANG UNDANG-UNDANG PINJAMAN

RANG UNDANG-UNDANG PINJAMAN NEGERI PULAU PINANG ( PROJEK BANGUNAN ARKED DAN PUSAT MAKANAN LAUT BATU KAWAN )2009

Y.B. Tuan Speaker,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang ini yang bernama “Suatu Enakmen bagi memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri meminjam wang tidak lebih daripada RM6 juta (Ringgit Malaysia : Enam Juta sahaja) daripada Kerajaan Persekutuan bagi membiayai Projek Bangunan Arked dan Pusat Makanan Laut di Batu Kawan, Pulau Pinang” dibacakan kali kedua.

Fasal (2) Perkara 111 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa sesuatu Negeri tidak boleh meminjam kecuali di bawah kuasa Undang-undang Negeri. Rang Undang-undang ini adalah bertujuan untuk memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk meminjam wang sebanyak RM6 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan membiayai Projek Bangunan Arked dan Pusat Makanan Laut Batu Kawan, Pulau Pinang.

Y.B. Tuan Speaker,

Projek Bangunan Arked dan Pusat Makanan Laut di Batu Kawan, Pulau Pinang adalah projek yang telah dirancang di bawah RMKe-9 dengan kos projek berjumlah RM13,174,519.00. Projek ini merupakan produk pelancongan baru yang dibangunkan bagi tujuan menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke Negeri Pulau Pinang disamping mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan yang secara langsung membantu dalam meningkatkan pendapatan mereka melalui promosi makanan dan buah-buahan tempatan di kalangan pelancong.

Pembangunan projek ini adalah melibatkan pembinaan indoor archade yang terdiri daripada pusat kraftangan, galeri artis, barangan kraf pelbagai kebudayaan, pusat makanan laut yang direkabentuk dengan taman landskap yang menarik dan terbuka, gerai jualan, tempat makan dan kemudahan tempat meletak kenderaan.

Pelaksanaan projek telahpun bermula pada awal tahun 2008 dan dijangka siap pada akhir tahun 2010 di mana komponen kos projek secara keseluruhan terdiri daripada:-

a. Kos Tanah – RM 2,613,600.00
b. Kos Pembangunan (harga tender) – RM 9,920,918.95
c. Kos Kewangan
(Bayaran 4% kadar faedah pinjaman) – RM 240,000.00
\ d. Lain-lain Kos – RM 400,000.00
Jumlah RM 13,174,518.95

Daripada keseluruhan kos tersebut, geran sebanyak RM3.8 juta telahpun diperolehi daripada Kementerian Pelancongan Malaysia dan sebanyak RM3.3 juta lagi ditanggung oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang sebagai agensi pelaksana. Sumbangan daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang tersebut adalah termasuk kos tanah berjumlah RM2.6 juta yang disumbangkannya. Memandangkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang mempunyai sumber kewangan yang terbatas maka baki RM6 juta lagi akan dibiayai melalui pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan.

Memandangkan pembangunan Projek Bangunan Arked dan Pusat Makanan Laut di Batu Kawan adalah penting dalam mempergiatkan perkembangan sektor pelancongan di Negeri Pulau Pinang maka usaha perlu dibuat bagi menyempurnakan sepenuhnya pelaksanaan projek tersebut. Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada masa kini mempunyai sumber kewangan yang terbatas dan dengan demikian pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan adalah diperlukan.

Oleh yang demikian, Rang Undang-undang ini akan membolehkan Kerajaan Negeri meminjam daripada Kerajaan Persekutuan untuk memberi bantuan kewangan berupa pinjaman berjumlah RM6 juta kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang untuk tujuan pembangunan produk pelancongan sepertimana yang dinyatakan .

Y.B Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan.

Leave a Comment