Ucapan di Majlis Berbuka Puasa Dun Batu Maung

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG DI MAJLIS BERBUKA PUASA DUN BATU MAUNG DAN PENYAMPAIAN BANTUAN HARI RAYA AIDILFITRI 2017

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Exco Hal Ehwal Agama Islam yang juga merupakan ADUN Batu Maung, YB Dato’ Haji Abdul Malik dan Jawatankuasa Masjid Teluk Tempoyak yang sudi menjemput saya untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa yang akan turut dihadiri Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang di luar perkarangan masjid pada petang ini.

Saya berbesar hati untuk menerima jemputan berbuka puasa yang diraikan oleh rakan-rakan Islam ini sejak 8 tahun yang lepas. Seperti yang diketahui, Kampung Teluk Tempoyak adalah salah satu tempat yang terkenal di Pulau Pinang terutamanya untuk masakan makanan laut.

Kerajaan Negeri Pakatan Harapan komited dan akan terus memberikan komitmen yang tinggi untuk memartabatkan peranan agama Islam di negeri ini. Sehubungan dengan itu, peruntukan untuk Hal Ehwal Agama Islam akan terus diberikan selagi Kerajaan Negeri memegang tampuk pemerintahan negeri Pulau Pinang.

Sebagaiman yang semua sedia maklum, peruntukan untuk pembangunan Hal Ehwal Agama Islam telah naik hampir 84% di bawah Kerajaan Negeri Pakatan Harapan menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM457 juta sejak tahun 2008-2016 berbanding hanya RM249.09 juta pada tahun 1999-2007.

Ini tidak termasuk program-program bantuan/emas hasil daripada ‘dividen anti-rasuah’ yang telah mencecah hampir RM412.63 juta yang telah memberi manfaat kepada 1.6 juta rakyat Pulau Pinang.

Semua ini dapat dilakukan kerana Kerajaan Negeri mengamalkan pentadbiran bersih berdasarkan sistem Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang membolehkan Pulau Pinang mencatatkan lebihan Belanjawan hampir setiap tahun.

Kerajaan Negeri mampu meningkatkan lebihan Belanjawan terkumpul sebanyak RM574 juta dalam tempoh lapan (8) tahun pemerintahan (2008-2015) berbanding RM373 juta yang dicapai oleh Kerajaan Negeri sebelum ini untuk tempoh 50 tahun dari tahun 1957-2007.

Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan daripada pihak tertentu yang mengatakan Kerajaan Negeri meminggirkan kaum-kaum tertentu sehingga ada golongan yang tertindas. Ingin saya tegaskan di sini, Kerajaan Negeri tidak anti kepada mana-mana kaum, tetapi Kerajaan Negeri hanya anti-rasuah dan anti-kemungkaran.

Kerajaan Negeri dilontarkan dengan pelbagai fitnah antaranya digelar sebagai anti-Cina oleh Pengerusi MCA Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng kerana membantu orang Melayu tetapi meraih undi kaum Cina dengan menaikkan peruntukan untuk Hal Ehwal Agama Islam sebanyak 84% kepada RM457.05 juta. Beliau mengulanginya beberapa kali di akhbar-akhbar berbahasa Cina dan sehingga kini masih enggan meminta maaf. Apa salahnya membantu orang Melayu kerana Kerajaan Negeri membantu semua rakyat negeri ini tanpa mengira bangsa dan agama?

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga turut dikecam kononnya mahu membina kasino di negeri ini tetapi yang sebenarnya adalah idea daripada Ahli Parlimen BN daripada Padang Besar, Zahidi Zainul Abidin melalui Penang Front Party (PFP). Ingin saya tegaskan di sini, Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan sebarang pusat judi dibina di negeri selagi kami masih menjadi pemerintah dan akan meneruskan sumbangan tanpa mengambil peduli sikap cauvinis dan rasis daripada Barisan Nasional (BN) ini.

Saya difahamkan pada hari ini seramai 150 orang akan menerima bantuan berupa hamper barangan keperluan dapur dan sumbangan duit raya daripada ADUN Batu Maung. Diharap bantuan yang tidak seberap ini dapat membantu meringankan beban untuk golongan yang tidak bernasib baik

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadan Al-Mubarak kepada semua yang hadir. Semoga bulan suci ini dapat diraikan dengan penuh semangat muhibah dan rasa rendah diri.

Sekian, terima kasih.

0 Responses to “Ucapan di Majlis Berbuka Puasa Dun Batu Maung”


Comments are currently closed.