Jenis-jenis tabung bantuan kebajikan dan bantuan perniagaan

Soalan Bertulis Y.B. DATUK ARIF SHAH BIN HAJI OMAR SHAH (Seberang Jaya): Apakah jenis-jenis tabung bantuan kebajikan dan bantuan perniagaan atau lain-lain dana yang diwujudkan. Sila nyatakan jumlah dana dan tujuan tabung-tabung tersebut diwujudkan dan melalui institusi manakah pembiayaan atau pinjaman itu dibuat.

Jawapan:
Jenis-jenis tabung bantuan kebajikan dan bantuan perniagaan yang diwujudkan oleh kerajaan negeri adalah seperti berikut :-
(i) Tabung Bantuan Segera

Kerajaan negeri telah memperuntukan dana kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melalui Tabung Bantuan Segera untuk diagihkan kepada mangsa bencana. Tujuan tabung ini diwujudkan adalah untuk membantu dan meringankan beban mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana seperti ribut dan kebakaran. Melalui tabung ini, peruntukan berjumlah RM30,000.00 telah diagihkan kepada setiap Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa bencana. Peruntukan akan disalurkan kepada mangsa setelah laporan diterima dan siasatan dijalankan oleh jabatan.

(ii) Bantuan Kewangan Negeri

Kerajaan negeri juga amat prihatin dalam memerangi miskin tegar di negeri ini. Oleh itu, kerajaan negeri telah menyediakan Bantuan Kewangan Negeri kepada golongan miskin tegar mulai Mac 2009 hingga kini. Dana ini diwujudkan bertujuan untuk membantu golongan miskin tegar agar dapat melepasi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan iaitu sebanyak RM500.00 dan seterusnya memperbaiki taraf kehidupan mereka. Dana yang dikumpul melalui Kumpulan Wang Amanah Kebajikan Pulau Pinang adalah hasil sumbangan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan semua penyumbang adalah secara automatik menjadi akan Anti Kemiskinan (RAK). Jumlah dana yang terkumpul bagi tempoh Mac hingga Jun 2009 adalah berjumlah RM2.15 juta dan sebanyak RM762,510.00 telah diagihkan kepada golongan sasaran pada setiap bulan mengikut keperluan pendapatan isi rumah masing-masing melalui Kumpulan Wang Amanah Kebajikan Pulau Pinang.

(iii) Tabung Titian Ketidaksamaan Rakyat

Kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) juga telah menubuhkan Skim Mikro Kredit yang dikenali sebagai Tabung Titian Ketidaksamaan Rakyat (TTKR) Negeri Pulau Pinang bagi menggantikan Tabung Modal Pusingan Peniagadan Penjaja Kecil Negeri Pulau Pinang. Program ini dijalankan secara kerjasama dengan tenaga pakar dari Universiti Sains Malaysia (USM). Tujuan tabung ini ditubuhkan adalah untuk memberi fokus dalam mengurangkan jurang atau ketidaksamaan dengan memberi keutamaan kepada golongan miskin, orang kurang upaya, ibu tunggal termasuk penjaja kecil bagi membolehkan mereka memulakan dan mengembangkan perniagaan. Secara tidak langsung, penubuhan tabung ini juga dapat membantu kerajaan negeri mengurangkan masalah kemiskinan di negeri ini. Peruntukan berjumlah RM3 juta telah disediakan untuk tabung ini iaitu melibatkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM1.5 juta dan peruntukan PDC sebanyak RM1.5 juta. Proses pengeluaran pinjaman bagi tabung ini akan dibuat melalui PDC. Sehingga kini, bantuan pinjaman bagi tabung ini belum lagi disalurkan kepada pemohon yang layak kerana mekanisma pelaksanaannya sedang disediakan. Walau bagaimanapun, pinjaman kepada pemohon yang layak dijangka akan mula diagihkan mulai 1 Oktober 2009 dengan keutamaan kepada pemohon dari kalangan ibu tunggal dan wanita.

Leave a Comment