Menjaminkan Masa Depan Pulau Pinang Dengan Melipatgandakan GDP Ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi Dan Berpengetahuan Menerusi Tiga Teras Membina Dan Mengekalkan Modal Insan, Membasmi Kemiskinan Dan Menajanakan Pembangunan Mampan.

UCAPAN Y.A.B. KETUA MENTERI PULAU PINANG LIM GUAN ENG SEMPENA MAJLIS ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH-DARJAH KEBESARAN BINTANG DAN PINGAT KEHORMAT NEGERI PULAU PINANG PADA 10 JULAI 2010 DI DEWAN SRI PINANG:

1. Sempena Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormat Negeri Pulau Pinang Tahun 2010 yang diadakan hari ini, saya bagi pihak Kerajaan Negeri dan rakyat Pulau Pinang dengan penuh takzim dan penuh kesyukuran mengucapkan Selamat Hari Jadi yang ke-72 kepada Tuan Yang Terutama Tun. Semoga Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan sentiasa mendapat rahmat daripada Tuhan Yang Maha Esa serta sihat sejahtera untuk terus memainkan peranan sebagai ketua pemerintahan Negeri Pulau Pinang.

2. Tuan Yang Terutama Tun, di Majlis yang mulia pagi ini, sekali lagi bagi kali yang ketiga saya bersama-sama dengan anggota pentadbiran Kerajaan Negeri, pemimpin-pemimpin di pelbagai peringkat dan seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang memperbaharui ikrar taat setia kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong dan negara Malaysia.

3. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan memaklumkan bahawa dalam tempoh pemerintahan Tuan Yang Terutama Tun, negeri ini berada dalam keadaan aman, harmoni dengan rakyat yang bersatu-padu dan hidup dalam suasana penuh muhibbah. Ekonomi Negeri Pulau Pinang juga kini berada dalam keadaan yang stabil. Tuan Yang Terutama Tun, sebelum saya meneruskan ucapan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun di atas kepercayaan dan keyakinan yang telah diberikan kepada saya dan barisan pimpinan untuk mentadbir negeri ini dengan lancar dan berkesan.

4. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima darjah-darjah kebesaran, bintang dan pingat pada tahun ini. Semoga pengurniaan ini dapat menyemarakkan lagi azam, semangat dan iltizam para penerima anugerah sekelian dalam memberi sumbangan dan jasa bakti demi pembangunan dan kemajuan negeri Pulau Pinang serta negara.

Tuan Yang Terutama Tun,

5. Pembangunan sememangnya menjadi agenda penting bagi Negeri Pulau Pinang selaras dengan wawasan Kerajaan Negeri untuk mentransformasikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa yang menjadi lokasi pilihan pelabur, destinasi pilihan pelancong dan habitat pilihan penghuni yang mahukan sebuah kehidupan yang lestari dan mapan.

6. Kerajaan negeri beriltizam menjaminkan masa depan Pulau Pinang dengan melipatgandakan GDP ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan berpengetahuan. Sekiranya kita ingin berjaya menambahakan pendapatan per kapita GNP kepada USD 15,000 ia mestilah menerusi tiga teras iaitu membina dan mengekalkan modal insan, membasmi kemiskinan dan menjanakan pembangunan mampan.

7. Pembinaan modal insan dan pengekalannya amat penting kerana ia adalah factor kritikal kejayaan sesebuah ekonomi. Mana-mana negeri yang tidak mementingkan modal insan melakukan pembunuhan diri secara perlahan ataupun slow-motion national sucide. Adalah tidak lagi rasional untuk membiarkan malah menggalakkan aliran bakat cerdik pandai ke luar negeri khususnya ke Singapura berterusan.

8. Kerajaan negeri telah berusaha membina dan mengekalkan modal insan dengan memberikan peruntukan sekolah sebanyak RM 11.3 juta kepada sekolah agama rakyat, sekolah Cina, Tamil dan mubaligh, mengiktiraf pencapaian para huffaz dan pelajar cemerlang SPM dan STPM serta penubuhan CAT Center untuk peluang pekerjaan. Di samping itu pengambilan 200 ekar tanah di Balik Pulau dengan kos RM 150 juta uutuk mendirikan Hab Pendidikan Cemerlang dan penubuhan Majlis Sains Pulau Pinang yang digerakkan oleh industri, kali pertama dibuat oleh sesebuah negeri di Malaysia bertujuan menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat cemerlang sains dan teknologi.

9. Pendekatan ini nampaknya berhasil dengan kejayaan menarik pelaburan lebih RM 9 bilion sejak Kerajaan Pakatan Rakyat ditubuhkan pada Mac 2008 dan kekurangan pekerja di Pulau Pinang. Kini ada 20,000 pekerjaan kosong dan kami mengalu-alukan rakyat Malaysia di luar Pulau Pinang yang mahu kerja untuk datang ke Pulau Pinang. Hanya semalam syarikat elektronik Jepun Ibiden yang melaburkan RM1.2 bilion mencari 900 pekerja jurutera, technician dan operator, yang akan dihantar ke Jepun untuk menjalani latihan selama tiga tahun. Untuk sesiapa yang berminat ke Jepun, cepat-cepat mari hubungi kerajaan negeri ataupun CAT Center.

10. Sejak sekian lama sektor pelancongan menjadi penyumbang kedua terbesar kepada Kadar Dalam Negeri Kasar dan dijangkakan ianya akan terus menyumbang kepada kemajuan sosio-ekonomi negeri ini. Bagi tahun 2009, terdapat seramai 2.97 juta pelancong asing datang ke negeri ini berbanding 2.81 juta bagi tahun 2008. Justeru, adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan imej Negeri Pulau Pinang di persada antarabangsa. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM8.8 juta bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan pelancongan pada tahun 2010 dan RM1.0 juta bagi program pembangunan warisan. Perayaan Pesta George Town untuk meraikan Hari Warisan Dunia Unesco George Town menerma sambutan hangat dengan penyertaan artis antarabangsa dan tempatan serta penglibatan sukarelawan. Di samping itu Kerajaan negeri bercadang membina Pusat Pameran Antarabangsa di PISA sebanyak RM 50 juta.

11. Kerajaan Negeri telah mula mengorak langkah untuk menjana pendapatan melalui aset-aset Kerajaan Negeri khususnya tanah-tanah yang strategik serta berpotensi untuk dibangunkan melalui inisiatif kerjasama antara pihak awam dan swasta (Public Private Partnership atau PPP). Ini akan memberikan sumber kewangan untuk menjalankan program social dan infrastruktur, wang yang sepatutnya diberikan oleh kerajaan persekutuan. Syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa yang berminat dijemput menyertai Request for Proposal (RFP). Buat permulaan RFP telah dipelawa untuk pembangunan Bayan Mutiara sebanyak 100 ekar, Hospital Warisan di Jalan Zainal Abidin, Hotel Crag di Bukit Bendera, Kota Cornwallis dan Bazar Emas.

12. Sebagai kerajaan yang berjiwa rakyat, usaha-usaha diteruskan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, khususnya golongan miskin. Walaupun Kerajaan Negeri telah berjaya mencapai status miskin tegar sifar pada 30 Mac 2009, namun bantuan untuk rakyat yang memerlukan masih lagi diteruskan tanpa mengira kaum, umur, fahaman politik, agama mahupun lokasi penempatan. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat melalui Program Pembaikan Rumah Rakyat Termiskin dan Program Peningkatan Ekonomi Penduduk Luar Bandar/ Miskin. Sehingga bulan Mei 2010, program ini dan sejumlah 737 ketua isi rumah telah menerima bantuan kewangan berjumlah lebih RM 8 juta untuk melepaskan diri daripada belenggu miskin tegar.

13. Penghargaan kepada warga emas merupakan salah satu agenda Kerajaan Negeri bagi menjaga kebajikan rakyat Negeri Pulau Pinang. Usaha ini diterjemahkan di dalam bentuk bayaran saguhati sebanyak RM100.00 kepada setiap warga emas mulai 3 dan 4 April 2010 dan dilanjutkan sehingga 30 April 2010 melibatkan 27 buah cawangan Maybank di seluruh negeri ini. RM1,000 akan diberikan secara “one-off” kepada si keluarga selepas warga emas meninggal dunia. Walaupun insentif ini tidak seberapa namun ianya cukup bermakna bagi Kerajaan Negeri sebagai tanda terima kasih kepada golongan yang telah menabur jasa kepada Pulau Pinang khususnya. Program penghargaan warga emas diperuntukkan RM 20 juta setahun.

Tuan Yang Terutama,

14. Tanggungjawab menyediakan perumahan yang selamat, kondusif dan selesa tidak pernah diabaikan. Kerajaan Negeri berusaha sedaya upaya untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh penduduk di setiap rancangan perumahan. Sebanyak RM9.9 juta telah diperuntukan untuk menaiktaraf 14 Rancangan Perumahan yang melibatkan antaranya Rancangan Perumahan Padang Tembak, Taman Tun Sardon, Kampung Melayu dan Taman Tun Dr. Awang. Usaha pembaikan ini melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf melalui penukaran paip-paip najis, paip air dan pendawaian semula eletrik.

15. Selain daripada itu, satu Garis Panduan Penempatan Sementara Mangsa-mangsa Kes-kes Kecemasan telah diwujudkan bertujuan menempatkan mangsa kes-kes berkenaan seperti kebakaran dan banjir yang menyebabkan kemusnahan tempat tinggal mereka. Mangsa-mangsa yang telah dikenal pasti akan dipindahkan ke rumah-rumah sewa Projek Perumahan Rakyat. Penempatan sementara ini adalah bagi tempoh 6 bulan bertujuan membantu meringankan beban mangsa sementara mereka mencari tempat tinggal yang baru.

16. Salah satu penekanan Kerajaan Negeri adalah meningkatkan kemudahan infrastruktur yang akan menjadi penyumbang kepada peningkatan kualiti hidup rakyat secara keseluruhannya. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM10.5 juta untuk membaiki dan menaiktaraf jambatan serta jalan-jalan di seluruh negeri ini. Kerajaan Negeri sentiasa bersedia membantu Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan projek-projek infrastruktur mega seperti Projek Pembesaran Empangan Mengkuang, Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar dan Projek Jambatan Kedua Pulau Pinang berjalan lancar.

17. Sektor pertanian diakui berpotensi dibangunkan sebagai industri yang berdaya maju dan mampu berkembang untuk meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan melalui pengwujudan Program Zon Pemprosesan Makanan (ZPM). Melalui program ini, kilang-kilang mini akan disewa kepada peserta-peserta di kawasan-kawasan industri atau kawasan-kawasan baru yang strategik dan Jabatan Pertanian akan memberi khidmat pengembangan dan perundingan kepada mereka. Sasaran pendapatan peserta bagi program ini adalah melebihi RM3,000.00 sebulan. Sehingga kini, terdapat dua ZPM telah diwujudkan iaitu ZPM Teluk Air Tawar di Daerah Seberang Perai Utara dan ZPM Bukit Merah di Daerah Seberang Perai Tengah. ZPM Teluk Air Tawar telah dibangunkan pada tahun 2007 dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2008. Manakala ZPM Bukit Merah pula telah dibangunkan pada tahun 2008 dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2009. Jabatan Pertanian sedang merancang untuk mewujudkan sebuah lagi ZPM yang akan dikenali sebagai ZPM Relau di Daerah Timur Laut.

18. Kerajaan Negeri amat komited untuk menghijaukan Negeri Pulau Pinang demi memastikan pembangunan mampan demi bersama dengan warga dunia menangani isu pemanasan global dan perubahan iklim. Oleh itu, beberapa dasar baru telah diperkenalkan seperti kempen No Plastic Bag Day, Go–Green, penggunaan teknologi Effective Microorganism dan Program Pembersihan Pantai. Kerajaan negeri juga menyatakan komitmen tidak membenarkan pembinaan loji nuclear untuk menjana kuasa sepertimana yang dicadangkan oleh kerajaan pesekutuan. Biar ia dibuat di luar negeri Pulau Pinang asal rakyat kita di sini selamat di bawah kerajaan PR. Usaha Kerajaan Negeri juga diteruskan melalui beberapa program lain seperti Penang Smoke Free , Earth Hour 2010, Green Concert, Penganugerahan Sekolah Hijau serta program A Million Apologies To Mother Earth yang dijadual diadakan pada 8 Ogos 2010 nanti.

19. Kerajaan Negeri juga tidak menafikan sumbangan kaum wanita, yang mewakili 51.9 peratus daripada keseluruhan kadar tenaga kerja di Negeri Pulau Pinang, dalam memastikan kelangsungan pembangunan sosial dan ekonomi di negeri ini. Kerajaan negeri telah meminta Kerajaan Persekutuan secara bertulis melanjutkan cuti bersalin kepada 90 hari tetapi masih menunggu jawapan. Lantaran itu, Kerajaan Negeri terus berusaha menganjurkan program pembangunan wanita seperti persidangan “Gender Mainstreaming: Justice For All” akan diadakan pada 31 Julai ini di Bukit Mertajam.

21. Menyedari hakikat bahawa wanita sentiasa terdedah kepada ancaman jenayah, Kerajaan Negeri juga akan menganjurkan Kempen Kesedaran Dan Keselamatan Wanita Dan Komuniti – “AWARE” (Arming Women Against Rape and Endangerment) di setiap daerah di negeri ini. Program ini bertujuan untuk memberi pengetahuan secara hands-on dan kesedaran kepada wanita tentang kaedah-kaedah mempertahankan diri yang boleh digunakan bagi mengelak diri dari menjadi mangsa jenayah.

22. Kerajaan negeri ingin mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Negeri Pulau Pinang dan anggotanya yang berjaya mengurangkan kadar jenayah sebanyak 17.5% sehingga 30 Jun 2010. Akan tetapi kejayaan hanya boleh diakui umum bila rakyat bukan sahaja selamat tetapi juga rasa selamat. Dalam perkara penting keselamatan awam ini, kerajaan negeri harapkan pemasangan CCTV dan penubuhan pasukan peronda sukarelewan dapat menyelesaikan lebih banyak kes jenayah selain daripada mengurangkan kejadian jenayah. Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada semua pasukan keselamatan dan ahli perkhidmatan awam kerajaan negeri dan persekutuan atas sumbangan mereka.

23. Kerajaan Negeri juga menyedari bahawa golongan belia merangkumi 41 peratus daripada keseluruhan penduduk di Negeri Pulau Pinang. Kerajaan negeri terus akan berikan galakan dan peluang yang sama, termasuk dalam pentadbiran dan membuat keputusan. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada semua ahli sukan dan athlit yang berjaya dan berusaha bertungkus-lumus dalam Temasya Sukma yang baru berakhir ini.

24. Saya percaya dengan perancangan yang baik dan usaha yang gigih, negeri ini akan bertambah maju dan bersedia menghadapi segala cabaran demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya. Di samping itu harus juga dipupuk perpaduan negara agar lapisan masyarakat bertoleransi, bersikap rasional, hormat menghormati dan bekerja sama untuk menjauhi diri daripada sentimen perkauman, ekstrimis, hasad dengki dan keganasan.

25. Untuk menggalakkan budaya demokrasi, suatu Sudut Pidato telahpun disediakan di Padang Kota Lama dan sambutan baik untuk sudut pidato pertama di Malaysia menunjukkan kematangan rakyat Pulau Pinang mengamalkan demokrasi. Pada masa yang sama kepimpinan integrity, anti-rasuah dan urus-tadbir CAT(Cekap Akauntable dan Telus) yang dipuji oleh Transparency International dan berjaya mencatatkan lebihan Belanjawan yang paling besar dalam sejarah Pulau Pinang sebanyak RM88 juta pada 2008 dan RM 77 juta pada 2009 akan diteruskan.

26. Pembangunan mampan perlukan suatu suasana yang bebas daripada kongkongan dan kerakusan. Pertumbuhan ekonomi mungkin tidak seimbang tetapi pembangunan mestilah adil dan dikecapi oleh semua, khususnya golongan daif. Justru itu, kerajaan negeri telah memperuntukan sejumlah RM379,331,991.00 bagi melaksanakan 366 projek pembangunan di seluruh Negeri Pulau Pinang pada tahun 2010 selaras dengan focus Belanjawan tahunun “pro-jobs, pro-growth dan pro-poor”.

27. Sebagai kesimpulan, Kerajaan Negeri telah menumpukan lima fokus:

1. merancakkan pertumbuhan ekonomi;
2. mewujudkan peluang-peluang pekerjaan;
3. menjamin keadilan sosio-ekonomi;
4. memantapkan sektor pendidikan demi menjamin masa depan generasi muda; dan
5. meneruskan program sosial dan kesejahteraan rakyat dengan menitikberatkan penjagaan alam sekitar.

28. Kerajaan negeri PR akan pastikan rakyat dapat sama-sama merasai pembangunan yang dilaksanakan serta mengecapi kemakmuran kesan pelaksanaan projek-projek tersebut bertepatan prinsip 3P iaitu

* Perkasakan Rakyat dengan ilmu pengetahuan dan kepakaran;
* Perkuasakan Rakyat dengan hak dan kebebasan peluang dan
* Perkayakan Rakyat agar hasil ekonomi dapat dinikmati oleh semua.

29. Kerajaan PR Pulau Pinang akan sentiasa dengar suara rakyat, buat kerja rakyat dan berikan harapan rakyat agar menjadikan Pulau Pinang negeri utama selaras dengan peningkatan status penghunian bandaraya George Town(libable city) kepada 8 terbaik di Asia tahun ini berbanding dengan No. 10 tiga tahun lepas ataupun di peringkat dunia naik daripada No. 72 kepada No. 64. Buat pertama kalinya George Town adalah setaraf dengan Kuala Lumpur.

30. Marilah kita bersatu menjaminkan masa depan bukan sahaja 1.5 juta rakyat Pulau Pinang sekarang tetapi juga generasi akan datang, anak dan cucu yang masih belum dilahirkan seperti dalam ungkapan pantun berikut:

Hari jadi TYT, harapan bersinar,

Amar maaruf, nahi mungkar,

Suara rakyat suara keramat,

Rakyat bestari, Pulau Pinang selamat.

24. Akhir kata, saya dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri serta seluruh rakyat negeri ini sekali lagi mengucapkan terima kasih di atas khidmat bakti dan keperihatinan Tuan Yang Terutama Tun dalam menerajui pemerintahan negeri ini dan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Jadi Yang Ke 72. Kami berdoa agar Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Berbahagia Toh Puan serta keluarga sentiasa mendapat kerahmatan dan keberkatan dalam menjalani kehidupan seharian serta hidup aman bahagia dan sejahtera selalu hendaknya.

Sekian, terima kasih.

Leave a Comment