Soalan Bertulis YB. TUAN RAVEENTHARAN A/L V. SUBRAMANIAM (Batu Uban): Apakah tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam membayar pampasan kepada tanah-tanah TOL(Temporary Occupation Lisence) yang diambil alih oleh kerajaan negeri ataupun oleh Pemaju/Syarikat Pembangunan.
Jawapan: 1) Kerajaan Negeri mempunyai satu Garis Panduan yang digunapakai sebagai formula dalam membayar pampasan kepada pemegang-pemegang TOL (Temporary Occupation Lisence) yang mana tanah tersebut diambil alih oleh Kerajaan Negeri ataupun oleh agensi-agensi pembangunan kerajaan.
Bagi pemegang-pemegang TOL yang telah membina rumah, formula pampasan seperti berikut:
(i) Wang pampasan RM25,000.00 atau tawaran seunit rumah kos rendah;
(ii) Yang tidak layak rumah kos rendah akan dibayar pampasan RM25,000.00;
(iii) Yang layak dan memilih rumah kos rendah akan ditawarkan rumah transit atau bayaran subsidi sewa RM500.00 sebulan sehingga rumah siap, dimana sesuai.
Bagi penyewa rumah yang menyewa rumah pemegang TOL, Kerajaan Negeri memperuntukan pampasan seperti berikut:
(i) Wang ehsan yang munasabah tertakluk maksimum RM5,000.00 sekeluarga;
(ii) Bagi kategori penyewa rumah, wang ehsan yang munasabah dibayar dengan mengambilkira tempoh masa menyewa. Bagi penyewa kurang dari satu (1) tahun, tiada bayaran wang ehsan. Bagi yang menyewa untuk tempoh melebihi satu (1) tahun tetapi kurang daripada tiga (3) tahun, mereka akan dibayar wang ehsan sebanyak RM3,000.00. Bagi mereka yang menyewa melebihi tiga (3) tahun, akan dibayar wang ehsan RM5,000.00 sekeluarga.