TEKS UCAPAN MENGENAI RANG UNDANG-UNDANG KETUA MENTERI PULAU PINANG (PEMERBADANAN) 2009

Y.B. Tuan Speaker,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang ini yang bernama “ Suatu Enakmen bagi menubuhkan Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang Tahun 2009” dibacakan kali kedua.

Rang Undang-undang ini adalah bertujuan untuk memberi kuasa kepada Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang untuk bergiat dalam aktiviti pelaburan dan promosi pelaburan yang berpotensi untuk dimajukan demi menjana pertumbuhan ekonomi Negeri Pulau Pinang. Enakmen ini membolehkan Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang mempunyai kuasa untuk membuat kontrak, memperolehi, memasang dan menikmati apa-apa perihal harta alih dan tak alih, dan boleh menjual, menggadai janji atau selainnya melupuskan apa-apa harta alih yang terletak hak pada Perbadanan.

Dengan kuasa yang diperolehi melalui Enakmen ini, Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang akan dapat memainkan peranan dan fungsinya dengan lebih lancar.

Tertakluk kepada mana-mana undang-undang bertulis dan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Perbadanan hendaklah mempunyai kuasa untuk melakukan semua perkara yang perlu bagi, bersesuaian dan memberi menafa’at atau besampingan dengan pelaksanaan tugasnya dan hendaklah mempunyai kuasa untuk:-

1. menjalankan aktiviti yang ternyata padanya perlu, berfaedah atau sesuai bagi atau berkaitan dengan pelaksanaan tugasnya;

2. menggalakkan perjalanan aktiviti Perbadanan, syarikat dan lain-lain kumpulan orang, dan untuk memberi bantuan kewangan kepada mana-mana Perbadanan, syarikat, badan berkanun yang lain, mana-mana orang atau kumpulan orang dengan mengambil syer atau debentur atau dengan cara pinjaman, pendahuluan, pemberian atau selainnya;

3. melabur dan menggunakan harta Perbadanan untuk pelaburan dalam mana-mana pelaburan yang akan diberi kuasa oleh Akta Pemegang Amanah 1949 (Akta 208) atau mana-mana pelaburan, dan untuk melupuskan pelaburan itu atas apa-apa terma dan syarat yang difikirkan patut olehnya;

4. membeli, memperolehi atau melupuskan apa-apa stok dan syer dalam mana-mana syarikat persendirian atau awam;

5. memasuki usaha niaga komersial atau perusahaan, atau memasuki perkongsian atau usaha sama dengan mana-mana orang atau organisasi;

6. menubuhkan atau menggalakkan penubuhan atau pengembangan syarikat di bawah Akta Syarikat 1965 [Akta 125] atau mana-mana badan sama ada di bawah kawalan atau sebahagian kawalan Perbadanan itu sendiri atau secara bebas; atau

7. meminjam dari masa ke semasa apa-apa jumlah wang yang dikehendaki oleh Perbadanan bagi memenuhi apa-apa obligasinya atau melaksanakan mana-mana tugasnya atau menjalankan mana-mana kuasanya atas apa-apa terma dan syarat yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Rang Undang-undang ini akan membolehkan Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang berfungsi dan beroperasi dengan sewajarnya.

Y.B. Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan.

Leave a Comment