MASYARAKAT MADANI MEMERLUKAN SISTEM DEMOKRASI YANG SIHAT DENGAN PERANAN KETUA PEMBANGKANG YANG DIPERAKUI

YB. Tuan Speaker,

Saya memohon mencadangkan supaya Dewan ini meluluskan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2008 dengan memasukkan perkataan ‘Elaun Ketua Pembangkang’ yang telah dibaca pada kali yang kedua.

YB. Tuan Speaker,

Seperti mana yang kita sedia maklum, negara kita Malaysia dan Negeri Pulau Pinang telah mengamalkan sistem demokrasi berparlimen semenjak pilihan raya yang pertama pada tahun 1959.  Melalui proses pilihan raya, rakyat berhak memilih wakil-wakil mereka ke Dewan Rakyat (Parlimen) di peringkat Persekutuan dan di Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri.

Parti atau gabungan parti-parti yang memperolehi majoriti diberi mandat untuk membentuk dan menerajui kerajaan yang merupakan cabang eksekutif bagi negara atau negeri masing-masing.  Manakala Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri berfungsi sebagai Penggubal Undang-Undang di peringkat persekutuan atau di peringkat negeri.

Selain daripada itu, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri merupakan suatu arena di mana wakil-wakil rakyat yang dipilih mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dan sesi soal jawab dengan tujuan untuk menyampaikan hasrat dan masalah rakyat.  Ia juga merupakan platform untuk mengemukakan pandangan, cadangan dan maklumbalas bagi menarik perhatian kerajaan atau isu-isu yang timbul serta pelaksanaan projek-projek pembangunan demi untuk mempertingkatkan mutu hidup rakyat.

YB. Tuan Speaker,

Sebagai renungan, kedudukan Ketua Pembangkang adalah institusi yang penting di dalam sistem berparlimen Westminster yang dipinjam dari United Kingdom dan digunapakai oleh negara Malaysia.  Di Britain, Ketua Pembangkang diberikan penghormatan yang sewajarnya dan dilihat sebagai Perdana Menteri alternatif yang memberikan “checks and balances”, kritikan membina dan presripsi polisi alternatif.  Di Westminster, saraan tetap mula diberikan kepada Ketua Pembangkang melalui Ministers of the Crown Act pada tahun 1937.

Di Malaysia, kedudukan ini diperakui oleh undang-undang, yang memberikan imbuhan elaun kewangan bagi pemegang jawatan tersebut, sejak tahun 1971.  Sekarang ianya termaktub di dalam Akta Ahli-Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (No. 237).

Peruntukan terhadap kedudukan Ketua Pembangkang oleh Kerajaan Persekutuan ini adalah antara warisan terakhir yang ditinggalkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Ia dibentangkan di Parlimen sebelum pilihanraya umum pada tahun 1969.

YB. Tuan Speaker,

Seperti mana yang diketahui umum, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang adalah dewan yang paling aktif berbanding dengan dewan-dewan undangan negeri di seluruh negara.  Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat memberikan ruang dan masa mencukupi untuk perbahasan daripada pihak pembangkang, bukan seperti kerajaan Barisan Nasional yang memberikan masa dua hari sahaja untuk perbahasan Belanjawan dan itu pun pada hari yang sama Belanjawan dibentangkan.  Ini menunjukkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat amat menghormati prinsip demokrasi dan mengiktiraf kedudukan semua ahli-ahli Yang Berhormat, termasuk peranan parti pembangkang yang boleh memainkan peranan ‘checks and balance’ dalam pembangunan negeri.

Saya tahu bahawa keikhlasan pihak kerajaan tidak akan dibalas oleh Barisan Nasional.  Sungguhpun Pakatan Rakyat bertindak adil, kerajaan Barisan Nasional yang memerintah di negeri lain tetap bersikap rakus dengan menafikan hak demokrasi dan peluang berucap wakil rakyat pembangkang.  Akan tetapi, kerajaan Pakatan Rakyat percaya kita tidak harus membalas dendam dengan membenci dan berniat jahat dengan mungkar tetapi bersikap baik, mulia dan suci. Itulah sebabnya sungguhpun kita tahu bahawa Barisan Nasional Pulau Pinang akan bersikap rakus dan kuku besi sekiranya memerintah kembali, kerajaan Pakatan Rakyat masih memegang kuat pada prinsip demokrasi dan ‘fairplay’.  Oleh itu, rakyat Pulau Pinang tidak boleh membenarkan Barisan Nasional berkuasa kembali.

YB. Tuan Speaker,

Kami di dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang Pakatan Rakyat yang baru berikrar untuk menghapuskan trend autoritarian atau kuku besi yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional selama ini dan mengembalikan demokrasi di Malaysia, agar sebuah kerajaan yang diterajui oleh rakyat, dipilih oleh rakyat dan untuk rakyat (a governmment of the people, by the people, for the people) yang mengamalkan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) dapat diinstitusikan di Malaysia, dengan Negeri Pulau Pinang sebagai penerajunya.

Sudah tiba masanya kedudukan Ketua Pembangkang diberikan penghormatan yang sewajarnya di Negeri Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di Malaysia.  Kita berharap Ketua Pembangkang boleh menyokong dan menerima pakai sistem CAT ataupun yang kadangkala dianggap sebagai “kucing” sepertimana kata pemimpin Republik Rakyat Cina, Deng Xiao Peng, “Tidak kira kucing itu putih atau hitam, asalkan ia tangkap tikus, ia adalah kucing yang baik.”  Jadilah “kucing” yang baik, amanah dan bersifat rasional untuk semua kaum.

Sekali lagi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang Pakatan Rakyat menerajui negara kita di dalam memartabatkan demokrasi dengan mencadangkan Usul untuk menginstitusikan kedudukan Ketua Pembangkang.

Dengan termaktubnya penghormatan kepada Ketua Pembangkang ini, saya ingin menyeru pihak pembangkang di Negeri Pulau Pinang agar belajar untuk menjadi “pembangkang yang setia” yang berikrar untuk taat setia kepada rakyat, mendengar kehendak mereka, dan mewakili mereka dengan bersungguh-sungguh.

Terdapat beberapa insiden di mana pihak pembangkang bekerja bertentangan dengan kepentingan rakyat Pulau Pinang.  Dosa dan kesalahan besar yang saya maksudkan adalah saranan Ketua Pembangkang kepada Kerajaan Persekutuan agar menangguh semua projek utama, termasuk Monorel, Jambatan Kedua Pulau Pinang, dan PORR.  Saranan pihak pembangkang agar Jambatan Kedua Pulau Pinang dibatalkan telah menjejaskan pelaburan dan ini adalah sikap yang sungguh tidak bertanggungjawab.  Kita bersyukur akhirnya kerana pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang akan direalisasikan sungguhpun ada usaha oleh pihak pembangkang untuk mensabotajnya.

Saya meminta pihak pembangkang untuk berubah sikap mereka dan menyokong projek-projek kerajaan persekutuan yang dijanjikan ini, iaitu berjumlah RM4.7 bilion yang dipulihkan semula kepada rakyat Pulau Pinang. Pihak pembangkang juga tidak mahu menyokong Usul yang dicadangkan pada Mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang lepas untuk memulihkan semula projek-projek tersebut. Ini merupakan contoh sikap dan tindakan pihak pembangkang yang tidak konstruktif dan gagal mendengar kehendak rakyat.

YB. Tuan Speaker,

Dewan ini pada tahun 2005 telah meluluskan peraturan baru iaitu Peraturan 4A yang berbunyi seperti berikut:

    (1) Maka hendaklah ada seorang Ketua Dewan dan sekurang-kurangnya seorang Timbalan Ketua Dewan, dan seorang Ketua Pembangkang.

    (2) Ketua Dewan atau Timbalan Ketua Dewan ertinya, berhubungan dengan Dewan, Ahli Dewan yang sedang menjadi Ketua atau Timbalan Ketua Kerajaan, mengikut mana-mana yang berkenaan.

    (3) Ketua Pembangkang ertinya, berhubungan dengan Dewan, Ahli Dewan yang sedang menjadi Ketua Kumpulan pihak Pembangkang.

    (4) Jika berbangkit apa-apa keraguan atau pertikaian tentang siapakah yang sedang atau telah menjadi Ketua Pembangkang pada bila-bila masa yang matan, masalah itu hendaklah diputuskan oleh Speaker dan keputusannya yang diperakui secara bertulis di bawah tandatangannya adalah muktamad dan konklusif.

Dengan wujudnya Peraturan tersebut, maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang Pakatan Rakyat mengiktiraf peranan Ketua Pembangkang yang semakin mencabar serta mendapat perhatian daripada rakyat.  Oleh itu, wajarlah Ketua Pembangkang diberi elaun bulanan sebagai pengiktirafan terhadap peranan yang dimainkan oleh beliau.

Pembayaran elaun untuk Ketua Pembangkang adalah bertujuan untuk menyelaraskannya dengan Akta Ahli Parlimen (Saraan), 1980 (Akta 237) yang diguna pakai di Parlimen.  Berdasarkan, Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, ia menyatakan jika seseorang Ahli Parlimen dilantik sebagai Ketua Pembangkang adalah berhak mendapat elaun bulanan di samping lain-lain elaun.

YB. Tuan Speaker,

Peruntukan mengenai elaun-elaun bagi Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang adalah dinyatakan di dalam Enakmen Anggota Pentadbiran Dan Saraan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan), 1980.  Walau bagaimanapun, elaun Ketua Pembangkang tidak diperuntukkan dalam enakmen tersebut.  Bagi mewujudkan elaun Ketua Pembangkang, dicadangkan Enakmen Anggota Pentadbiran Dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan), 1980 dipinda dengan memasukkan seksyen baru yang berbunyi seperti berikut:

      • “3A “Jika seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri dilantik sebagai Ketua Pembangkang, dia adalah berhak, selain daripada saraan bulanan yang dinyatakan dalam Seksyen 3, mendapat elaun bulanan sebanyak seribu ringgit.”

Bayaran elaun kepada Ketua Pembangkang, dicadangkan berkuat kuasa mulai tarikh kuat kuasa Enakmen Anggota Pentadbiran Dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2008.

Akhirnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menuju ke arah masyarakat madani dan bersedia mendengar nada-nada suara yang berbeza.  Itulah sebabnya kerajaan Pakatan Rakyat bersikap berani dan ikhlas menjemput ahli-ahli pembangkang untuk menyertai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Malangnya, “olive-branch” atau salam perdamaian dan persahabatan ini telah ditolak oleh pihak pembangkang.

Marilah kita bekerjasama untuk kepentingan rakyat dan bukanlah mengikut kepentingan politik berpuak atau “sectarian politics”.   Pindaan hari ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri ke arah masyarakat madani yang memerlukan sistem demokrasi yang sihat dengan memperakui peranan parti pembangkang.

YB. Tuan Speaker, saya mohon mencadang.

0 Responses to “MASYARAKAT MADANI MEMERLUKAN SISTEM DEMOKRASI YANG SIHAT DENGAN PERANAN KETUA PEMBANGKANG YANG DIPERAKUI”


  • No Comments

Leave a Reply

You must login to post a comment.