TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS IFTAR BERSAMA PEMIMPIN DAN PENYAMPAIAN BANTUAN KEPADA SEKOLAH AGAMA, MAAHAD TAHFIZ DAN TADIKA ISLAM NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2017

Pertamanya, bersyukurlah kita kerana berpeluang untuk berkumpul di luar perkarangan Masjid Kubang Semang, Permatang Pauh ini bagi meraikan majlis yang cukup bermakna iaitu Majlis Iftar Bersama Pemimpin dan Penyampaian Bantuan kepada Sekolah Agama, Maahad Tahfiz dan Tadika Islam Negeri Pulau Pinang Tahun 2017.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Malik bin Abul Kassim, EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang dan juga Dato Saifudin Nasution, Pengarah Strategik Ketua Menteri dan pasukan mereka yang telah berusaha mengatur dan menjayakan program pada hari ini.

Sumbangan tahunan kepada institusi-institusi agama Islam yang kita akan sampaikan sebentar lagi adalah sebahagian usaha Kerajaan Negeri untuk membantu Agama Islam amnya dan umat Islam Pulau Pinang khususnya agar mereka terus maju dan cemerlang dan tidak tertinggal dalam arus pembangunan negeri Pulau Pinang yang begitu pesat sekarang ini.

Sejak mengambil alih pemerintahan pada tahun 2008, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan telah melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Pulau Pinang tanpa mengira kaum dan agama. Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa langkah khusus untuk Hal Ehwal Agama Islam dan umat Islam yang jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri hari ini adalah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan kerajaan sebelum ini. Antara langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut:

a)Peruntukan Pembangunan Hal Ehwal Agama Islam telah dinaikkan sebanyak 84% dari RM249.09 juta bagi tempoh 1999-2007 kepada RM457.05 juta bagi tempoh yang sama di bawah kerajaan sekarang

b)Peruntukan Pembangunan Sekolah-Sekolah Pendidikan Islam telah dinaikkan sebanyak 187% dari RM20.11 juta bagi tempoh 1999-2007 kepada RM57.64 juta bagi tempoh yang sama di bawah kerajaan sekarang

c)Sumbangan Ex-Gratia, Bonus dan Bantuan Khas kepada guru-guru KAFA, guru SAR, guru pondok dan Tadika Islam langsung tiada semasa kerajaan terdahulu tetapi Kerajaan Negeri Pakatan Harapan telah membelanjakan sebanyak RM15.5 juta untuk bantuan tersebut

d)Kerajaan Negeri juga telah menyumbangkan sebidang tanah bernilai RM80 juta di Jalan Scotland untuk pembinaan sebuah Kompleks Mahkamah Syariah yang lengkap dan moden yang sudah pun beroperasi pada masa sekarang

e)Selain itu program bantuan rakyat miskin, Agenda Ekonomi Saksama (AES) – 80% daripada 1,461 penerima adalah keluarga Melayu/ Islam. Dan Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM23.65 juta untuk program ini sejak ia dilancarkan pada 2008. Program ini juga tiada semasa kerajaan terdahulu

f)Bagi meningkatkan pendapatan rakyat, terutama golongan usahawan, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pinjaman mikro kredit Program Titian Saksama Rakyat (PTSR) dan setakat ini sebanyak RM11.71 juta telah dikeluarkan kepada 2,540 peminjam di mana 83.3% adalah terdiri daripada usahawan Melayu/ Islam

Banyak lagi manfaat dan bantuan yang dinikmati oleh rakyat Pulau Pinang terutama program-program bantuan di bawah program I-Sejahtera. Semua ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Harapan bukan saja mampu untuk memajukan negeri ini dan pada masa yang sama berjaya mengekalkan status sebagai negeri paling rendah hutang dengan Kerajaan Pusat, tetapi apa yang lebih penting lagi kejayaan tersebut dikongsi bersama dengan rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik. Pada tahun ini juga Kerajaan Negeri telah memberi pelepasan cukai pintu kepada semua rumah kos sederhana rendah, kos rendah dan rumah kampung serta memberi diskaun 6% bayaran cukai pintu kepada rumah jenis lain.

Diharapkan dengan kemajuan Negeri Pulau Pinang yang cemerlang maka rakyat Pulau Pinang akan mengekalkan sokongan dan kerjasama yang baik yang telah diberikan kepada Kerajaan Negeri selama ini. Kita mesti ingat akan niat tidak baik pihak-pihak tertentu sekiranya mereka berjaya mengambil alih pemerintahan negeri ini maka perkara-perkara yang kita tidak mahu seperti mewujudkan kasino di Pulau Pinang dan juga hasrat mereka untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah Wilayah Persekutuan tidak mustahil akan mereka laksanakan.

Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi hadir untuk Majlis Iftar Bersama Pemimpin dan Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Sekolah-Sekolah Agama ini dan seterusnya menjayakan program ini. Akhir kata, saya dan keluarga saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat berpuasa dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak berapa lama lagi maaf zahir dan batin dan kepada yang memandu balik kampung dan sebagainya berhati-hatilah di jalan raya, ingatlah orang yang tersayang.

Sekian, terima kasih.

0 Responses to “TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS IFTAR BERSAMA PEMIMPIN DAN PENYAMPAIAN BANTUAN KEPADA SEKOLAH AGAMA, MAAHAD TAHFIZ DAN TADIKA ISLAM NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2017”


Comments are currently closed.