UCAPAN PENGGULUNGAN (Part 1)

Yang Berhormat Tuan Speaker

1. Saya bangun untuk menyampaikan ucapan penggulungan mengenai perbahasan ke atas ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang. Terlebih dahulu izinkan saya merakamkan ucapan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang di atas perlanjutan pelantikan Yang Berbahagia Tun bagi tempoh satu tahun lagi. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian Tuan Yang Terutama Tun memberikan ucapan di Persidangan Dewan Mesyuarat Yang Pertama bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri yang Kedua Belas pada 20 April 2009 lalu dan di atas naungan Tuan Yang Terutama Tun, negeri ini berada dalam keadaan aman makmur dan sejahtera.

2. Ucapan tahniah juga saya rakamkan kepada Dato’ Zainal Rahim Bin Seman di atas pelantikan beliau sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Yang Berhormat Tuan Speaker

3. Dalam ucapan penggulungan ini saya akan menyentuh perkara-perkara yang dibahaskan serta soalan-soalan yang berbangkit semasa perbahasan mengenai ucapan Tuan Yang Terutama yang berkaitan dengan portfolio saya iaitu kewangan, pelaburan, keselamatan, tanah, pembinaan & penyelenggaraan dan penerangan. Ia berkisar kea rah wawasan kerajaan negeri untuk menjana transformasi yang boleh menjayakan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa. Selain daripada kemudahan asas dan perkhidmatan bertaraf antarabangsa termasuk jalur lebar (broadband) dan internet, kita juga perlukan minda (mindset) atau pemikiran yang setara. Yang penting dan sukar sekali ialah lonjakan paradigma dan minda supaya kita terbuka dengan pandangan baru dan terdedah dengan idea baru supaya kita dapat mengecapi kemajuan dan kemakmuran yang dipenuhi nilai tamadun halus dalam sebuah masyarakat madani.

KEWANGAN

4. Menjawab persoalan Yang Berhormat Teluk Bahang berkaitan hasil, prestasi perbelanjaan Mengurus ialah RM283.15 juta atau 88.8 % daripada bajet keseluruhan dan dijangkakan akan mencatatkan lebihan (surplus). Jumlah lebihan ini yang akan dipastikan dalam beberapa bulan lagi adalah disebabkan bukan sahaja oleh peningkatan kutipan hasil Negeri tetapi juga turut disumbang oleh keberkesanan daripada segi kawalan perbelanjaan secara berhemah dan value for money yang diamalkan oleh semua jentera pentadbiran Kerajaan Negeri. Ini boleh dilihat dengan jumlah wang RM11 juta yang berjaya dikutip balik atas tunggakan terdahulu (termasuk bayaran denda RM 4.2 juta daripada Gamuda MMC, bayaran balik royalti pasir RM 6.6 juta daripada Penang Port Sdn Bhd, dan RM238,632.17 kutipan tunggakan cukai pintu beberapa bangunan milikan UMNO dan MCA). Kutipan hasil tahun 2008 telah meningkat khususnya bagi kutipan cukai tanah dan tunggakan, cukai parit, duti hiburan, pengeluaran lesen dan permit, bayaran premium tanah berkaitan pemberian hak milik dan peningkatan faedah serta perolehan daripada pelaburan.

5. Kerajaan Negeri memang mengambil berat terhadap tunggakan hasil yang belum dapat dikutip. Tunggakan hasil negeri pada akhir tahun 2008 dianggarkan sebanyak RM87.85 juta yang mencakupi antara lain:

i. Tunggakan cukai tanah – RM63.53 juta;
ii. Pinjaman penuntut pengajian tinggi – RM13.72 juta; dan
iii. Sewaan perumahan Negeri – RM10.17 juta.

6. Sehubungan dengan ini, Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan untuk mengutip hasil-hasil tertunggak.

7. Berhubung dengan persoalan yang dibangkitkan oleh Y.B. Sungai Dua mengenai kedudukan Y.A.B. Ketua Menteri sebagai Pengerusi Lembaga Tender bagi PBA dan PDC, ingin saya jelaskan di sini bahawa pelantikan saya adalah dibuat oleh Lembaga Pengarah Perbadanan itu sendiri iaitu pada mesyuarat Lembaga Pengarah PBA yang diadakan pada 18 September 2008 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah PDC bilangan 4/2008. Pelantikan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah kedua-dua perbadanan tersebut adalah tidak menjadi kesalahan di bawah mana-mana peruntukan Enakmen Penubuhan PDC mahupun PBA.

Selaras dengan itu, pelantikan YAB Ketua Menteri sebagai Pengerusi Lembaga Tawaran PDC telah dipertimbangkan dan diluluskan oleh PDC melalui kertas Pekeliling Lembaga PDC 14/2008 bertarikh 23 September 2008.

8. Sehubungan dengan ini, saya juga ingin menjelaskan tentang isu pelantikan Ahli Lembaga Pengarah PBAHB yang dilakukan sebelum Mesyuarat Agong Tahunan diadakan di mana Lembaga Pengarah PBAHB boleh melantik ahli lembaga pengarah pada bila-bila masa yang difikirkan perlu tanpa perlu menunggu Mesyuarat Agong Tahunan. Ini termaktub di dalam Memorandum dan Artikel Syarikat. Dengan ini, pelantikan Ahli Lembaga Pengarah PBAHB adalah sah mengikut peraturan. Tujuan utama saya mempengerusikan Lembaga Tender adalah untuk menyemak semula peraturan tender demi memastikan ia serasi dengan harga pasaran dengan ”value for money”. Satu contoh yang diusahakan ialah pembaikan keretapi Bukit Bendera di mana tawaran harga terendah selepas tender terbuka ialah RM920,000.00 yang memerlukan masa 6 bulan, yang masih menimbulkan harga tinggi. Akhirnya Kerajaan Negeri dapat menawarkan harga rendah dengan mutu yang baik, iaitu hanya RM589,466.37 dengan masa yang lebih pendek (2 bulan) menjadikan penjimatan sebanyak RM330,533.63 dapat diperolehi. Di antara kaedah baru yang diterimapakai ialah mengadakan tender semula sekiranya harga tender masih tinggi, khususnya apabila tempoh tender tutup semasa harga minyak naik kepada paras yang paling tinggi. Kaedah yang serupa haruslah dilaksanakan demi menjimatkan wang. Saya kesal Yang Berhormat Pembangkang bercakap kosong bahawa saya ”bias” tetapi tidak dapat menunjukkan bukti. Jangan ingat pemimpin PR macam BN, semuanya ”biased”. Kami berbeza daripada BN – BN ”bias” tetapi PR tidak. Saya harap boleh tunjukkan bukti kalau ada yang tak betul. Jangan buat tuduhan dan fitnah kerana ini berdosa dari semua agama khususnya Islam.

9. Mengenai pelantikan Encik Mohamad Sabu sebagai Pengarah Perbadanan Bekalan Air Holding Berhad (PBAHB), beliau layak menerima Elaun tetap RM500.00 setiap bulan dan Elaun mesyuarat RM300.00 setiap kali menghadiri mesyuarat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bebas sahaja.

10. YB Permatang Berangan mengatakan bahawa saya pernah mengeluarkan kenyataan untuk tidak menghuni kediaman rasmi (Rumah Tetamu) yang sekarang ini dikenali dengan nama Seri Teratai kerana kos membaikinya agak tinggi. Tetapi kenyataan tersebut tidak ditunaikan kerana saya telah menduduki kediaman tersebut. YB Permatang Berangan mempersoalkan tentang kos pembaikan rumah tersebut yang menelan RM122,000.00.

11. Untuk makluman YB, pada mulanya saya enggan mendiami Rumah Tetamu disebabkan saya diberitahu bahawa kos pengubahsuaian adalah RM300,000. Perbelanjaan sebanyak RM300,000 adalah sangat besar dan membebankan dalam keadaan ekonomi sekarang jika hanya untuk kediaman saya seorang dan ahli keluarga. Akan tetapi kemudiannya saya dapati bahawa kos sebenar untuk memperbaiki kerosakan di Rumah Tetamu tidaklah begitu tinggi seperti yang dilaporkan sebelum itu. Hanya RM33,000 diperlukan untuk kerja-kerja pembaikan sebelum saya pindah masuk. Dan juga nasihat berkali-kali oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tun Dr. Lim Chong Eu bahawa saya harus pindah ke Seri Teratai demi keselamatan saya dan ahli keluarga saya. Tambahan lagi, pada masa itu agak susah untuk mencari rumah yang sesuai dalam keadaan yang tergesa-gesa.

12. Mengenai kos pengubahsuaian yang menelan sejumlah RM122,000.00 sejak tahun 2008, saya memang tidak dimaklumkan tentang perbelanjaan tambahan RM89,000.00 ini. Saya hanya difahamkan perbelanjaan sebanyak RM33,000.00 diperlukan untuk kerja-kerja pembaikan kediaman rasmi sebelum saya mendiami Seri Teratai. Menurut pegawai Setiausaha Kerajaan dan juga Jabatan Kerja Raya, mereka perlu mengecat semula kediaman rasmi bagi tujuan penyediaan Rumah Terbuka sempena Tahun Baru Cina. Walaupun ianya bukanlah satu kesalahan untuk pegawai Kerajaan meluluskan kes ini, tetapi ia dibuat tanpa pengetahuan saya. Saya telah meminta semua kerja pembaikan diberhentikan pada tahun lepas dan awal tahun ini selepas peristiwa ini.

Sekiranya jumlah RM122,000 ini dibandingkan dengan perbelanjaan yang dibelanjakan untuk kediaman rasmi Menteri Besar negeri BN atau Menteri-Menteri lain memakan belanja yang berlipat ganda, perbezaannya adalah ibarat bumi dan langit. Saya berani katakan bahawa keadaan rumah dan tandas yang usang ini yang masih digunakan walaupun kurang selesa menjadikan Seri Teratai di antara yang paling kurang mewah dibandingkan dengan kediaman rasmi Menteri Besar dan Ketua Menteri. Tolong bandingkan kediaman rasmi saya dengan Sabah atau Sarawak ataupun Terengganu sebelum kritik. Malah saya percaya tidak boleh menandingi rumah YB Pinang Tunggal.

13. Saya juga mengarahkan bahawa untuk semua kerja penyelenggaraan kediaman rasmi pada masa depan, wajib mendapat kelulusan daripada saya sendiri sebelum kerja-kerja dimulakan untuk memastikan prinsip perbelanjaan berhemah digunapakai di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

14. Berkenaan dengan lawatan luar negara yang dibangkitkan oleh YB Sungai Dua, ingin saya perjelaskan di sini bahawa perbelanjaan kerajaan Pakatan Rakyat adalah jauh lebih rendah dan berjimat cermat berbanding dengan lawatan luar negara oleh kerajaan Barisan Nasional. Perbelanjaan Kerajaan Pakatan Rakyat bagi lawatan luar negara hanya separuh hingga 1/3 daripada jumlah yang dibelanjakan semasa pentadbiran Barisan National. Pada tahun 2008, lawatan rasmi kerajaan adalah sebanyak RM427,632.00 berbanding RM884,492.00 yang dibelanjakan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2007 manakala pada tahun 2006, perbelanjaan lawatan rasmi adalah sebanyak RM1,236,619.00. Daripada jumlah ini jelas terbukti bahawa kerajaan Pakatan Rakyat jauh lebih jimat daripada kerajaan BN dan tidak akan membelanjakan duit rakyat dengan sewenang-wenangnya untuk keselesaan pemimpin.

lge11

Leave a Reply