Kemajuan Pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang Setakat 16.7%, Dan Menyeru Bilangan Subkontraktor Pulau Pinang Dinaikkan Kepada Lebih 50% Berbanding 24.5% Sekarang.

Kementerian Kerja Raya diminta untuk menambahkan bilangan subkontraktor dari Pulau Pinang untuk projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang daripada 24.5% sekarang kepada lebih 50%. Tambahan subkontraktor daripada Pulau Pinang adalah perlu untuk memberikan peluang kepada subkontraktor Pulau Pinang mendapat peluang daripada projek 4.5 billion ringgit yang bertapak di negeri mereka sendiri. Bilangan subkontraktor dari Pulau Pinang yang kecil ini dinyatakan dalam jawapan Menteri Kerja Raya kepada saya dalam jawapan bertulis di Parlimen :-

Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Kerajaan telah menubuhkan syarikat khas Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), iaitu anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan sebagai pemegang konsesi projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang. Pembinaan jambatan sepanjang 23.5 kilometer ini akan menghubungkan Batu Maung di Pulau Pinang dan Batu Kawan di Seberang Perai Selatan.

Projek itu telah dimulakan pada tahun 2008 dan dijangka siap pada bulan November 2013. Sehingga 31 Ogos 2010, kemajuan keseluruhan di tapak ialah 16.7% berbanding 18.4%. Mengenai tempoh konsesi dan kadar tol yang akan dikenakan kepada pengguna yang melalui jambatan ini, perkara ini masih lagi sedang diteliti oleh Jawatankuasa Penswastaan di Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri dan ia akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kontraktor utama yang terlibat dengan pembinaan projek Jambatan Kedua Pulau Pinang ini ialah seperti berikut:-

1. Chec Contructions (M) Sdn. Bhd ~ Negara Asal: Republik China. Tarikh Milik Tapak 8 November 2008;
2. UEM Builders Berhad ~ Negeri Pendaftaran: Kuala Lumpur. Tarikh Milik Tapak: 8 Jun 2009;
3. Cergas Murni Sdn. Bhd ~ Negeri Pendaftaran: Kuala Lumpur. Tarikh Milik Tapak: 19 Mei 2010;
4. IJM Contructions Sdn. Bhd ~ Negeri Pendaftaran: Selangor. Tarikh Milik Tapak: 28 Jun 2010; dan
5. HRA Teguh Sdn. Bhd ~ Negeri Pendaftaran: Kuala Lumpur. Tarikh Milik Tapak: 19 Mei 2010

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, setakat 30 September 2010 seramai 106 subkontraktor telah dilantik oleh kontraktor utama bagi melaksanakan projek ini. Daripada jumlah tersebut, seramai 26 subkontraktor atau 24.5% merupakan kontraktor yang berdaftar di Negeri Pulau Pinang.

Leave a Comment