20 JAWATAN BERJAYA DIISI DALAM PERBADANAN BUKIT BENDERA PULAU PINANG

GEORGETOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng hari ini mengumumkan bahawa 20 jawatan dalam Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang telah berjaya diisi selepas sesi pengambilan pertama.

Jawatan-jawatan baru itu diisi berdasarkan iklan yang tersiar dalam portal Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan akhbar-akhbar utama pada bulan Ogos yang lalu. Sebanyak 1098 permohonan telah diterima menerusi iklan jawatan kosong tersebut sebelumdisenarai pendek dan ditemuduga untuk mengisi jawatan tersebut. Selain pengambilan 20 kakitangan baru dalam Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang, 18 kakitangan sedia ada dari Jabatan Keretapi Bukit Bendera yang telah diluputkan telah diserapkan bagi mengisi jawatan berkaitan. Langkah ini sejajar dengan Akta Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Dewan Undangan Negeri pada bulan Ogos 2009.

Dalam pengumuman tersebut, YAB Ketua Menteri yang juga merangkap Pengerusi Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang turut melahirkan rasa puas hati dengan pemilihan individu kerana mereka menunjukkan kemampuan dan pengetahuan yang diperlukan untuk menjawat kedudukan masing-masing. Beliau turut mengingatkan bahawa tanggungjawab individu-individu berkenaan adalah melangkaui kedudukan pekerjaan hakiki mereka, sejajar dengan peranan sebagai ‘penjaga’ Bukit Bendera yang merupakan ikon penting kepada negeri Pulau Pinang.

“Saya merasa sukacita kerana jawatan-jawatan ini dapat diisi dalam jangka masa yang dicadangkan. Ini menandakan Pulau Pinang tidak kurang bakat serta mereka yang berpengetahuan untuk menjawat kedudukan penting dalam kerajaan negeri,” kata Ketua Menteri lagi.

“Saya harus mengingatkan mereka, dan sesiapa jua yang bakal diambil nanti bahawa berada dalam Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang bukan sekadar melakukan rutin pekerjaan harian namun memikul tanggungjawab besar dalam melindungi dan memelihara Bukit Bendera seperti cadangan dalam penyata visi Perbadanan,” tambahnya lagi.

Dengan pengumuman kakitangan itu, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang dijangka memulakan operasinya pada 1 November 2010. Buat sementara waktu, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang beribu pejabat di 12, Jalan Brown sebelum berpindah ke Stesen Bawah sebaik sahaja tapak berkenaan siap kelak.

FAKTA

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang ditubuhkan berikutan kelulusan Enakmen Perbadanan Bukit Bendera 2009 oleh Mesyuarat Dewan Undangan Negeri pada 11 Ogos 2009. Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang ditadbir oleh Lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang.

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang mengadaptasi visi berikut untuk Bukit Bendera :

‘Sebuah bukit dengan rohnya yang mengikat kita dengan alam sekitar’.

Penyata misi kami ialah “Membangunkan Bukit Bendera menjadi resort bertaraf dunia berasaskan prinsip CAT iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus serta pembangunan berdaya tahan”

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang turut meninjau ruang dan peluang untuk membangunkan semula Bukit Bendera berdasarkan konsep kehijauan dan merancakkan kehidupan. Semua rancangan untuk membangun semula Bukit Bendera perlu berdasarkan kepada pemuliharaan dan pengekalan prinsip-prinsip yang melindungi flora dan fauna, lanskap serta struktur warisan yang ada di Bukit Bendera. Sejajar dengan visi kerajaan negeri untuk menambah baik warisan semulajadi dan alam sekitar untuk manfaat penduduk sekitarnya dan menarik pengunjung dari serata dunia.

Jawatan yang diisi dalam pengambilan pertama :

1. Pengurus Operasi – 1 jawatan
2. Pengurus Pemasaran & Promosi – 1 jawatan
3. Pengurus Penyelidikan & Pembangunan – 1 jawatan
4. Pegawai Pentadbiran – 1 jawatan
5. Pembantu Jurutera (Mekanikal) – 10 jawatan
6. Juruteknik (mekanikal) – 1 jawatan
7. Pembantu Akauntan – 1 jawatan
8. Pengendali Mesin Elektrikal – 1 jawatan

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :

Puan Sharidah Talib
Jabatan Pemasaran dan Promosi
Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang
Tel : 04-2288861
Email : [email protected] / [email protected]

Leave a Reply