TEKS UCAPAN MENGENAI RANG UNDANG-UNDANG PINJAMAN

RANG UNDANG-UNDANG PINJAMAN (RANCANGAN UNTUK MEMBEKAL AIR BAGI NEGERI PULAU PINANG) (PINDAAN) 2009

Y.B Tuan Speaker,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bernama “Suatu Enakmen untuk memberi kuasa meminjam sejumlah wang yang tidak melebihi RM 1.6 billion (Ringgit Malaysia: Satu Billion dan Enam Ratus Juta sahaja) daripada Kerajaan Persekutuan bagi membiayai Rancangan Bekalan Air Negeri Pulau Pinang dibacakan kali kedua.

Fasal (2) Perkara 111 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa sesuatu Negeri tidak boleh meminjam kecuali di bawah kuasa Undang-undang Negeri. Disamping itu Enakmen Pinjaman (Rancangan untuk Membekal Air bagi Negeri Pulau Pinang) 1997, di bawah Seksyen 3(1), memperuntukkan kepada Kerajaan Negeri kuasa meminjam daripada Kerajaan Persekutuan bagi maksud membiayai Rancangan Bekalan Air Negeri Pulau Pinang dan bagi maksud-maksud yang berkaitan dengannya suatu jumlah yang tidak melebihi RM600 juta (Ringgit Malaysia : Enam Ratus Juta sahaja).

Y.B. Tuan Speaker,

Sebagai latar belakang dan untuk makluman Dewan ini, Pinjaman yang diluluskan di bawah Enakmen Pinjaman (Rancangan untuk Membekal Air bagi Negeri Pulau Pinang) 1997 tersebut adalah bertujuan untuk membiayai projek bekalan air bagi Sekim Bekalan Air Teluk Bahang/Batu Feringhi, Sekim Sungai Muda, Sungai Perai, Loji Air Sungai Dua di Seberang Perai Utara dan yang lainnya. Sungai Muda merupakan sumber air utama untuk negeri ini di mana 80% daripada sumber bekalan air bersih negeri diperolehi daripada Sekim Sungai Muda. Namun demikian memandangkan simpanan air mentah bagi Negeri Pulau Pinang pada masa kini hanya mampu menampung keperluan sebanyak 650 juta liter sehari sedangkan permintaan sebenar ialah 740.86 juta liter sehari maka jika berlaku kemarau panjang, Pulau Pinang akan menghadapi krisis bekalan air dan terpaksa meminta bantuan dari Negeri Kedah untuk melepaskan takungan air dari Empangan Pedu untuk disalurkan ke dalam Sungai Muda. Oleh itu siling pinjaman daripada Persekutuan sebanyak RM600juta tersebut perlu ditambah kepada RM1.6 bilion bagi membolehkan kapasiti simpanan air sedia ada di Empangan Mengkuang dipertingkatkan daripada 22juta meter padu kepada 56 juta meter padu iaitu peningkatan sebanyak satu setengah kali ganda atau 154 peratus.

Cadangan pembangunan yang akan dilaksanakan ialah untuk meninggikan Empangan Mengkuang sedia ada dan membina empangan baru disebelah kiri dan kanan empangan tersebut. Kedua-dua empangan ini akan dicantumkan menjadikan empangan yang lebih besar dan dapat beroperasi secara bersama. Empangan ini menyediakan takungan air yang berfungsi sebagai empangan simpanan strategik Pulau Pinang pada musim kemarau dan untuk memenuhi permintaan sehingga tahun 2020.

Tambahan siling pinjaman daripada Persekutuan adalah diperlukan bagi melaksanakan komponen-komponen projek seperti berikut:-

1. Meninggikan empangan sedia ada dan membina empangan baru yang melibatkan pembinaan empangan utama hingga ke paras 56.65 meter, membina alur limpah, membina muka sauk (draw of works) baru dan menaik taraf muka sauk sedia ada serta membina empangan pelana (saddle dam); dan
2. Melaksanakan kerja-kerja aliran air mentah yang melibatkan pembinaan stesen pam baru berkeupayaan 330 juta liter sehari dan memasang paip jenis mild steel dari stesen pam ke Empangan Mengkuang untuk tujuan penghantaran 948 juta liter air sehari.

Anggaran kos projek yang terlibat dengan kerja-kerja menaik taraf tersebut secara keseluruhannya ialah RM976 juta iaitu terdiri daripada kos berikut:-

1. Pengambilan balik tanah – RM 198 juta
2. Pembinaan empangan – RM 380 juta
3. Pembinaan kerja-kerja aliran
air mentah dan stesen pam – RM 398 juta
_________
Jumlah RM 976 juta

Sehingga Disember 2008, jumlah pinjaman bagi Rancangan Bekalan Air Negeri Pulau Pinang yang telah diterima itu masih berbaki sebanyak RM591 juta dan dengan tambahan sebanyak RM976 juta yang diperlukan maka siling pinjaman sedia ada perlu dinaikkan kepada RM1.6 billion. Dengan peningkatan jumlah pinjaman daripada Persekutuan tersebut, keupayaan simpanan takungan air mentah dapat ditingkatkan dan Negeri Pulau Pinang akan dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan air mentah semasa musim kemarau. Projek ini sangat penting kepada Negeri Pulau Pinang kerana masalah krisis air terjadi disebabkan pada musim kemarau Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang kesemuanya bergantung kepada sumber air yang sama iaitu daripada Sungai Muda. Dengan siapnya projek ini nanti, Negeri Pulau Pinang akan berkeupayaan untuk menyimpan lebihan air dari Sungai Muda semasa hujan untuk kegunaan ketika musim kemarau tiba.

Pelaksanaan projek ini perlu disegerakan kerana pertambahan penduduk yang pesat di negeri ini menyebabkan permintaan air yang semaikin meningkat. Jika pelaksanaan projek ini ditangguhkan, Negeri Pulau Pinang dijangka akan menghadapi krisis air yang teruk dalam beberapa tahun akan datang. Pada masa kini, keupayaan pembekalan air dari takungan ialah 650 juta liter sehari berbanding dengan keperluan sebanyak 740 juta liter sehari.

Oleh kerana terdapatnya keperluan yang mendesak bagi membiayai pelaksanaan projek Rancangan Bekalan Air Negeri Pulau Pinang tersebut maka had pinjaman sedia ada perlu dinaikkan daripada RM 600 juta kepada RM 1.6 billion.

Y.B Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan.

Leave a Comment