Tindakan Terhadap Peminjam Tegar Pinjaman Pendidikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Pinjaman Pendidikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang diwujudkan pada tahun 1970 bertujuan untuk memberi pinjaman pendidikan tinggi kepada warganegara Malaysia yang lahir atau menerima sebahagian besar daripada pendidikan mereka di Pulau Pinang. Permohonan pinjaman penuntut boleh dipohon secara online melalui portal Kerajaan Negeri mulai 2 Mei hingga 31 Julai setiap tahun.

Sehingga 30 November 2010, seramai 5,965 peminjam yang komited dan bertanggungjawab telah menyelesaikan sepenuhnya bayaran balik pinjaman penuntut. Walau bagaimanapun, masih terdapat seramai 1,685 peminjam yang dikategorikan sebagai peminjam tegar dikenal pasti gagal menyelesaikan pinjaman mereka dengan jumlah tunggakan sebanyak RM7,540,209.81. Sehingga kini jumlah pinjaman telah dikeluarkan kepada 9703 peminjam yang berhutang sebanyak RM73,410,819.78. Jumlah tunggakan sebanyak RM7,540,209.81 ini merupakan 10.3% tunggakan lapuk daripada keseluruhan pinjaman.

Kegagalan membayar balik pinjaman mengikut jadual yang telah ditetapkan menjejaskan peluang pinjaman kepada peminjam lain di masa hadapan. Wang bayaran balik ini digunakan semula untuk memberi pinjaman kepada penuntut yang akan menyambungkan pengajian ke peringkat Sijil, Diploma, Ijazah, Sarjana dan juga PhD.

Sehubungan itu, saya menyeru agar semua peminjam tegar dan penjamin mereka dapat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan tunggakan pinjaman masing-masing. Kerajaan Negeri memberikan tempoh sehingga 31 Disember 2010 kepada peminjam tegar yang masih gagal untuk menyelesaikan bayaran pinjaman sebelum tindakan diambil dengan mengiklankan nama mereka beserta penjamin dalam akhbar-akhbar tempatan. Selanjutnya, tindakan undang-undang akan diambil jika peminjam-peminjam tegar berkenaan masih tidak melunaskan pinjaman mereka dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Bagi memudahkan urusan menyemak status pinjaman, peminjam boleh melayari portal Kerajaan Negeri atau terus menghubungi Unit Pinjaman Penuntut di Tingkat 29 KOMTAR di talian 04-6505627/5599/5165/5391.

Sebagai sebahagian usaha Kerajaan Negeri untuk membantu pelajar-pelajar miskin ditingkatan 1 hingga 5 di sekolah-sekolah menengah di Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah menyediakan kemudahan bantuan melalui Tabung Amanah Biasiswa Kecil Negeri. Kadar bayaran bagi pelajar Tingkatan 1 hingga 3 ialah RM240.00 setahun, manakala untuk pelajar Tingkatan 4 dan 5 adalah RM360.00 setahun.

Namun begitu menyedari kepentingan pendidikan untuk menyediakan modal insan yang berpengetahuan bagi membangunkan negara dan negeri, Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat telah bersetuju menaikkan kadar biasiswa ini mulai 2009 iaitu kepada RM480.00 setahun bagi pelajar Tingkatan 1 hingga 3 dan RM720.00 bagi pelajar Tingkatan 4 dan 5 iaitu kenaikan 100% bagi pelajar Tingkatan 1 hingga 5. Kenaikan ini telah menjadikan jumlah bayaran Biasiswa Kecil Negeri bagi tahun 2009 dan 2010 masing-masing berjumlah RM1,539,840.00 dan RM1,652,160.00 berbanding dengan jumlah RM625,440.00 pada 2008, iaitu tambahan RM1 juta.

Leave a Reply