Abdullah didesak supaya meluluskan peruntukan sebanyak RM10.26 Billion kepada negeri Pulau Pinang.

Saya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang mendesak YAB Dato’ Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia supaya meluluskan peruntukan sebanyak RM10.26 Billion kepada negeri Pulau Pinang sebelum menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada YAB Najib Tun Razak pada bulan Mac tahun depan.

Selepas menerima penamaan yang secukupnya dari UMNO, Najib Tun Razak menang tanpa bertanding sebagai Presiden UMNO yang seterusnya. Oleh yang demikian, saya berharap YAB Perdana Menteri sebagai anak watan Pulau Pinang dapat memberi sumbangan kepada rakyat jelata Pulau Pinang sebelum penyerahan tugas.

Saya telah menghantar surat rasmi kepada YAB Dato’ Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia pada 26 Sept, 2008 yang lalu, bagi memohon peruntukan persekutuan sebanyak RM10.26 billion untuk 18 projek/ program kritikal di Pulau Pinang yang semuanya dirancang bagi menjamin kesejateraan rakyat. Kesemua projek adalah sebahagian yang dijanjikan di bawah RMKe-9.

Dalam surat rasmi sepanjang lima belas (15) muka surat tersebut, Saya telah menyenaraikan projek-projek yang memerlukan peruntukan tersebut, jumlah dan tujuan peruntukan serta maklumat terperinci bagi setiap projek tersebut.

Antara projek-projek yang disenaraikan dalam surat rasmi tersebut adalah seperti yang berikut:

1 Projek Pembesaran Empangan Mengkuang
(RM1.1 bilion)
Kerajaan Negeri memohon pertimbangan untuk kos pembangunan projek yang dijangka melebihi RM1.1 bilion.

2 Kerja-kerja Menaiktaraf Sistem Keretapi Sedia Ada di Bukit Bendera
(RM40 juta )
Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 31 Julai 2008 telah memaklumkan keputusan bahawa Projek Menaiktaraf Sistem Keretapi di Bukit Bendera diteruskan pelaksanaannya di bawah RMKe-9 dengan kos projek sebanyak RM40.0 juta.

3 Pelaksanaan Program Membasmi Kemiskinan Tegar Sifar
(RM7.9 juta)
Kerajaan Negeri ingin melaksanakan program membangunkan kemahiran dan keusahawanan di kalangan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar (lebih 400 keluarga) supaya meningkatkan pendapatan mereka melebihi daripada jumlah pendapatan RM400.00 sebulan.

4 Usaha Meningkatkan Keselamatan Penduduk
(RM58,450,000)
Peruntukan sebanyak RM43,650,000.00 diperlukan untuk memasang 485 unit CCTV di premis-premis awam bagi tempoh 5 tahun. Untuk mengadakan rondaan oleh pasukan sukarelawan yang berdisiplin dan terlatih demi membantu kekurangan anggota polis, Kerajaan Negeri memerlukan peruntukan RM14.8 juta.

5 Masalah Kesesakan Lalu Lintas
(RM50 juta)
memohon semula kepada Kerajaan Persekutuan supaya mempertimbangkan pinjaman mudah RM50.0 juta bagi memulakan sistem pengangkutan ”multi-mode” merangkumi bas dan sebagainya bagi kawasan Pulau Pinang dan Seberang Perai.

6 Kerja-kerja Pendalaman North Channel
(RM323 juta )
meningkatkan kemudahan infrastruktur dan keupayaan kendalian kargo kontena melalui pelabuhan selaras dengan perancangan untuk membangunkan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai hub port bagi IMT-GT

7 Menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Membina Kompleks Maintenance Repair Overhaul (MRO) dan Fixed Based Operation (FBO)
(RM1.7 bilion)
Pembinaan tempat pemakiran pesawat tambahan dan penambahan kaunter daftar masuk dalam terminal kini dalam peringkat pelaksanaan. kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan-kemudahan, kerja-kerja menaiktaraf kawasan kargo dan tempat letak kereta perlu terus dijalankan.Tanah tambahan akan diambilalih untuk tujuan ini.

8 Projek Monorel
(RM2.5 Bilion)
Projek ini telah ditangguhkan pelaksaan di bawah Kajian Separuh Penggal RMKe-9, tetapi negeri Pulau Pinang berharap dapat dipertimbangkan semula.

9 Projek Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR)
(RM1.5 Bilion)
PORR merupakan satu keutamaan di bawah RMKe-9. Kerajaan Negeri amat mengharapkan PORR sebanyak RM1.5 bilion dapat diteruskan pelaksanaannya, dengan mengikut jajaran baru yang mana dijangka dapat menjimatkan kos projek sebanyak 20%.

10 Rancangan Tindakan Pemuliharaan Warisan sempena Pengiktirafan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO
(Permohonan “Dana Benih” (Seed Money) Sebanyak RM13 juta dan Pinjaman Mudah RM200 juta.)
”Dana Benih” adalah bagi memastikan Georgetown dapat mengekalkan dan menambah nilai sifat dan ciri warisan sedia ada. Pinjaman mudah sebanyak RM200 juta diperlukan bagi membantu Kerajaan Negeri dan tuan punya swasta dalam usaha-usaha pemuliharaan dan pembaikan bangunan-bangunan warisan di negeri ini. Terdapat 510 buah bagunan usang di Georgetown, di mana 223 adalah di dalam kawasan teras dan penampan warisan.

11 Membina Kereta Kabel dari Bukit Bendera ke Teluk Bahang
(RM200 juta)
Kerajaan Negeri pada prinsipnya bersetuju dengan pelaksanaan projek ini yang akan disasarkan bemula setelah kerja-kerja menaiktaraf sistem Keretapi Bukit Bendera selesai.

12 Projek Pusat Halal Hab di Balik Pulau dan Batu Kawan
(RM500 juta)
Cadangan satu kawasan perindustrian bagi pengeluaran barangan makanan dibangunkan di Balik Pulau untuk menggalakkan makanan secara komersil, terutama makanan halal untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

13 Projek Perumahan Awam (Pulau Pinang dan Seberang Perai)
(RM500 juta)
Beberapa tapak telah juga dicadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan skim Projek Perumahan Rakyat.

14 Penyelenggaraan Stadium Negeri Batu Kawan
(RM20 juta)
Pada masa kini kos pengurusan Stadium Negeri Batu Kawan sebanyak RM550,000.00 setahun dibiayai oleh Kerajaan Negeri. Dianggarkan kos untuk kerja-kerja pembaikan dan upgrading kemudahan-kemudahan dan utiliti di Stadium Negeri Batu Kawan sebanyak RM20.0 juta diperlukan.

15 Projek Pembangunan Tapak Ekspo Seberang Jaya
(RM9 juta)
Kerajaan Persekutuan pada awal tempoh RMKe-9 telahpun meluluskan peruntukan sebanyak RM9.0 juta untuk Projek ini di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Kontraktor juga telah dilantik oleh pihak Kementerian, namun perancangan projek telah ditangguhkan.

16 Menaiktaraf Kawasan Perindustrian Bayan Lepas dan Perai
(RM66.2 juta)
Di bawah RMKe-9 sebanyak RM128.0 juta telah diperuntukkan bagi projek tersebut. Walau bagaimanapun, siling peruntukan ini telah dikurangkan kepada RM61.8 juta, dengan agihan sebanyak RM35.2 juta kepada MPPP dan RM26.6 juta kepada MPSP. Sekiranya tindakan membaikpulih tidak dilaksanakan segera adalah dikhuatiri akan menjejaskan keyakinan peluang-peluang pelaburan baru.

17 Projek Rancangan Tebatan Banjir Bagi Mengatasi Masalah Banjir
(RM970.0 juta)
Sebanyak RM670 juta diperlukan bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), RM300 juta untuk membina 50 pam air dan 5 kolam takungan air dan ban untuk merawat air di luar kawasan RTB

18 Program Pembangunan Pelancongan
(RM500 juta)
Kerajaan Negeri kini memberi tumpuan kepada pengurusan destinasi (destination marketing) dalam memastikan semua produk pelancongan, infrastruktur dan kemudahan destinasi, dibangun dan diselenggara setiap masa serta dinaiktaraf dari semasa ke semasa. Kerajaan Negeri juga telah mengenalpasti kawasan Balik Pulau dan Batu Kawan/Nibong Tebal yang kaya dengan pelbagai sumber semula jadi dipromosi sebagai daya tarikan pelancongan yang baru. Penekanan kepada ekopelancongan dan agropelancongan akan mempopularkan kedua-dua kawasan terlibat.

Leave a Reply