TEKS UCAPAN MENGENAI RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2009

PENDAHULUAN

Y.B. Tuan Speaker,

1. Sebelum saya membentangkan Bajet Negeri Pulau Pinang bagi Tahun 2009 di Dewan yang mulia ini, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri yang amat prihatin terhadap kesejahteraan Negeri Pulau Pinang serta sentiasa memberi inspirasi kepada saya dan Kerajaan Negeri dalam menjalankan pentadbiran negeri ini dengan jayanya. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh anggota Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang telah memberi kerjasama dan sokongan kepada kerajaan baru ini.

2. Ini adalah Bajet pertama Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) sejak tsunami poltik pada 8hb Mac 2008 yang menumbangkan kerajaan BN selepas memerintah selama 30 tahun. Dengan sokongan hampir 60% pengundi sebanyak 319,757 rakyat Pulau Pinang, PR memperolehi majoriti 2/3 memenangi 29 kerusi berbanding dengan UMNO 11. Ini bukan sahaja menjaminkan kedudukan politik yang kukuh dan stabil tetapi mencerminkan hasrat rakyat yang mahukan perubahan berlandaskan urustadbir baik.

3. Urustadbir baik adalah berdasarkan sistem Cekap, Akauntabiliti dan Telus atau CAT. Kita berazam mendirikan sebuah kerajaan bercorak demokrasi, ketuanan rakyat dan kepimpinan beretika yang bersatu di bawah panji nilai-nilai teras universal yang diterima semua iaitu, 5K: kebebasan, keadilan, kebenaran, keluhuran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan dan ketaqwaan kepada Tuhan. Barulah boleh belajar dari pemimpin agung Islam Khalifah Sayidinia Umar Abdul Aziz; Maharaja Empayar Rom, Marcus Aurelius; atau Maharaja Cina, Kang Xi dan LiXiMin.

Wawasan Negeri Pulau Pinang & Prestasi Ekonomi Negeri Pulau Pinang

4. Wawasan Negeri Pulau Pinang adalah menggerakkan transformasi menjadi sebuah negeri bertaraf antarabangsa yang menjadi lokasi pillihan para pelabur, destinasi pilihan para pelancong dan habitat pilihan penghuni yang inginkan kehidupan mapan. Oleh demikian Kerajaan Negeri amat prihatin kepada keadaan ekonomi semasa dan kebajikan rakyat, akan memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu:

Pertama : Merancakkan pertumbuhan ekonomi (Pro-Growth);

Kedua : Mewujudkan peluang-peluang pekerjaan (Pro-Jobs); dan

Ketiga : Menjamin keadilan sosio-ekonomi (Pro-Poor).

5. Negeri Pulau Pinang bergantung kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan khususnya pelancongan. Tumpuan kepada kedua sektor ini dicerminkan dengan sumbangan sektor perkhidmatan sebanyak 57% GNP manakala sektor pembuatan menyumbang 39.5% pada tahun 2007 iaitu menurun daripada 42% pada 2006. Sektor pertanian, perlombongan, kuari dan pembinaan memberikan sumbangan yang kecil tetapi mempunyai potensi dengan pelaksanaan projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-9 dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Inflasi

6. Ekonomi terbuka Negeri Pulau Pinang mendedahkannya kepada banyak risiko luar dan ketidaktentuan persekitaran global seperti krisis kekurangan makanan, kenaikan harga minyak serta kewangan global. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar inflasi sehingga 24 Oktober 2008 adalah sebanyak 5.2 peratus, berbanding dengan hanya 2% tahun lepas. Krisis kewangan global mengakibatkan kelembapan / kemelesetan ekonomi sedunia, terutamanya Amerika Syarikat sebagai pasaran utama eksport semi konduktor dan elektronik.

Pengangguran

7. Kadar pengangguran di Negeri Pulau Pinang ialah 2.6% (mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia pada Q1 2008) lebih rendah berbanding kadar pengangguran Malaysia sebanyak 3.6%. Krisis kewangan global dijangka memberi kesan secara langsung kepada Negeri Pulau Pinang dan belum diketahui berapa ramai pekerja sektor swasta menghadapi risiko kehilangan pekerjaan. Justeru Kerajaan Negeri akan berusaha menangani masalah ini dalam memastikan kebajikan pekerja terbabit dipelihara dengan langkah pro-aktif.

Teras Pertama: Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi

A. Menggerakkan Pelaburan

8. Mengikut Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), sejumlah RM6.1 billion pelaburan telah diluluskan untuk Negeri Pulau Pinang bagi lapan bulan pertama tahun 2008. Kerajaan Negeri telah berjaya menarik pelaburan asing sebanyak RM1 bilion daripada syarikat Jepun, Ibiden Co Ltd, dari Amerika Syarikat, Honeywell Aerospace sebanyak RM130 juta dan National Instruments sebanyak RM240 juta. Angka ini adalah amat memberangsangkan jika dibandingkan dengan tahun 2007 yang mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM4.77 billion.

9. Sehubungan ini, Kerajaan Negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di atas kerjasama dalam meningkatkan jumlah pelaburan ke negeri ini. Menteri Pelancongan, YB Datuk Azlina Othman harus belajar dari beliau yang berkepentingan nasional dan mengetepikan kepentingan sektarian.

10. Demi menghadapi kemelesetan ekonomi ekoran krisis kewangan global, sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin, telah merangka 10 langkah untuk menjana pertumbuhan ekonomi secara berterusan seperti berikut:
i. Menubuhkan Pasukan Petugas Khas sesuatu projek yang diketuai oleh saya sendiri sebagai pemudahcara perniagaan bagi pelaburan bernilai tinggi dan strategik. Pasukan Petugas Khas ini berperanan membantu pelabur mempermudah dan mempercepatkan semua proses berkaitan dengan kelulusan dan pelesenan;

ii. melaksanakan konsep mesra pelabur seperti ‘bina dahulu, lulus kemudian’ di kawasan perindustrian untuk menjodohkan persiapan kelulusan dan bangunan demi menjimatkan masa dan promosi yang inovatif seperti bina dan sewa (build and lease) bangunan industri kepada pelabur asing strategik.

iii. menubuhkan dua panel penasihat (Investor Advisory Panel) iaitu untuk sektor industri dan sektor perkhidmatan yang terdiri daripada wakil persatuan-persatuan industri dan profesional dan individu-individu yang sangat berpengalaman di dalam bidang masing masing. Tugas panel ini antara lain ialah untuk memastikan daya saing Negeri Pulau Pinang berterusan dan memberi nasihat tentang langkah-langkah yang perlu diambil dalam menyediakan negeri ini untuk pusingan perniagaan (business cycle) seterusnya;

iv. mempromosikan Negeri Pulau Pinang sebagai destinasi utama pilihan pelabur dengan membangunkan kawasan perindustrian baru seperti Kawasan Perindustrian Batu Kawan. Kawasan perindustrian ini dibangunkan untuk memenuhi permintaan pelabur dalam industri strategik pada masa hadapan;

v. menggalakkan pembangunan Halal Industrial Hab dan Industri Kecil Sederhana (SME) yang lebih moden bernilai dan berteknologi tinggi menerusi satu tapak khas yang diusahakan bersama oleh mereka dan pihak kerajaan negeri.

vi. Mengarahkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang memperuntukkan 200 ekar kawasan tanah terbiar untuk dipulihkan bagi sektor pertanian. Langkah ini dapat meningkatkan penyertaan, peluang pekerjaan serta kualiti hidup rakyat;

vii. Menggalakkan pelaburan semula dengan memperuntukkan RM5 juta – sumbangan daripada kedua-dua majlis perbandaran dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang – untuk menangani masalah keselamatan dan banjir di taman-taman perindustrian.

viii. Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang juga sedang mengkaji langkah-langkah untuk mengurangkan harga tanah industri sebanyak 10%.

ix. menubuhkan sebuah Pejabat Pelaburan dan Pelancongan Negeri Pulau Pinang di KLIA dan Kuala Lumpur.

x. Melancarkan misi pelaburan dan promosi untuk “cutting-edge” teknologi seperti bioteknologi untuk mengulangi kejayaan menarik pelabur pereka ujian darah yang dapat meramalkan dengan ketepatan 75% samada seseorang akan menghidapi penyakit barah.

B. Industri Kecil Sederhana (IKS)

11. Bancian Pertubuhan dan Enterpris 2005 yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC), menunjukkan terdapat 27,092 buah syarikat berdaftar di Pulau Pinang. Daripada jumlah ini, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mewakili 98.7% atau 26,753 buah enterpris di mana 86.6% merangkumi aktiviti perkhidmatan, 9.2% perkilangan dan 4.2% pertanian. Untuk mempermudahkan usahawan mendapat maklumat, Kerajaan Negeri bercadang untuk menubuhkan Pusat Sumber PKS (SME Resource Centre).

12. Kemunculan negara yang menawarkan kos pengeluaran yang rendah seperti China, India, Vietnam, Cambodia dan Filipina telah memberi persaingan yang sengit kepada Negeri Pulau Pinang. Justeru itu, satu seminar “Doing Business With Asean + 3 – Challenges and Opportunity” akan dianjurkan sebagai pembuka jalan untuk membantu golongan usahawan IKS Pulau Pinang meluaskan perniagaan mereka ke negara China, India dan Dubai.

13. Kerajaan Negeri akan memainkan peranan aktif untuk menyokong pertumbuhan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). Pada peringkat awal, tumpuan akan diberi kepada dua projek utama dalam sektor pembuatan iaitu Pusat Kecemerlangan Mikro-elektronik (Micro-electronic Center of Excellence) dan Pusat Inkubator Bioteknologi.

C. Hab Halal Antarabangsa

14. Pulau Pinang juga akan dijadikan sebagai Industri Hab Produk Halal bertaraf antarabangsa. Kawasan Balik Pulau dan Bukit Minyak akan dibangunkan sebagai Hab Halal Antarabangsa yang bercirikan 10 teras utama iaitu pembuatan, pembungkusan, pemasaran, logistik, kewangan Islam, gudang, pensijilan Halal, latihan kemahiran, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengurusan sumber manusia.

15. Adalah dicadangkan pengeluaran barangan makanan secara komersil, terutama makanan halal untuk pasaran domestik dan antarabangsa. Di antaranya adalah pengeluaran vaksin ubat halal, makanan bermutu tinggi dan ternakan lembu nilai tinggi di ladang di kawasan Juru seperti versi Kobe Beef dari Jepun yang akan dipanggil Juru Beef.

16. Lokasi Hab Halal Antarabangsa yang dicadangkan di Balik Pulau akan dimajukan untuk perkhidmatan resort dan pelancongan perubatan produk halal. Kawasan Batu Kawan pula akan dijadikan Taman Halal bagi menempatkan pengusaha barangan halal. Di samping itu, satu plot tanah dengan keluasan lebih kurang 131 ekar telah dikenalpasti oleh Kerajaan Negeri di Bukit Minyak sebagai Kawasan Perindustrian Halal Pulau Pinang dengan penyertaan daripada dua syarikat iaitu Halagel (M) Sdn. Bhd. dan GranuLab (M) Sdn. Bhd.

17. Selain itu, bagi memantau kenaikan harga barangan, Kerajaan Negeri telah melancarkan Program Pemantau Pengguna (Consumer Watch) pada 4 Julai 2008 yang bertujuan untuk memberi khidmat nasihat dan kesedaran tentang hak pengguna. Kumpulan Pemantau Pengguna yang dilantik di setiap KADUN akan memantau kenaikan harga barangan terkawal dan membendung aktiviti menyorok barangan keperluan untuk dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

D. Pembangunan Infrastruktur dan Utiliti

18. Kerajaan Negeri sememangnya sentiasa memberi fokus kepada peningkatan tahap kemudahan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan trafik. Projek Pelebaran Jambatan Pulau Pinang sedang giat dijalankan dengan kos sebanyak RM585.6 juta. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2009. Untuk mengurangkan kesesakan berikutan kerja-kerja pelebaran yang sedang dilaksanakan, larangan bagi kenderaan berat menggunakan jambatan ketika waktu puncak telah dikuatkuasakan mulai 15 Ogos 2008. Pada masa yang sama, perkhidmatan feri beroperasi mulai jam 6.00 pagi telah dilanjutkan sehingga jam 2.00 pagi, manakala pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad serta cuti umum beroperasi 24 jam sehari.

19. Projek Jambatan Kedua Pulau Pinang yang bernilai RM4.3 bilion merupakan projek mega yang penting dalam menambah peluang perniagaan dan pertumbuhan ekonomi serta mengurangkan kesesakan lalu lintas. Ia menghubungkan Batu Kawan di Seberang Perai dan Batu Maung di bahagian pulau. Pembinaan secara rasmi bermula pada 8 November 2008 dan dijangka siap dalam Mei 2012 tetapi telah dijanjikan akan berusaha untuk menyiapkannya pada akhir 2011. Kerajaan Negeri menghargai usaha kerajaan persekutuan dan Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Ir. Hj. Zaini bin Omar selaku Pengarah Urusan, Jambatan Kedua Sdn. Bhd. Yang menjayakan usaha ini.

20. Kerajaan Negeri amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah meluluskan semula pelaksanaan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-9. Jika tidak, Kerajaan Negeri akan berhadapan dengan krisis bekalan air pada tahun 2010. Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi Malaysia melalui surat bertarikh 20 Oktober 2008 memaklumkan bahawa kos projek ini telah dinaikkan dari RM506.4 juta kepada RM955.0 juta. Projek ini akan dilaksanakan dalam dua komponen iaitu pembesaran empangan dan kerja-kerja aliran air mentah masing-masing melalui tender terbuka dan rundingan terus. Pada masa ini, kerja-kerja penyediaan dokumen tender sedang dilaksanakan dan dijangka tawaran dikeluarkan pada awal tahun 2009.

21. RapidPenang perlu meningkatkan mutu perkhidmatan dengan pergi ke semua kawasan di Negeri Pulau Pinang termasuk kawasan terpencil. Kini RapidPenang menyediakan 60 peratus daripada jumlah perkhidmatan bas di Pulau Pinang yang meliputi 33 laluan di 106 kawasan perumahan. Untuk memperluaskan jaringan perkhidmatan, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM100 juta bagi tujuan pembelian 200 bas tambahan yang akan menawarkan perkhidmatan bas awam ke semua kawasan. Akan tetapi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) telah menolak permohonan permit RapidPenang menambah sejumlah 30 buah bas untuk beroperasi di Seberang Perai. Kerajaan Persekutuan harus mengarahkan LPKP meluluskannya dengan segera bagi mengatasi masalah pengangkutan rakyat biasa.

22. Kerajaan negeri akan melaksanakan sistem pengangkutan multi-modal untuk mengurangkan bilangan kereta dan kesesakan lalu-lintas di seluruh Negeri Pulau Pinang. Beberapa cadangan sistem pengangkutan moden untuk mengurangkan bilangan kereta di Negeri Pulau Pinang seperti sistem tram, monorel dan Aerobus sedang dipertimbangkan.

23. Sebarang sistem pengangkutan yang di terima pakai selepas menjalani tender terbuka mestilah memenuhi 5 syarat:-
• tidak menjejaskan kawasan warisan,
• tambangnya adalah dalam harga berpatutan yang mampu dibayar oleh pengguna,
• selamat diguna,
• tidak bercanggah dengan keperluan alam sekitar; dan
• kosnya tidak membebankan kerajaan negeri.

24.. Selepas kejadian banjir besar pada bulan September dan Oktober 2008 baru-baru ini, Kerajaan Negeri telah memohon peruntukan tambahan sebanyak RM 970 juta daripada kerajaan pusat lagi untuk membolehkan projek tebatan banjir dilaksanakan di seluruh Negeri Pulau Pinang seperti berikut:
i. RTB Sg. Junjong Fasa 2 (RM125 juta)
ii. RTB Sg. Pinang Fasa 2 (RM125 juta)
iii. RTB Sungai Juru dan kawasan tadahan Bukit Mertajam, Permatang Rawa, Sg. Ara, Sg. Rambai (RM300 juta)
iv. RTB Kawasan Cyber City, Bayan Baru (RM50 juta)
v. RTB Bukit Panchor, Byram, Transkrian dan Jawi (RM30 juta)
vi. RTB Bukit Tambun/Tanjung Ketupat (RM20 juta)
vii. RTB Valdor (RM20 juta)
viii. RM300 juta untuk membina 100 pam air, 10 kolam takungan air dan ban sungai untuk merawat air di luar kawasan RTB

25. Projek yang diluluskan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke Sembilan adalah sebanyak RM327.65 juta bagi melaksanakan Projek Tebatan Banjir (RM288.65 juta), Pengurusan Sungai (RM35.5 juta) dan Projek Kawalan Hakisan Pantai serta Saliran Bandar (RM3.5 juta). Setakat ini sebanyak RM138.8 juta (42 peratus) telah dibelanjakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran dan diharapkan baki peruntukan lain dapat dipercepatkan pemberiannya.

26. Selaras dengan peranan Pulau Pinang sebagai hab logistik di bawah NCER, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang perlu diperbesarkan dan dinaiktaraf bagi menyediakan kemudahan untuk pesawat Airbus 380 dan Boeing 747 serta menampung peningkatan jumlah penumpang dan kargo. Untuk tujuan ini RM 1.7 bilion diperlukan oleh kerajaan pusat selain daripada membina Kompleks Maintenance Repair Overhaul (MRO) dan Fixed Based Operation (FBO).

27. Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pelabuhan utama dan terkemuka dalam IMT-GT juga perlu dinaiktaraf meliputi pendalaman dermaga dan pelebaran limbungan kontena bagi mengendali tambahan jumlah kontena dan kapal kontena yang lebih besar. Sebagai langkah pertama kerja-kerja pendalaman North Channel sebanyak RM 323 juta harus dipulihkan di bawah Rancangan Malaysia Ke- 9. Adalah diharapkan projek Pembangunan Semula Terminal Penumpang Swettenham Pier dan Tanjong City Marina yang sedang dalam pelaksanaan akan menyokong sektor pelancongan negeri.

28. Ini adalah sebahagian peruntukan RM 10.76 bilion yang dipohon daripada kerajaan persekutuan untuk projek infrastruktur dan sosial demi memastikan dan memperkukuhkan pembangunan di Negeri Pulau Pinang yang mampan dan maju, serta menjamin kesejahteraan dan kualti hidup rakyat di negeri ini. Adalah munasabah, adil dan saksama peruntukan untuk tempoh 5 tahun ini diberikan memandangkan Pulau Pinang menyumbangkan lebih RM 5 bilion setiap tahun dalam bentuk bayaran, cukai, duti, eksais kepada kerajaan persekutuan.

29. Untuk tahun 2009, TNB Pulau Pinang telah memperuntukan sebanyak RM75.07 juta bagi menjalankan projek bekalan elektrik bertujuan untuk sambungan baru lanjutan dari permintaan yang diterima daripada pihak pengguna. Sementara itu, sebanyak RM31.013 juta diperuntukkan untuk projek pengukuhan sistem bekalan eletrik di Negeri Pulau Pinang. TNB harus menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membina stesen PMU atau stesen yang diperlukan untuk kawasan perindustrian memandangkan TNB yang akan untung daripada bayaran tarif letrik.

E. PERTANIAN

30. Walaupun kadar pertumbuhan sektor pertanian Pulau Pinang dijangka hanya 2.3 peratus bagi tempoh 2007-2010, ia tidak akan diabaikan. Rentetan daripada pelaksanaan Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Ara Kuda seluas 80 hektar, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan satu lagi projek TKPM dengan konsep yang berbeza di Juru. Kawasan seluas 25 hektar telah dikhaskan untuk industri ternakan dan akuakultur, 20 hektar untuk tanaman nenas dan baki 15 hektar untuk projek integrasi dan gunasama.

31. Program Pembangunan Ternakan akan memberi tumpuan kepada pengeluaran komoditi utama seperti daging, telur ayam dan itik serta susu lembu. Nilai hasil ternakan bagi tahun 2007 adalah sebanyak RM591.18 juta, meningkat sebanyak 14.32% berbanding dengan RM517.13 juta pada tahun 2006. Pertumbuhan ini dijangka akan berterusan sepanjang RMKe-9 dan melebihi RM600 juta pada tahun 2010. Melalui program kawalan brusellosis, Kerajaan Negeri akan terus membuat pemantauan yang rapi bagi menjamin industri ternakan bebas dari sebarang ancaman wabak penyakit.

32. Program Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan setiap tahun akan diteruskan sebagai kesinambungan usaha-usaha untuk mempromosikan keluaran usahawan tani, penternak dan perikanan termasuk memberi pendedahan kepada penggunaan teknologi terkini dalam sektor pertanian.

33. Memandangkan kepada keluasan tanah untuk pertanian yang terbatas, Kerajaan Negeri juga sedang mengenalpasti kawasan tanah terbiar milik Kerajaan Negeri untuk diusahakan dengan tanaman komersial seperti pokok pala, nenas dan jatropha. Program Kempen Bumi Hijau akan terus diperhebatkan sebagai usaha untuk meringankan beban rakyat berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

F. PELANCONGAN

34. Sektor pelancongan adalah salah satu enjin pembangunan ekonomi negeri. Sasarannya addalah untuk mencapai 17.4 juta pelancong asing dan luar negeri untuk tempoh masa 5 tahun di antara 2008-2012 atau 3.48 juta pelancong setiap tahun. Dengan perbelanjaan per kapita sebanyak RM 2,000 setiap pelancong, pulangan adalah RM 7 bilion untuk tempoh lima tahun ini atau RM 1.4 bilion setahun.

35. Bilangan pelancong adalah 3.4 juta pada tahun lepas. Demi menjayakan sasaran 3.5 juta pelancong pada tahun ini dan berikutnya, satu Pelan Induk Pembangunan Sektor Pelancongan Negeri Pulau Pinang yang komprehensif akan digubal. Satu syarikat kerajaan milikan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, Penang Global Tourism Sdn Bhd, dijadikan sebagai agensi pelaksana bagi menggariskan hala tuju sektor pelancongan negeri berpandukan 10 teras seperti berikut :

i. Pelancongan perubatan
ii. Pelancongan kebudayaan, warisan dan bersejarah
iii. Pelancongan pendidikan
iv. Ibu pejabat wilayah bagi Syarikat Multinasional
v. Pusat MICE
vi. Eko-pelancongan
vii. Dataran kulinari
viii. Pusat filem, kebudayaan dan kesenian
ix. Pelancongan sukan
x. Syurga membeli-belah dan industri.

36. Kerajaan negeri harap 11 projek yang diluluskan di bawah RMK9 untuk memperbaiki infrastruktur destinasi pelancongan di Negeri Pulau Pinang sebanyak RM 103 juta boleh dimulakan seperti menaik taraf sistem keretapi Bukit Bendera, Peningkatan Kawasan Tarikan Pelancongan bagi Jajaran Pantai Batu Ferringhi, Taman Metropolitan di Relau, Pembangunan Pelancongan di Taman Kebun Bunga Taman Perbandaran Pulau Pinang, stesen keretapi bawah Bukit Bendera, Penang Pier, Pembangunan Muzium Perang Pulau Pinang dan Batu Kawan. Kerajaan Persekutuan dan YB Menteri Pelancongan harus menerima hasrat ikhlas bekerjasama daripada kerajaan negeri untuk mempromosikan Negeri Pulau Pinang dan bukan sebaliknya dengan sentiasa memburukkan imej Negeri Pulau Pinang di media massa.

37. Bagi memastikan Negeri Pulau Pinang terus kekal sebagai destinasi pelancongan yang bertaraf dunia, penekanan diberikan kepada keselesaan, kebersihan, kesihatan, kepuasan, keindahan dan keselamatan pelancong. Terkini, Pulau Pinang telah menerbitkan DVD pelancongan sendiri yang dinamakan Penang Has It All yang memaparkan keindahan Negeri Pulau Pinang dari pelbagai aspek termasuk alam semulajadinya, kekayaan budaya, warisan dan sejarahnya. DVD tersebut akan diedarkan di pintu masuk utama Negeri Pulau Pinang, melalui internet, pusat membeli belah, agensi pelancongan, pejabat pelancongan, perpustakaan dan hotel.

38. Selain daripada destinasi pelancongan, pewujudan produk pelancongan baru adalah penting bagi memastikan Negeri Pulau Pinang terus relevan. “12 barangan Pulau Pinang mesti beli” untuk mempromosikan sifat tempatan unik akan diperkenalkan;

39. Kerajaan Negeri tidak hanya memfokuskan kepada pembangunan pelancongan di bahagian pulau sahaja sebaliknya turut memberi perhatian kepada pembangunan di Seberang Perai. Antara produk baru yang dijangka memberi impak yang besar ialah projek Auto City Theme Park di persisiran Sungai Juru. Selain itu, Kerajaan Negeri turut berjaya mendapatkan pelaburan berjumlah USD 100 juta dari Korea iaitu DK ENC Company Ltd. bagi membina sebuah padang golf di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan. Projek yang dijangka siap pada tahun 2013 akan memberi impak yang besar kepada industri pelancongan di Negeri Pulau Pinang terutama untuk pelancongan yang berasaskan sukan.

40. Pada tahun 2004, jumlah pelancong perubatan mencatatkan kedatangan seramai 152,120 orang dengan pendapatan sebanyak RM135.7 juta dan meningkat kepada 213,901 orang pada tahun 2007 dengan jumlah pendapatan sebanyak RM146.3 juta. Ini merupakan 2/3 daripada jumlah keseluruhan 300,000 pelancong perubatan. Demi memastikan sektor pelancongan perubatan penting ini terus berkembang pesat, tumpuan diberikan kepada usaha berikut:

• promosi di pasaran Timur Tengah, Brunei dan Indochina;

• mengambil peluang kerjasama IMT-GT untuk menarik lebih ramai pelancong perubatan dari Indonesia;

• mengekalkan kos perubatan yang kompetitif dan kualiti perubatan dengan menggalakkan institusi/organisasi berkaitan mendapatkan persijilan atau akreditasi daripada pertubuhan kesihatan antarabangsa serta Malaysia Society For Health Accreditation (MSHQ);

• mengoptimumkan kemudahan pelancongan sedia ada dengan menyediakan kemudahan spa dan kesihatan di hotel dan resort; dan

• Menyediakan satu rangkaian perhubungan maklumat melalui laman web yang mengandungi maklumat pelancongan kesihatan dan perkhidmatan yang ditawarkan di negeri ini.

41. Ada ramai pelabur asing dari beberapa negara yang berminat dan yang telah berkomited termasuk pelaburan RM 300 juta dari Kumpulan Ferralli untuk membina sebuah hospital integrasi di Batu Kawan dan syarikat genetik biologi Genenews daripada Amerika Syarikat yang akan memperkenalkan sistem mengesan penyakit barah (75% ketepatan) hanya dengan ujian darah.

42. Kerajaan Negeri mengalu-alukan keputusan Syarikat Penerbangan Sri Wijaya dari Indonesia untuk mewujudkan penerbangan harian dari Medan ke Negeri Pulau Pinang mulai 15 September 2008. Syarikat tersebut juga berhasrat menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai hab ke negara-negara ASEAN yang lain seperti Haadyai dan Phuket di Thailand dan Bandaraya Ho Chi Minh di Vietnam. Selain daripada itu, Syarikat Penerbangan Firefly telah memulakan penerbangan terus ke Banda Aceh, Medan, Phuket dan Koh Samui mulai Julai 2008. Kerajaan negeri akan cuba menambahkan penerbangan.

G. George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO

43. Atas usaha semua rakyat Pulau Pinang, kerajaan negeri amat bangga dengan pengiktirafan dari UNESCO sebagai tapak warisan dunia pada 7 Julai 2008 yang lalu. Kerajaan Negeri ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak di atas kerjasama dan komitmen yang telah diberikan bagi mendapatkan pengiktirafan tersebut yang akan disempurnakan oleh DYMM Yang di Pertuan Agong di Dataran Pahlawan, Kuala Lumpur pada 22 November 2008. Kejayaan ini secara tidak langsung akan merancakkan lagi industri pelancongan di Negeri Pulau Pinang.

44. Sebagai tanda penghormatan terhadap pengiktirafan yang berprestij ini, sempena ulang tahun ke-52 George Town diisytiharkan berstatus bandaraya, genap pada 1 Januari 2009, Kerajaan Negeri akan meraikannya dengan gelaran sebagai “UNESCO World Heritage City of George Town”. MPPP akan dpertanggungjawabkan untuk memberikan makna ke atas gelaran baru ini dengan menetapkan lingkaran sempadan George Town, yang akan “digariskan” untuk pengetahuan umum.

45. Pelbagai usaha telah diambil oleh Kerajaan Negeri dalam menjayakan pemuliharaan warisan di Negeri Pulau Pinang seperti penubuhan Pejabat Warisan Dunia (World Heritage Office) Peringkat Negeri Pulau Pinang; penubuhan State Heritage Fund; penubuhan Jabatan Warisan dan Technical Review Panel di Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

46. Kerajaan negeri telah memohon daripada Kerajaan persekutuan “dana benih” (seed money) sebanyak RM13 juta untuk mengekalkan dan menambah nilai sifat dan ciri warisan sedia ada. Pemberian pinjaman mudah sebanyak RM200 juta diperlukan bagi membantu Kerajaan Negeri dan tuan punya premis swasta memelihara dan memperbaiki bangunan-bangunan warisan di negeri ini. Terdapat 510 buah bagunan usang di Georgetown, di mana 223 adalah di dalam kawasan teras dan bakinya di kawasan penampan warisan. Selain daripada memulihkan bangunan usang, adalah perlu juga bangunan warisan yang sedia ada ditambah nilai.

47. Tapak warisan dunia UNESCO bukan sahaja mengharumkan nama Georgetown tetapi juga mengharumkan nama Malaysia dan perlukan sokongan wang yang memadai. Pengumuman peruntukan RM 50 juta oleh kerajaan persekutuan untuk dikongsi dengan Melaka jauh tidak mencukupi dan belum dapat diperolehi kerana tidak jelas mekanisma permohonannya. Langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri adalah:

i. Mengadakan sambutan tahunan kejayaan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO;

ii. Menyediakan benih dana sekurang-kurangnya RM 1 juta untuk memulakan kerja pemuliharaan warisan yang diuruskan oleh sebuah agensi pelaksana yang sedang dikaji;

iii. Menubuhkan Panel Penasihat Warisan yang dianggotai oleh pakar antarabangsa seperti Encik Richard Engelhart;

iv. Mengadakan dialog dengan pihak berkepentingan bagi memudahkan perlaksanaan Pelan Pengurusan Pemuliharaan;

v. Menganjurkan Bengkel Perlindungan Monumen Lama dan Tanah dan Bangunan yang mempunyai kepentingan sejarah atau senibina;

vi. Memastikan Rancangan Tempatan Pulau Pinang 2020 (Pulau) mengambilkira perkara-perkara yang diliputi oleh dossier dan Pelan Pengurusan Pemuliharaan;

vii. Mempromosikan kawasan tapak warisan dengan mengadakan pakej ‘Jejak Warisan George Town’ atau ‘George Town Heritage Trail’ untuk tujuan pendidikan.

TERAS KEDUA: MEWUJUDKAN PELUANG-PELUANG PEKERJAAN

A. Ke Arah Masyarakat Yang Celik Teknologi Maklumat- [email protected]

48. Untuk memupuk masyarakat celik teknologi maklumat, kerajaan negeri melancarkan satu inisiatif baru, [email protected]”. [email protected]” membolehkan Negeri Pulau Pinang menjadi negeri wifi pertama di Malaysia di mana kemudahan Internet boleh disambung di seluruh pelusok negeri dalam masa 2 tahun. Inisiatif ini berhasrat meningkatkan kadar penembusan pengguna jalur lebar daripada 25% kepada 50 peratus dan pemberian kemudahan ini secara percuma kepada isi rumah, memenuhi pemberian kemudahan berlandaskan 3A; iaitu ’Accessibility, Availability dan Affordability’. Inisiatif ini akan meningkatkan daya saing dan memperbanyakkan peluang pekerjaan di Negeri Pulau Pinang serta merapatkan jurang digital di kalangan rakyat Pulau Pinang.

49. Pemberian “[email protected]” secara percuma kepada rakyat Pulau Pinang merapatkan jurang di antara yang miskin dan kaya kerana semua dapat sama-sama menerima menfaat. Ia juga mengurangkan jurang digital yang memisahkan warga bandar dengan luar bandar. Dua syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia menyertai inisiatif “[email protected]”:

• Penang Free WiFi oleh jalinan kerjasama antara Syarikat REDtone Telecommunications Sdn. Bhd. dan Syarikat Hotgate Technology (M) Sdn. Bhd. telah dilancarkan pada 18 September 2008; dan

[email protected] oleh Syarikat Packet One (P1) Networks (M) Sdn. Bhd. telah dilancarkan pada 25 September 2008.

50. Projek Penang Free WiFi akan menawarkan perkhidmatan capaian Internet tanpa wayar (WiFi) secara percuma dan [email protected] yang lebih cepat akan diberikan dengan harga berpatutan kepada rakyat Pulau Pinang. Sebanyak 750 hotspot wireless dan rangkaian Wimax dikenalpasti di lokasi yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi di bahagian pulau dan Seberang Perai. Kini tingkat tertentu di Komtar sudah menyediakan wireless secara percuma.

51. Seiring dengan matlamat kerajaan untuk memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan, penggunaan pelbagai sistem dalam urusan harian jabatan akan terus dipertingkatkan. Antara sistem yang telah diperkenalkan ialah sistem e-bayar, e-perolehan, sistem SPEKS, e-Perumahan, iDirektori dan penggunaan e-mel serta SMS. Melalui sistem ini, perkhidmatan dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan.

B. SEKTOR PEMBANGUNAN USAHAWANAN

52. Kerajaan negeri melancarkan program bimbingan usahawan, termasuk usahawan Melayu dalam bentuk bantuan kewangan, penyediaan infrastruktur dan premis perniagaan, program promosi dan pemasaran. Salah satu Program Bimbingan Usahawan Negeri Pulau Pinang dijadualkan pada 14 Disember 2008 di PISA.

53. Satu Tabung Modal Pusingan Peniaga dan Penjaja Kecil Negeri Pulau Pinang akan ditubuhkan dengan peruntukan berjumlah RM500,000. Tabung ini bertujuan membantu peniaga dan penjaja kecil mendapat kemudahan kewangan bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan atau mempertingkatkan perniagaan yang telah diceburi. Bantuan akan diberikan dalam bentuk pinjaman dengan jumlah maksima tidak melebihi RM10,000. Tabung berkenaan akan dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Agensi pelaksananya juga adalah PDC.

54. PDC turut terlibat dalam penyediaan premis pernigaaan seperti ruang niaga, gerai untuk penjaja kecil dan kilang siapbina IKS secara jualan dan skim sewa beli. Pada masa ini, PDC sedang membina sebuah Indoor Arcade & Seafood Centre di Bandar Cassia Batu Kawan yang berharga RM13.2 juta. Pembinaan projek ini adalah daripada peruntukan yang diperolehi daripada Kementerian Pelancongan Malaysia (RM3.8 juta sahaja) dan juga peruntukan PDC sendiri. Projek ini akan menyediakan ruang niaga dan pusat makanan laut bagi memberi peluang kepada usahawan termasuk Bumiputera untuk bersama-sama menceburi dalam bidang perniagaan berasaskan makanan laut dan produk pelancongan.

C. Tabung Pembangunan Latihan Industri Negeri Pulau Pinang

55. Kerajaan negeri bersedia menghadapi sebarang kehilangan pekerjaan akibat kemelesetan ekonomi dengan menubuhkan suatu Tabung Pembangunan Latihan Semula Industri Negeri Pulau Pinang untuk membantu pekerja-pekerja yang kehilangan pekerjaan mendapat latihan semula supaya mereka masih employable. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM500 juta memandangkan 30% ekspot Malaysia datangnya daripada Negeri Pulau Pinang. Pada masa yang sama Kerajaan Negeri bercadang menyediakan RM10 juta (yang tidak sempat diambilkira dalam anggaran Bajet ini) untuk tabung ini bagi melaksanakan program kemahiran terutamanya mereka yang hilang pekerjaan semasa krisis ekonomi.

56. Tabung ini membuktikan keyakinan kerajaan negeri ke atas masa depan Negeri Pulau Pinang dan dikhususkan untuk mereka yang bermastautin di sini. Agensi pelaksana adalah investPenang bersama dengan PSDC. Ia memenuhi keperluan tenaga kerja mahir industri dalam era k-ekonomi, penawaran kursus yang bersesuaian seperti tekonologi LED dan bioteknologi akan ditingkatkan bagi memenuhi kehendak industri semasa.

57. Worst case scenario kemelesetan ekonomi dijangka selama 1-2 tahun. Kerajaan negeri akan terus mengadakan misi promosi pelaburan, memperbanyakkan peluang perniagaan, menjalankan projek infrastruktur dan pelancongan kerana mahu melihat secara jangka masa panjang melepasi kemelesetan ekonomi atau looking beyond the recession. Ekonomi bergerak secara putaran (cyclical) dan kami mesti bersikap positif dan bersiap sedia untuk masa depan bila ekonomi pulih semula.

D. Program Bantuan Pendidikan RM 8.5 Juta Kepada 172 Buah Sekolah

58. Pendidikan yang baik merupakan batu asas kemakmuran ekonomi sesebuah negeri dan kejayaan seseorang individu. Walaupun pendidikan bukan tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, tumpuan akan terus diberikan demi mempergiatkan pembangunan sumber manusia. Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM8.5 juta dalam bentuk wang atau harta modal kepada sekolah bantuan modal atau bantuan kerajaan seperti di bawah. Peruntukan akan diberikan mengikut keperluan. Oleh yang demikian, sekolah yang mampu tidak akan diberikan peruntukan.

PECAHAN PERUNTUKAN YANG DICADANGKAN MENGIKUT JENIS SEKOLAH

59. Program Bureau on Learning Difficulties (BOLD) dan Penang Education Consultative Counci l(PECC) sebanyak RM 324, 600 akan terus dipantau dan kanak-kanak dari latar belakang sosio-ekonomi yang miskin akan dibantu bagi mengelak sebarang keciciran dalam pendidikan. Socio Economic And Environmental Research Institute atau SERI yang menjalankan penyelidikan ekonomi dan pendidikan, diperuntukkan sebanyak RM 2.5 juta untuk memberikan input dan data yang berkenaan.

60. Satu hab pendidikan dikenalpasti di Balik Pulau bagi memperbanyakkan lagi peluang pendidikan dari semua jenis sekolah dan aliran, termasuk sekolah antarabangsa dan profesional untuk semua pelajar dari dalam dan luar negeri seperti Timur Tengah, Korea dan Eropah. Penglibatan syarikat industri terkemuka akan membolehkan pendidikan aplikasi yang lebih relevan dan serasi diajar. Dengan pengiktirafan USM sebagai Universiti APEX, kemudahan-kemudahan di USM membolehkan wujudnya peluang pengajian di peringkat tinggi, termasuk kepada golongan pekerja selaras dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat.

TERAS KETIGA: MENJAMIN KEADILAN SOSIO-EKONOMI

A. Membasmi Kemiskinan Tegar

61. Kerajaan Negeri akan memastikan pembangunan fizikal dibangunkan selari dengan pembangunan masyarakat sejahtera. Terdapat 324 buah keluarga disenaraikan dalam Pendapatan Garis Kemiskinan bagi ketegori miskin tegar yang berpendapatan kurang daripada RM 400 sebulan. Kerajaan Negeri telah mensasarkan untuk mencapai tahap kemiskinan tegar sifar menjelang Mac 2009. Wang peruntukan untuk membasmi miskin tegar tidak menentu sehingga kajian bilangan keluarga miskin tegar tamat pada akhir bulan November 2008.

62. Tumpuan yang selama ini diberikan kepada ketua isi rumah (KIR), akan diperluaskan kepada anak-anak keluarga miskin mengikut peringkat umur iaitu 5 tahun hingga 12 tahun; 13 tahun hingga 17 tahun dan 18 tahun ke atas. Sebagai membuktikan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri, semua wakil rakyat telah disaran untuk turun padang sebagai usaha memastikan semua penduduk miskin mendapat perhatian yang sewajarnya.

63. Langkah-langkah dan inisiatif baru akan dirangka bagi membasmi kemiskinan iaitu bukan sahaja dengan hanya menyediakan bantuan-bantuan berbentuk kewangan dan peralatan semata-mata, malah fokus akan lebih terarah kepada program-program berbentuk latihan, kursus kemahiran, motivasi untuk perubahan sikap dan pembangunan minda serta kerohanian. Dengan kata lain, memberikan ikan dan pancing mengikut kesesuaian. Kerajaan Negeri akan bekerjasama rapat dengan Pusat Urus Zakat, Badan Bukan Kerajaan, pertubuhan keagamaan dan sektor swasta yang telah menyatakan kesediaan untuk turut membantu Kerajaan Negeri di bawah program Corporate Social Responsibility (CSR).

B. Bantuan Rebet RM 100 Kepada Hampir 170, 000 Keluarga

64. Kenaikan harga barangan di pasaran dunia telah memberi kesan secara langsung kepada rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana. Menyedari akan keperitan hidup golongan ini, Kerajaan Negeri telah mengumumkan pemberian bantuan wang ehsan kepada golongan berkenaan melalui rebet bekalan air sebanyak RM100. Pemberian ini akan dilaksanakan dalam pembayaran empat kali ansuran iaitu sebanyak RM25 mulai 15 November 2008 dan dijangka akan memanfaatkan hampir 170, 000 keluarga di Negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri sedar bahawa pemberian wang ehsan sebanyak RM100 ini, sememangnya tidak mencukupi tetapi ianya merupakan satu petanda besar bahawa kerajaan yang berjiwa rakyat tidak pernah melupakan kesulitan dan kesusahan rakyat dalam menghadapi krisis kewangan global yang menyebabkan kehilangan pekerjaan. Kerajaan Negeri dijangka membelanjakan RM17 juta untuk tujuan ini.

C. Mengenangkan Sumbangan Wanita

65. Golongan wanita adalah aset utama dalam pembentukan keluarga dan masyarakat yang cemerlang, seterusnya menjadi pemangkin kepada kemajuan pembangunan sesebuah negeri berkenaan. Mengenang kepentingan golongan wanita ini, program-program yang mengikis sikap serong masyarakat dan mengukuhkan martabat wanita akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2009 dengan kos RM 800, 000 seperti berikut:

i. Penganjuran Hari Wanita 2009, Seminar Kesedaran Hak Asasi Wanita dan kursus latihan dengan peruntukan sebanyak
RM130, 000;

ii. Membaikpulih Pusat Perkhidmatan Wanita di Seberang Perai dengan peruntukan sebanyak RM150, 000;

iii. Menubuhkan Pusat Jagaan Kanak-kanak di kawasan Bayan Baru atau Bayan Lepas dengan peruntukan sebanyak RM160, 000;

iv. Menambahbaik Pusat Jagaan Kanak-kanak yang sedia ada di Padang Tembak dengan peruntukan sebanyak RM110,000;

v. Memperkenalkan satu pendekatan baru iaitu ’International Networking’ yang mendedahkan mengenai kaedah atau sistem yang digunapakai oleh pihak luar dalam usaha pembangunan wanita.

D. Pembangunan Belia

66. Kerajaan Negeri sentiasa berhasrat untuk membangunkan generasi muda berasaskan pegangan sistem nilai dan bentuk gaya hidup yang berkualiti serta berwawasan. Pelbagai rancangan latihan semula yang berterusan dalam teknologi maklumat dan komunikasi, perniagaan dan keusahawanan serta program latihan kemahiran teknikal telah dirancang dengan Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM 230, 000. Semua ini bertujuan melengkapkan golongan belia dengan kepimpinan, pengetahuan dan kemahiran untuk menghadapi cabaran kerjaya yang semakin kompetitif.

E. Pembangunan Sukan

67. Pembangunan sukan sangat penting dalam memperkukuhkan keharmonian, perpaduan, semangat patriotisme dan membentuk masyarakat yang berdisiplin dan berdaya saing. Justeru itu, Kerajaan Negeri akan terus memberi fokus kepada dua teras sukan iaitu sukan untuk semua dan sukan berprestasi tinggi. Sebanyak RM 4.1 juta diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

68. Demi memberikan kemudahan yang setaraf dengan negeri lain, Kerajaan Negeri menggesa Kerajaan Persekutuan meneruskan pelaksanaan projek dry gymnasium berjumlah RM 3.5 juta seperti yang telah dijanjikan. Selain itu, ada juga inisiatif daripada pihak swasta yang menyata keinginan kepada Kerajaan Negeri bagi pembinaan stadium sukan tertentu di atas sumbangan tanah Kerajaan Negeri di bandaraya George Town dan kawasan Bagan di mana kos perbelanjaan ditanggung oleh mereka sendiri

E. Perumahan

69. Adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri agar setiap keluarga di Pulau Pinang memiliki rumah sendiri berdasarkan konsep “Satu Keluarga Satu Rumah” terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan. Kerajaan Negeri merancang untuk melaksanakan perumahan awam kos sederhana rendah di kawasan Seberang Perai dan Balik Pulau. Tanah-tanah yang bersesuaian sedang dikenal pasti.

70. Bagi memastikan projek diselenggarakan mengikut keperluan Akta Bangunan Dan Harta Bersama (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2007 dan Akta Hakmilik Strata (Pindaan 2007), Kerajaan Negeri dalam proses menubuhkan Badan Pengurusan (Management Corporation) dan Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body). Langkah ini adalah selaras dengan sasaran Kerajaan Negeri untuk menggalakkan pengurusan bangunan secara bersama di antara pembeli petak dan pihak pemaju tanpa mengharapkan bantuan Kerajaan Negeri semata-mata.

F. Kesihatan

71. Bagi mempertingkatkan usaha memperbaiki mutu kesihatan rakyat di Negeri Pulau Pinang, tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan program-program seperti program promosi pencegahan kesihatan, pengukuhan pelan tindakan bencana, penstrukturan dan penyepaduan program di klinik kesihatan, penaiktarafan infrastruktur kesihatan, peningkatan pengurusan sumber manusia dan pengurusan data yang efektif. Sebanyak RM 107, 000 diperuntukkan.

G. Keprihatinan Ke Atas Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU)

72. Keprihatinan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan kepada golongan OKU di Pulau Pinang telah mendapat perhatian oleh Kerajaan Persekutuan. Kelulusan telah diperolehi daripada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk kajian “Transport for the Disabled: Support of the Development of Accessible Transport in Penang”. Sebahagian daripada kos projek yang berjumlah RM1.7 juta akan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan manakala sebahagian lagi akan dibiayai bersama oleh UNDP. Kajian ini telah bermula pada awal tahun 2008 dan akan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan. Di samping itu, MPPP dan MPSP akan diminta untuk mengenakan kemudahan mesra-OKU di tempat-tempat awam.

ISU KESELAMATAN, KESESAKAN LALU LINTAS DAN KEBERSIHAN

A. Perkhidmatan Bas Central Area Transport (CAT) Secara Percuma

73. Kerajaan Negeri juga telah memutuskan untuk menyediakan semula perkhidmatan bas shuttle Central Area Transport (CAT) secara percuma di pusat bandar George Town di bawah MPPP dalam masa tiga bulan. Untuk fasa pertama perkhidmatan ini, laluan bas adalah dari Pengkalan Weld (feri) ke KOMTAR dan akan diperluaskan ke Bangunan Persekutuan di Jalan Anson kelak.

B. Penjaja Stesen Keretapi Bukit Bendera

74. Sepertimana yang semua sedia maklum, perkhidmatan Keretapi Bukit Bendera telah dihentikan buat sementara waktu bermula pada bulan Jun 2008. Bagi membantu penggerai yang terjejas pendapatannya, Kerajaan Negeri telah mengarahkan MPPP mengurangkan bayaran sewa gerai daripada RM36.00 kepada RM1.00 sebulan kepada mereka di Stesen Atas manakala bagi penggerai di Stesen Bawah, kadar sewa gerai dikurangkan daripada RM150.00 kepada RM30.00 sebulan. Bayaran sewa asal akan kembali seperti sedia kala sebaik sahaja keretapi Bukit Bendera diperbaiki.

C. Alam Sekitar

75. Dalam memelihara kualiti alam sekitar di Negeri Pulau Pinang ini, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada empat aspek utama iaitu pengurusan, pemantauan, penguatkuasaan dan peningkatan tahap kesedaran rakyat. Sebanyak RM 100, 000 diperuntukkan bagi aktiviti dan program kesedaran. Dasar Alam Sekitar Negara akan dilaksanakan yang antaranya termasuklah :

i. Mengintegrasikan alam sekitar dalam perancangan dan pelaksanaan dasar, memperkukuhkan peranan sektor swasta dalam perlindungan dan pengurusan alam sekitar; dan

ii. Memastikan komitmen yang tinggi diberikan ke atas aspek perlindungan alam sekitar dalam aktiviti perancangan dan pelaksanaan oleh semua pihak sama ada sektor awam, swasta, badan bukan kerajaan mahupun masyarakat keseluruhannya.

76. Kerajaan Negeri juga akan memastikan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) difokuskan sebagai kawasan pengekalan dan pemeliharaan. Keutamaan akan diberi kepada aspek pemindahan dan pembangunan teknologi alam sekitar dan penyelidikan untuk menggalakkan inovasi teknikal dan saingan peringkat antarabangsa. Sehubungan ini, Kerajaan Negeri telahpun memberi sumbangan awal sebanyak RM390, 000.00 kepada SIRIM Berhad untuk menyediakan satu rangka kerja rujukan bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) supaya dapat menghasilkan pengeluaran dan penggunaan mapan sebagai penyelesaian masalah alam sekitar jangka panjang.

77. Pengalaman lalu telah membuktikan bahawa Kesatuan Eropah mempunyai pelbagai arahan dan perundangan yang ketat ke atas kemasukan produk pengeluaran ke negara anggotanya di mana pengusaha makanan laut sejuk beku negara ini telah dilarang mengeksport makanan beku ke Eropah disebabkan kegagalan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah. Kerajaan Negeri tidak mahu melihat produk E&E juga menerima nasib yang sama. Oleh itu, satu pelan tindakan komprehensif bagi meneruskan projek tersebut sedang disediakan dan hasilnya akan membolehkan Kerajaan Negeri menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai “Penang Green Manufacturing Hub” yang akan membantu merancakkan lagi kemasukan pelabur ke Pulau Pinang.

78. Dalam menangani isu pelupusan sisa pepejal, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk membina dua buah Kompleks Material Recovery Facility (MRF) berjumlah RM 80 juta. Kompleks tersebut bakal dibina di Tapak Pelupusan Jelutong di bahagian pulau dan Pulau Burong di Seberang Perai Selatan. Pembinaan kedua-dua kompleks tersebut dipersetujui akan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan secara prinsip dan akan dilaksanakan oleh sektor swasta sebaik sahaja kelulusan diperolehi daripada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

D. MPPP & MPSP

79. Satu aspek kualiti hidup yang amat penting ialah keselamatan. Kami selaku Kerajaan Negeri menghargai kejayaan pihak PDRM Pulau Pinang di bawah pimpinan Ketua Polis Negeri, Dato Wira Ayub bin Yaakob mengurangkan kenaikan jenayah indeks ke tahap di antara yang paling rendah di negara. Walau bagaimanapun, rakyat Pulau Pinang tidak akan hidup dengan aman dan tenteram selagi mereka “bukan sahaja selamat tetapi mesti merasai selamat” – “not only be safe; but also feel safe”.

80. Beberapa insiden jenayah berprofil tinggi telah menimbulkan keresahan di kalangan rakyat Negeri Pulau Pinang. Tambahan anggota dalam Pasukan Gerakan Am seramai 160 anggota untuk mengawal keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang memang tidak mencukupi bagi menjamin keselamatan seluruh Negeri Pulau Pinang. Oleh kerana Kerajaan Negeri tidak sanggup melihat keselamatan awam di Pulau Pinang terus tergugat kerana kekurangan anggota polis, Kerajaan Negeri sanggup membelanjakan wang.

81. Langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan lagi keselamatan dan keberkesanan mencegah dan membanteras jenayah di Negeri Pulau Pinang adalah seperti berikut:-

i. Dana permulaan sebanyak RM 1 juta oleh Kerajaan Negeri dan RM14.8 juta dipohonkan daripada Kerajaan Persekutuan untuk anggota ataupun pasukan rondaan sukarelawan yang berdisiplin dan terlatih demi membantu kekurangan anggota polis;

ii. Memasang sistem CCTV di kawasan-kawasan jenayah yang berisiko.

82. Kerajaan Negeri juga telah memohon daripada Kerajaan Persekutuan bagi membiayai sistem CCTV yang menelan belanja sebanyak RM43,650,000.00 bagi pemasangan 485 unit CCTV bagi tempoh 5 tahun di kawasan hitam. Bukan itu sahaja, 48 CCTV yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk kawasan MPPP dan MPSP masih belum dipasang sehingga kini. MPPP telah memasang sebanyak 31 unit CCTV sejak tahun 2008 atas tanggungan kos sendiri. Bagi tujuan meningkatkan tahap keselamatan, kompleks membeli belah telah diarah untuk memasang CCTV. Setakat ini sebanyak 11 kompleks membeli belah telah memasang CCTV iaitu 6 di kawasan tempat letak kereta dan 5 di dalam bangunan. Selain itu, sebanyak 23 buah rumah bertingkat telah dilengkapi dengan kelengkapan CCTV iaitu 19 ditempat letak kereta dan 4 di dalam bangunan.

83. Saya ingin mengucapkan syabas kepada MPPP kerana pada kali pertama dalam sejarahnya telah berjaya meluluskan Bajet RM221,841,795 yang merupakan Bajet Berimbang 2009 berbanding dengan Bajet Berdefisit sebanyak RM16.8 juta pada tahun 2008. Kejayaan ini dicapai tanpa mengurangkan aktiviti tetapi meningkatkan program kebersihan.

84. Bagi MPSP, kedudukan kewangannya agak genting sehingga Bajet MPSP untuk tahun 2009 tidak dapat memperuntukkan wang bagi pembangunan. Kerajaan sememangnya memandang serius terhadap kelemahan ini yang mana akan menjejaskan pemberian kemudahan asas kepada rakyat. Bajet Berdefisit MPSP 2009 sebanyak RM15.5 juta dengan pendapatan hanya RM145 jua berbanding dengan perbelanjaan RM160 juta. Kerajaan Negeri memandang serius dan akan berbincang dengan MPSP apakah jalan keluar dan akan mengambil tindakan tegas ke atas punca ketirisan yang merupakan angkara pentadbiran yang boros, menyalahi prosedur dan tidak berkepentingan awam.

YB TUAN SPEAKER

PRESTASI BAJET 2008

Prestasi Kutipan Hasil

85. Prestasi kutipan hasil sebenar Kerajaan Negeri bagi tahun 2008 setakat ini ialah RM307.89 juta iaitu melebihi jumlah kutipan hasil sebenar pada tahun 2007 sebanyak RM12.04 juta iaitu peningkatan sebanyak 4.07%. Sebab-sebab hasil meningkat ialah kerana peningkatan dalam Hasil Cukai terutamanya cukai tanah dan Hasil Bukan Cukai yang meliputi pengeluaran lesen dan permit, bayaran perkhidmatan, jualan barang, sewaan dan faedah pelaburan.

Prestasi Perbelanjaan Mengurus

86. Sehingga 31 Oktober 2008, sebanyak RM191.48 juta atau 60.11% daripada peruntukan RM318.56 juta telahpun dibelanjakan. Jumlah ini adalah melibatkan perbelanjaan emolumen RM71.45 juta (61.79%), perkhidmatan dan bekalan RM38.80 juta (56.55%), pemilikan aset RM0.78 juta (32.05%), pemberian dan kenaan bayaran tetap RM0.79 juta (62.34%) dan bakinya ialah lain-lain perbelanjaan (27.97%) daripada peruntukan yang disediakan. Prestasi perbelanjaan yang rendah bagi pemilikan aset adalah berkait rapat dengan dasar penjimatan yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri di mana kelulusan adalah diberikan bagi perolehan kemudahan-kemudahan pejabat yang asas sahaja manakala bagi emolumen, perkhidmatan dan bekalan pula disebabkan semakan semula di buat ke atas jawatan-jawatan kosong sedia ada di mana keutamaan penempatan adalah bagi jawatan-jawatan yang kritikal sahaja.

Prestasi Perbelanjaan Pembangunan

87. Sejumlah RM162.53 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan projek pembangunan di mana sebanyak RM65.53 juta adalah peruntukan langsung oleh Kerajaan Negeri dan baki RM97 juta lagi merupakan pinjaman. Setakat 31 Oktober 2008, sebanyak RM109.85 juta atau 67.59% daripada peruntukan pembangunan telahpun dibelanjakan melibatkan projek-projek pengambilan balik tanah, projek bekalan air, pengairan dan saliran, pengurusan hutan, pengurusan Taman Botani, pembaikan jalan, pembaikan dan penyelenggaraan masjid, pembangunan masyarakat, perkhidmatan veterinar dan pembangunan pertanian.

BAJET TAHUN 2009

88. Bagi tahun 2009, Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang dikutip berjumlah RM291,743,300 (Ringgit Malaysia: Dua Ratus Sembilan Puluh Satu Juta, Tujuh Ratus Empat Puluh Tiga Ribu, Tiga Ratus). Komposisi hasil ini terdiri daripada hasil cukai sebanyak RM113.82 juta atau 39.01 peratus, hasil bukan cukai sebanyak RM121.28 juta atau 41.57 peratus dan terimaan bukan hasil sebanyak RM56.64 juta atau 19.42 peratus. Berbanding dengan anggaran tahun 2008 sebanyak RM 282.9 juta, pada keseluruhannya terdapat peningkatan hasil sebanyak RM8.85 juta pada tahun 2009 disebabkan pertambahan dalam kutipan cukai tanah dan tunggakan, duti hiburan, kutipan hasil bukan cukai yang antaranya termasuklah kutipan lesen panggung wayang, bayaran premium tanah berkaitan pemberian hak milik dan peningkatan faedah serta perolehan dari pelaburan.

89. Jumlah keseluruhan Perbelanjaan Mengurus bagi tahun 2009 ialah RM331,197,430 (Ringgit Malaysia: Tiga Ratus Tiga Puluh Satu Juta, Satu Ratus Sembilan Puluh Tujuh Ribu, Empat Ratus Tiga Puluh) manakala anggaran Bajet Pembangunan bagi tahun 2009 yang dicadangkan berjumlah RM 186,039,050 (Ringgit Malaysia: Satu Ratus Lapan Puluh Enam Juta, Tiga Puluh Sembilan Ribu, Lima Puluh). Sebagai satu gambaran menyeluruh, sejumlah RM477,236,480 (Ringgit Malaysia: Empat Ratus Tujuh Puluh Tujuh Juta, Dua Ratus Tiga Puluh Enam Ribu, Empat Ratus Lapan Puluh) yang mencakupi Perbelanjaan Mengurus dan Perbelanjaan Pembangunan dicadangkan untuk dibelanjakan bagi tahun 2009. Selaras dengan itu, ucapan saya akan merujuk kepada dua (2) risalah yang berkaitan, iaitu, Risalah Bil. No. 7 Tahun 2008 bagi Bajet Mengurus Tahun 2009 dan Risalah Bil. No. 8 Tahun 2008 bagi Bajet Pembangunan Tahun 2009. Dalam ucapan saya ini, saya akan menggabungkan pembentangan mengenai Bajet Mengurus dan Bajet Pembangunan bersekali.

90. Bajet keseluruhan yang dicadangkan bagi tahun 2009 sebanyak RM477.24 juta merupakan peningkatan sebanyak RM36.15 juta atau 8.20 peratus berbanding dengan bajet keseluruhan tahun 2008 sebanyak RM441.09 juta. Anggaran Bajet Mengurus yang berjumlah RM331.20 juta merupakan peningkatan sebanyak RM12.64 juta atau 3.97 peratus jika dibandingkan dengan Bajet Mengurus tahun 2008 sebanyak RM318.56 juta. Anggaran Bajet Pembangunan sebanyak RM186.04 juta jika dibandingkan dengan Bajet Pembangunan tahun 2008 (RM162.53 juta) merupakan peningkatan sebanyak RM23.51 juta atau 14.47 peratus.

91. Bajet tahun 2009 adalah merupakan Bajet Berdefisit sebanyak RM 39.4 juta iaitu RM 3.7 juta lebih besar daripada tahun 2008 sebanyak RM 35.67 juta. Akan tetapi setelah mengambilkira program-program sosial seperti pemberian RM 17 juta untuk bayaran penggunaan air sebanyak RM100.00 kepada keluarga miskin dan RM 8.5 juta untuk sekolah-sekolan bantuan kerajaan maka Bajet Berdefisit 2009 ini adalah jauh lebih rendah daripada tahun 2008.

BAJET BERDEFISIT SEBENAR TAHUN 2008 & 2009

92. Sekiranya dua program sosial untuk menghadapi kemelesetan ekonomi yang memakan perbelanjaan RM 25.5 juta tidak dilaksanakan, maka Bajet berdefisit 2009 sebenarnya RM 13.9 juta dan bukannya RM 39.4 juta. Jumlah RM 13.9 juta ini jauh lebih baik kerana hampir satu pertiga Bajet berdefisit 2008 sebanyak RM 35.7 juta. Langkah ini menunjukkan keperihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat berpendapatan rendah serta memberikan keadilan sosial dan ekonomi kepada rakyat dalam menangani kesan kenaikan harga barangan serta kos kehidupan yang meningkat di negeri ini.

93. Tujuan Rang Undang-Undang Perbekalan 2009 adalah untuk mendapatkan kuasa berkanun bagi membolehkan Kerajaan Negeri membuat Perbelanjaan Bekalan sebanyak RM318,767,450 (Ringgit Malaysia: Tiga Ratus Lapan Belas Juta, Tujuh Ratus Enam Puluh Tujuh Ribu, Empat Ratus Lima Puluh) bagi tahun 2009.

94. Peruntukan sejumlah RM12,429,980 (Ringgit Malaysia: Dua Belas Juta, Empat Ratus Dua Puluh Sembilan Ribu, Sembilan Ratus Lapan Puluh) diperlukan untuk Perbelanjaan Tanggungan mengikut undang-undang di bawah Kumpulan Wang Disatukan. Peningkatan anggaran Bajet Mengurus sebanyak 3.97 peratus jika dihalusi menunjukkan peningkatan sebanyak 6.49 peratus bagi Maksud Bekalan iaitu daripada RM299.33 juta kepada RM318.77 juta tetapi berkurangan sebanyak 35.36 peratus bagi Maksud Tanggungan iaitu daripada RM19.23 juta tahun 2008 kepada RM12.43 juta tahun 2009. Pengurangan anggaran perbelanjaan bagi Maksud Tanggungan ini adalah disebabkan pengurangan bagi bayaran tuntutan insuran dan pampasan, faedah, dividen dan lain-lain kenaan bayaran tetap dan ganjaran.

95. Y.B. Tuan Speaker, izinkan saya memberikan huraian mengenai Bajet tahun 2009 berbanding tahun 2008 lalu. Agihan Bajet Mengurus tahun 2009 mengikut Objek Am menunjukkan tambahan terbesar bagi Perkhidmatan dan Bekalan diikuti dengan emolumen, perbelanjaan-perbelanjaan lain dan harta modal manakala pemberian dan kenaan tetap pula berkurangan. Perkhidmatan dan Bekalan yang berjumlah RM75,645,550 mengalami pertambahan sebanyak RM6,999,750 atau 10.20 peratus daripada RM68,645,800 tahun 2008. Perbelanjaan lain-lain pula meningkat sebanyak RM1.98 juta iaitu kepada RM7.05 juta tahun 2009 berbanding RM5.09 juta tahun 2008. Perbelanjaan tahun 2009 bagi pemilikan harta modal juga bertambah iaitu sebanyak RM1.20 juta daripada RM2.02 juta tahun 2008 kepada RM3.22 juta.

96. Jabatan-jabatan yang mendapat peruntukan bekalan adalah seperti berikut :

97. Bajet Pembangunan yang dicadangkan pada tahun 2009 menunjukkan peningkatan bagi kedua-dua sumber pembiayaan samada secara langsung ataupun pinjaman. Daripada RM186.04 juta anggaran Perbelanjaan Pembangunan keseluruhan yang disediakan sebanyak RM110.96 juta atau 59.64 peratus adalah dibiayai secara pinjaman manakala baki RM75.08 juta lagi ialah pembiayaan secara langsung oleh Kerajaan Negeri. Anggaran Perbelanjaan Pembangunan melalui sumber pinjaman kesemuanya adalah merupakan pinjaman persekutuan iaitu untuk projek pengambilan balik tanah sebanyak RM80.76 juta bagi Projek Pembesaran Empangan Mengkuang dan RM25.0 juta untuk memperbaiki kualiti bekalan air minuman melalui Projek Mengurangkan Kadar Kehilangan Air Tidak Terhasil di Pulau Pinang (NRW). Peruntukan Pembangunan berjumlah RM75.08 juta yang dicadangkan dibiayai secara langsung oleh negeri bagi tahun 2009 merupakan tambahan sebanyak RM10.45 juta atau 6.43 peratus berbanding dengan tahun 2008.

98. Agihan mengikut jabatan menunjukkan jumlah peruntukan langsung yang disediakan adalah sama bagi tahun 2008 dan 2009 kecuali bagi Pejabat Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan, Jabatan Hal Ehwal Agama, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pertanian yang terdapat sedikit peningkatan manakala bagi Jabatan Pengairan dan Saliran pula terdapat pengurangan daripada RM10 juta kepada RM6 juta. Berikut ialah peruntukan yang disediakan kepada jabatan-jabatan bagi tahun 2009:


99. Pembentangan bajet tahun 2009 merupakan yang pertama di bawah Kerajaan Negeri yang baru. Oleh itu pelbagai langkah diambil untuk memantapkan pengurusan kewangan di Jabatan-jabatan negeri khususnya dari segi kawalan perbelanjaan secara berhemah, mewujudkan urus tadbir yang Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) dan memastikan wang negeri dibelanjakan dengan teratur dan memperolehi nilai yang terbaik.

PENUTUP
BAJET CAT PENYAYANG

Y.B. Tuan Speaker,

100. Sebagai merumuskan ucapan saya ini, Bajet Kerajaan Pakatan Rakyat pertama 2009 boleh disifatkan sebagai Bajet CAT penyayang. Kerajaan juga begitu komited melaksanakan strategi serampang tiga mata, iaitu pro-pertumbuhan, pro-pekerjaan dan pro-golongan miskin bagi mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi melalui eksport dan pelaburan.

101. Bajet CAT penyayang memulakan perjalanan dengan membolehkan:

i. Pulau Pinang menjadi negeri yang dinamik yang boleh memimpin semula sebagai negeri wifi pertama, negeri tender terbuka pertama yang kini dicontohi oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri pertama membasmi kemiskinan tegar;

ii. kita menyalurkan tenaga dan keikhlasan yang ada demi melengkapkan transformasi Negeri Pulau Pinang menjadi sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa. ;

iii. sebuah kerajaan berjiwa rakyat yang menjimatkan wang perbelanjaan supaya dapat memberikan wang ehsan dan kebajikan kepada rakyat susah serta memastikan pembangunan sekolah-sekolah bantuan kerajaan.

102. Negeri Pulau Pinang kaya dengan sumber manusia, etika kerja yang tinggi, warisan budaya, keharmonian sosial dan pemandangan yang indah. Kejayaan Negeri Pulau Pinang sebagai Lembah Silikon di Malaysia ini dibina atas asas kemahiran, keupayaan dan keusahawanan rakyatnya.

103. Ingin saya tekankan bahawa Kerajaan Negeri akan terus berusaha menyelaraskan polisi-polisi bagi menghapuskan longgokan kerja birokratik yang tersadai dan memajukan negeri ini demi kepentingan ekonomi sosial dan kesejahteraan rakyat. Walaupun pelbagai rintangan, halangan dan cabaran yang akan ditempuhi, saya yakin dan percaya bahawa Negeri Pulau Pinang mampu menanganinya dengan semangat perpaduan yang kukuh dan keazaman yang tinggi.

104. Ini adalah kerana saya yakin dengan rakyat Negeri Pulau Pinang yang dapat berjaya dalam bumi ini tanpa sebarang sumber semulajadi. Ini adalah kerana kekayaan bekalan modal insannya yang berkemahiran, rantaian perbekalan dan pekerja berpengetahuan. Lestari bermakna kita dapat menjamin kaedah atau cara penggunaan sumber sedia ada hari ini dan pada masa yang sama mengekalkan sumber yang kita perlukan di masa hadapan.

105. Negeri Pulau Pinang merupakan lambang berkekalan untuk harapan dan optimisme bagi negara – satu kenyataan walau pada ketika yang penuh kesukaran, rakyat masih menaruh kepercayaan dan harapan terhadap masa hadapan.

106. Oleh itu, bagi mengakhiri ucapan bajet ini, saya ingin mengucapkan terima kasih dan menyampaikan penghargaan saya kepada semua pihak termasuk Jabatan Kerajaan Negeri, Badan Berkanun Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Kerajaan Persekutuan, pihak swasta, NGO, pertubuhan dan pasukan sukarela, orang-ramai, individu dan semua pihak yang telah bersama-sama mengekalkan perpaduan, mewujudkan keamanan dan keharmonian dalam Negeri Pulau Pinang ini. Kerjasama dan komitmen sebegini telah mendorong dan membolehkan pelaburan asing bertapak dengan selesa di negeri ini serta menjadikan Negeri Pulau Pinang tempat yang selamat untuk didiami.

107. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan keselamatan dan pihak Polis yang selama ini berusaha membenteras kejadian jenayah di negeri ini di samping membendung aktiviti tersebut daripada menular dan mengganggu-gugat ketenteraman awam di negeri ini.

Sekian, Y.B. Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan.

Leave a Reply