PEMBERIAN BANTUAN KHAS KEWANGAN KEPADA GURU KAFA, PENYELIA KAFA, GURU SEKOLAH RENDAH AGAMA RAKYAT, GURU SEKOLAH MENENGAH AGAMA RAKYAT, GURU MAAHAD TAHFIZ, GURU SEKOLAH PONDOK DAN GURU TADIKA ISLAM (TADIS)

Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang yang memerintah sejak 2008 adalah Kerajaan Negeri yang Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) dalam melaksanakan tata kelola yang baik dan bersih. Ianya terbukti apabila Kerajaan Negeri yang bersih mampu mencatat lebihan belanjawan setiap tahun yang kini terkumpul sebanyak RM578 juta dalam tempoh lapan (8) tahun pemerintahan (2008-2015) berbanding dengan lebihan RM373 juta sepanjang 50 tahun (1957-2007) di bawah Kerajaan Negeri terdahulu.

Jelas sekali, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan memerintah Pulau Pinang jauh lebih berkesan sepanjang lapan (8) tahun berbanding pemerintahan selama 50 tahun oleh Kerajaan Negeri sebelum ini. Hasil lebihan belanjawan setiap tahun tersebut telah membolehkan Kerajaan Negeri memberikan Bantuan Khas Kewangan dan ia hanya dapat dilakukan kerana Kerajaan Negeri mencatatkan lebihan belanjawan setiap tahun.

Dengan menjalankan sistem pentadbiran yang bersih tanpa rasuah sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini, Kerajaan Negeri berbangga kerana jumlah peruntukan untuk Hal Ehwal Agama Islam telah naik 84% kepada RM457.05 juta untuk tempoh 2008-2016 berbanding RM249.09 juta pada tempoh yang sama iaitu tahun 1999-2007. Saya kesal apabila Pengerusi MCA Pulau Pinang mengecam Kerajaan Negeri sebagai anti-Cina semata-mata kerana menaikkan peruntukan untuk Hal Ehwal Agama Islam. Tidak patutlah MCA memainkan sentimen perkauman seperti ini apabila Kerajaan Negeri hanya menjalankan tanggungjawab menjaga semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Selain daripada itu, jumlah RM457 juta tidak mengambil kira sebidang tanah bernilai tinggi iaitu RM80 juta di Jalan Scotland yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk pembinaan Kompleks Kehakiman dan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang kini telahpun siap. Kerajaan Negeri juga telah menaikkan peruntukan pembangunan sekolah-sekolah pendidikan Islam sebanyak RM57.64 juta sejak tahun 2008-2016 berbanding hanya RM20.11 juta oleh Kerajaan Negeri BN sebelum ini pada tahun 1999-2007.

Sebagai menghargai sumbangan dan tanda penghargaan Kerajaan Negeri serta mengambil kira kos inflasi dan peningkatan kos hidup yang begitu ketara, sukacitanya Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada 1527 orang Guru Kafa, 13 orang Penyelia KAFA, 247 orang Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, 207 orang Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat sebanyak RM300 manakala bagi 202 orang Guru Maahad Tahfiz, 28 orang Guru Sekolah Pondok dan 31 orang Guru Tadika Islam (TADIS) pula sebanyak RM200. Bantuan Khas Kewangan ini akan dibayar pada 20 Jun 2017.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang dibayar oleh Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM650,400.00. Jumlah ini merupakan tambahan kepada Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM15.55 juta yang telah diberikan kepada guru-guru agama yang terlibat sejak 2008 hingga 2016 yang mana bantuan seperti ini tidak pernah diberikan langsung oleh Kerajaan Negeri sebelum ini.

Saya berharap, Bantuan Khas Kewangan ini akan dapat membantu semua guru yang terlibat dalam meringankan beban mereka dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat serta membantu menguruskan persediaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Akhir sekali, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sekian, terima kasih.

LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang

0 Responses to “PEMBERIAN BANTUAN KHAS KEWANGAN KEPADA GURU KAFA, PENYELIA KAFA, GURU SEKOLAH RENDAH AGAMA RAKYAT, GURU SEKOLAH MENENGAH AGAMA RAKYAT, GURU MAAHAD TAHFIZ, GURU SEKOLAH PONDOK DAN GURU TADIKA ISLAM (TADIS)”


Comments are currently closed.