HADIAH HARI RAYA AIDILFITRI YANG PALING BAIK DAN PALING BERMAKNA IALAH HAPUSKAN GST

Perutusan Hari Raya Aidilfitri Oleh Setiausaha-Agung DAP Merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng Di Kuala Lumpur, Pada 23 Jun 2017

Sempena sambutan Hari Raya Aildilfitri 2017 ini, saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax (GST) harus dihapuskan. GST yang mula diperkenalkan pada 1 April 2017 dengan kadar piawai sebanyak 6% telah menjadi beban utama rakyat Malaysia ditambah dengan ekonomi yang lembab.

Keadaan ekonomi kita yang kian meruncing, kenaikan harga barangan asas serta bebanan GST, menjadikan sambutan Hari Raya tahun ini lebih mencabar terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan makan gaji kerana wang untuk dibelanja tidak mencukupi. Jika dahulu, sambutan Hari Raya disambut dengan meriah di mana orang ramai akan berpusu-pusu pulang ke kampung halaman seminggu lebih awal, namun kini budaya itu tidak mampu dipraktiskan lagi. Rakyat Malaysia rata-rata memilih untuk bekerja hingga ke ambang Hari Raya, demi mengumpul pendapatan lebih. Tempias ini turut dirasakan oleh para peniaga kerana prestasi perniagaan mereka kian lembab disebabkan kuasa pembeli makin berkurangan. Ramai peniaga di pasar atau bazar Ramadan di Pulau Pinang misalnya, merungut bahawa perniagaan mereka susut tahun ini.

Baru-baru ini kita digemparkan dengan sandiwara Kerajaan Persekutuan yang membatalkan perintah Cukai GST mulai 1 Julai 2017 ke atas 60 item makanan seperti ikan belut, ikan todak, jagung, sayuran sejuk beku, buah-buahan import, figs serta majerin. Pembatalan ini dibuat hanya kerana kita akan menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 tidak lama lagi. Kita amat bimbang Cukai GST ini akan dipulihkan semula selepas PRU Ke-14.

Sebenarnya, dengan tidak melaksanakan Cukai GST pun kita boleh mendapat lebihan Belanjawan dan mampu membayar BRIM setiap tahun. Lihat saja kejayaan pemerintahan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang yang sentiasa mencatatkan lebihan Belanjawan tanpa perlu mengenakan GST. Kerajaan Negeri mampu mencatat lebihan Belanjawan setiap tahun yang kini terkumpul sebanyak RM578 juta dalam tempoh lapan (8) tahun pemerintahan (2008-2015) berbanding dengan lebihan RM373 juta sepanjang 50 tahun (1957-2007) di bawah Kerajaan Negeri terdahulu. Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang juga telah berjaya menaikkan aset rizab hampir 100% daripada RM849 juta pada tahun 2008 kepada RM1.6 bilion pada tahun 2015 serta mengurangkan hutang negeri sebanyak 90% kepada RM65 juta – menjadikan Pulau Pinang menjadi negeri yang paling rendah berhutang dengan Kerajaan Persekutuan.

Bukan itu sahaja, 1.6 juta rakyat Pulau Pinang telah mendapat manfaat melalui ‘dividen anti-rasuah’ atau bantuan kewangan sebanyak RM412.63 juta yang telah diagihkan terus kepada rakyat sejak tahun 2008 menerusi Program Emas Kerajaan Negeri. Kita juga memberikan pengecualian cukai pintu melalui Pihak Berkuasa Tempatan Negeri iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bermula tahun 2016 kepada semua penghuni rumah kos rendah, rumah sederhana rendah dan rumah kampung/bertanah. Tambahan, kita juga memberikan potongan cukai pintu sebanyak 6% untuk semua hartanah lain termasuk hartanah komersil.

Justeru itu, hadiah Hari Raya Aidilfitri yang paling baik dan paling bermakna bagi semua rakyat Malaysia adalah dengan menghapuskan Cukai GST.

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2017!

LIM GUAN ENG