TEKS UCAPAN PENGGULUNGAN KE ATAS PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PERBADANAN BUKIT BENDERA 2009

TEKS UCAPAN PENGGULUNGAN OLEH Y.A.B. KETUA MENTERI PULAU PINANG LIM GUAN ENG KE ATAS PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PERBADANAN BUKIT BENDERA 2009, DI DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG PADA 11.8.2009

PERBADANAN BUKIT BENDERA PERMULAAN BARU UNTUK SATU PERUBAHAN PERTAMA SELEPAS 18 TAHUN TERBEKU DALAM MASA(LOST IN TIME)

Salam sejahtera, Yang Berhormat Dato’ Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat

Izinkan saya untuk mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat, khususnya pandangan bernas dan membina ADUN kerajaan PR, yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan ke atas Rang Undang-Undang Perbadanan Bukit Bendera 2009, Pulau Pinang.

Kepada Ahli Yang Berhormat daripada Sri Delima, Tanjung Bungah, Paya Terubong dan Bagan Dalam jelas sekali, mereka menyokong hasrat kerajaan negeri menubuhkan PERBADANAN BUKIT BENDERA sebagai permulaan baru untuk satu perubahan pertama selepas 18 tahun terbeku dalam masa (lost in time).

Persempadan kawasan di bawah Perbadanan Bukit Bendera adalah suatu kuasa lazim yang diperuntukkan di bawah undang mengikut kaedah yang ditetapkan untuk menetapkan kawasan Perbadanan dan bukan dibuat sewenang-wenangnya. Perlu diingatkan kawasan Bukit Bendera adalah di kawasan DUN Air Putih saya yang bukan sahaja merangkumi hutan simpanan, bangunan warisan, kawasan tadahan air, alam sekitar dan juga penduduk seramai lebih kurang 1000 orang (tidak termasuk 32 penggerai di stesen atas dan 10 penggerai di stesen bawah).

Ahli Yang Berhormat Pulau Betong telah bertanya mengenai implikasi kewangan Perbadanan kepada Kerajaan Negeri di mana Yang Berhormat sendiri berasa khuatir bahawa kutipan hasil yang diperolehi daripada perkhidmatan Keretapi Bukit Bendera yang dianggarkan lebih kurang RM2 juta tidak dapat menampung perbelanjaan pengurusan.

Kerajaan Negeri memang sedar bahawa kutipan hasil yang diperolehi daripada perkhidmatan Keretapi Bukit Bendera adalah tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan pengurusan Perbadanan. Justeru, sebagai langkah awal Kerajaan Negeri bersedia menyumbangkan sebagai permulaan geran tahunan sekurang-kurangnya RM 2.5 juta setahun bagi membolehkan Perbadanan beroperasi untuk menjalankan peranan dan fungsinya. Selain itu, satu kumpulan wang amanah akan dibentuk di bawah Seksyen 10, Akta Prosedur Kewangan 1957 (Pindaan 1972) bagi membolehkan Perbadanan menjana kewangan melalui sumbangan dan aktiviti yang dijalankan.

Selain itu, Ahli Yang Berhormat juga telah menyarankan supaya penubuhan Perbadanan ini mendapat pandangan daripada rakyat Negeri Pulau Pinang dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada ketika ini pengurusan Bukit Bendera adalah dikendalikan di bawah Jawatankuasa Pembangunan Bukit Bendera. Kerajaan Negeri sedar bahawa Bukit Bendera berpotensi untuk menjadi destinasi pelancongan antarabangsa. Maka, Kerajaan Negeri berkeyakinan bahawa dengan penubuhan Perbadanan ia dijangka akan memantapkan lagi pengurusan Bukit Bendera selaras dengan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang dan Rancangan Tempatan Bukit Bendera.

Kerajaan negeri ini bersikap mesra dengan NGO, tidak serupa parti pembangkang yang berkuku besi sebelum ini. Kerajaan PR pertama kali melantik wakil NGO kepada PBA Holdings, Lembaga Rayuan dan Majlis Pengampunan yang tidak pernah dilakukan oleh BN. Oleh itu BN jangan cuba memperalatkan NGO semasa jadi pembangkang sedangkan BN memusuhi NGO semasa jadi kerajaan.

Persoalan mengenai kawasan tadahan air sememangnya menjadi perhatian utama Kerajaan Negeri (prime focus) di mana kawasan rizab hutan akan dikekalkan berdasarkan kepada Konsep 2P iaitu pemeliharaan dan pemugaraan. Konsep 2P ini adalah sejajar dengan penguatkuasaan Akta Pemuliharaan Tanah Bukit 1960 (Land Conservation Act 1960).

Menjawab pertanyaan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Ahli Kawasan Seri Delima mengenai pelantikan tiga (3) ahli Kerajaan Persekutuan mengikut Fasal 8 (1)(c), inilah pilihan kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk ianya dimasukkan dalam Perbadanan mengikut kehendak Akta Memperbadankan (Kekompetenan Perundangan Negeri) 1962.

Mengenai isu perjawatan, suka saya meyakinkan kepada Yang Berhormat bahawa Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan semua penjawat awam yang bertugas di Unit Keretapi Bukit Bendera. Satu sesi perjumpaan dengan penjawat awam tersebut akan diadakan pada 14 Ogos 2009 bagi membincang dan mendapatkan maklum balas awal mengenai dua opsyen yang ditawarkan iaitu pertama, menyertai Perbadanan dengan mendapat imbuhan tidak kurang dari apa yang diperolehi sekarang dan keduanya memilih persaraan mengikut Seksyen 10 (5)(b) Akta Pencen 1957. Opsyen yang ditawarkan ini adalah mematuhi kaedah yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 17 Tahun 2002 (Panduan Pertukaran Pelantikan).

Dato’ Speaker, bila saya mendengar kritikan oleh pihak pembangkang saya kesal tidak ada sesuatu yang bernas kecuali prasangka jahat, tohmahan dan fitnah. Di antaranya adalah bahawa ia memberikan kuasa sewenang-wenangnya untuk disalahgunakan tanpa batasan, berlakunya penyelewengan, Bukit Bendera akan hancur sama sekali, terjual, disalahgunakan untuk mengambil kawan-kawan DAP, PAS dan PKR untuk memegang jawatan tersebut.

Mengapa fikir seperti ini bila belum satu kes penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan oleh kerajaan PR selama 17 bulan kami memerintah negeri yang mulia ini? Malah SPRM sendiri menyatakan tidak ada sebarang kes rasuah yang lekat kepada ADUN atau EXCO PR.

Adakah fithnah ini sebenarnya menunjukkan minda and persepsi yang serong ataupun lebih serius lagi. Bahawa pembangkang ini lihat kerajaan PR dengan kacamata dan ukuran nilainya sendiri. Bahawa PR akan lakukan semua yang salah dan yang didakwa oleh pembangkang kerana inilah yang dilakukan oleh parti pembangkang bila menjadi parti pemerintah 51 tahun yang lepas.

Kalau begitu, saya hanya kesian kepada parti pembangkang. Kerana PR tidaklah sama dengan pembangkang BN sebelum ini, yang menipu wang rakyat, mengamalkan nepotisma, merompak tanah rakyat dan menjahanamkan rakyat. Jangan ingat PR akan cetuskan skendal penyelewengan tanah seperti BN dalam kes Tang Hak Ju yang mengakibatkan kemungkinan kerugian RM 40 juta ataupun skendal PGCC yang membolehkan keuntungan beratus juta bila tanah Penang Turf Club dizonkan semula kepada pembangunan bercampur. Jangan anggap PR akan merompak tanah seperti BN ke atas penduduk Kampung Buah Pala dengan harga hanya RM 10 sekaki persegi tanpa merundingkan dengan penduduk. Ataupun BN menyelewengkan wang MPSP yang hilang RM 230 juta dalam 7 tahun.

Kita tidak akan jadi macam BN kerana kita beza dan lain daripada BN. Oleh kerana BN adalah semua yang jahat ini, barulah BN tumbang dan hilang kuasa dengan begitu ketara pada pilihanraya besar 2008 yang lepas.

Itulah saya cakap kesian kepada parti pembangkang kerana mereka masih tidak tahu kesilapan mereka dan anggap orang lain akan silap macam mereka. Bertaubatlah!

Akhirnya, percubaan YB Sungai Dua mengaitkan Rang Undang-undang(RUU) dengan akidah Islam dengan meminta semua ADUN Islam menentangnya adalah sungguh tidak bertanggungjawab dan bahaya dengan cuba memainkan sentimen agama bila isu bunga sudah termaktub dalam sistem ekonomi dan undang-undang persekutuan atau negeri. Datuk Penasihat Undang-undang hanya pakai apa yang termaktub dalam contoh undang-undang perseketuan lain yang disokong penuh oleh ahli Parlimen BN termasuk YAB Perdana Menteri. Saya cabar YB Sungai Dua untuk menentang YAB Perdana Menteri kerana membenarkan bunga dalam sistem ekonomi dan perundangan. Kalau bunga berlawanan dengan Islam mengapa tidak lihat YB Sungai Dua ambil pendirian yang sama menuntut YAB Perdana Menteri mengurangkan cabutan loteri lebih 10 kali seminggu oleh kerajaan pusat? Beranikah?

Sikap hipokrit daripada parti pembangkang ini amat mendukacitakan. Orang alim Islam beritahu saya untuk umat Islam yang bersikap hipokrit dalam agama Islam mendapat deskripsi yang lebih serius dari kacamata Tuhan.

Saya ingin menasihatkan parti pembangkang bahawa Rang Undang-undang(RUU) ini bukanlah ciptaan saya atau mana-mana ahli EXCO tetapi digubal dan dirangka oleh Dato Penasihat Undang-undang yang menerima pakai contoh amalan daripada RUU Negeri dan Persekutuan yang lepas. Beliau ada banyak pengalaman dalam merangka RUU ini kerana pernah menjadi Legal Draftswoman untuk Parlimen Malaysia, itulah sebabnya dianugerahkan darjah kebesaran Dato’ oleh kerajaan negeri tahun ini. Oleh itu semua tuduhan pembangkang tentang muslihat, udang di sebalik batu, pemberian kuasa mutlak adalah satu khayalan dan dakyah semata-mata untuk mengaburi mata rakyat kerana semua fasal serupa ini yang mereka menentang disokong sendiri oleh BN termasuk wakil pembangkang sekarang dalam RUU lain sebelum ini.

Oleh itu janganlan main politik dengan pembangunan Bukit Bendera. Marilah kita pulih Bukit Bendera sebagai satu destinasi pelancongan antarabangsa terpilih dengan menggembleng tenaga memajukannya bukanlah membiarkannya seperti yang berlaku 18 tahun ini ataupun membantutkan pembangunan dengan perkhidmatan yang buruk.

Sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang mengamalkan prinsip CAT, maka sudah pasti pendekatan pembangunan yang seimbang berteraskan semangat kecintaan kepada alam sekitar akan diberikan keutamaan. Perbadanan Bukit Bendera akan memperlihatkan sistem pengurusan yang lebih cekap dan berkesan serta menjadikan Bukit Bendera sebagai sebuah destinasi pelancongan antarabangsa.

Perbadanan Bukit Bendera membuka lembaran baru bukan sahaja kepada Bukit Bendera tetapi memberikan nafas baru kepada sektor pelancungan dan peranginan di Pulau Pinang. Kita sudah ketinggalan 30 tahun berbanding dengan Hong Kong. Sekiranya sistem Keretapi Bukit Bendera dinaiktarafkan dengan projek RM 60 juta, ia mesti disusuli dengan pengurusan yang moden dan profesyenal agar bertepatan dengan perkhidmatan bertaraf antarabangsa. Oleh kerana kerajaan negeri tidak mahukan ia dalam keadaan merosot dan mundur sepanjang 18 tahun ini, maka Perbadanan Bukit Bendera ini adalah perubahan pertama.

Saya ingin memberikan jaminan kepada Ahli Yang Berhormat bahawa semua perundangan dan garis panduan yang sedia ada akan diguna pakai dan dipatuhi sepenuhnya di kawasan Bukit Bendera bagi memastikan pembangunan yang lestari dan mapan.

Sekian, terima kasih. Saya mohon menyokong.

0 Responses to “TEKS UCAPAN PENGGULUNGAN KE ATAS PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PERBADANAN BUKIT BENDERA 2009”


  • No Comments

Leave a Reply

You must login to post a comment.