Gandingan Professional Sains Teknikal Yang Pertama Dalam Sejarah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Malaysia Berpeluang Membuktikan Prestasi Perkhidmatan Ala CAT

UCAPAN YAB TUAN LIM GUAN ENG, KETUA MENTERI PULAU PINANG
DI UPACARA PENGAKUAN MENERIMA JAWATAN PUAN HJH PATAHIYAH BT ISMAIL SEBAGAI YANG DIPERTUA, MAJLIS PERBANDARAN PULAU PINANG PADA 1 MAC 2010

1. Bersyukur kita kepada rahmat yang diberikan yang membolehkan kita berkumpul di pagi yang berbahagia ini bagi upacara Pengakuan Penerimaan Jawatan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Cik Hjh Patahiyah bt. Ismail yang dilantik untuk memegang jawatan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Saya percaya beliau telah mencatatkan sejarah sebagai wanita pertama yang dilantik memegang jawatan Yang Dipertua bukan sahaja di dalam sejarah Kerajaan Tempatan di Pulau Pinang tetapi juga di Semenanjung Malaysia.

Setiap lantikan adalah berdasarkan kebolehan dan kelayakan dan bukannya atas dasar warna kulit, agama, fahaman politik ataupun jantina. Cik Hjh. Patahiyah pernah menjawat jawatan Pengarah Bangunan dan Setiausaha Perbandaran dan saya percaya beliau akan menggunakan pengalaman beliau untuk terus mempertingkatkan lagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang ke arah bandaraya yang moden, bersih, hijau, selamat dan bertaraf antarabangsa di Malaysia.

Perlu ditegaskan Pulau Pinang ingin memberikan peluang kepada semua wanita yang berkebolehan untuk menunjukkan bakat. Oleh itu, Kerajaan Negeri menolak pandangan CEUPACS yang tidak bersetuju untuk meletakkan wanita dalam jawatan penting. Kerajaan Negeri tidak akan menafikan peluang kepada seseorang hanya kerana beliau adalah wanita. Bukan sahaja Arkitek Patahiyah diberikan peluang malah Kerajaan Pakatan Rakyat telah melantik Pegawai Daerah wanita pertama di Pulau Pinang, Puan Hajah Rohani Hassan, Puan Wan Zailena sebagai Pengurus Besar Invest Penang dan Cik Ooi Geok Ling sebagai Pengurus Besar Penang Global Tourism.

Kami menjemput mana-mana wanita yang berkebolehan yang ditolak oleh pandangan sempit macam CEUPACS untuk mencari rezeki di Pulau Pinang kerana Kerajaan Pakatan Rakayat akan memberi peluang kepada mereka.

2. Sebagai Yang Dipertua yang baru, beliau akan menghadapi banyak cabaran dan di antara aspek-aspek yang perlu diberi penekanan termasuk pembangunan perbandaran yang mapan, penyediaan perkhidmatan perbandaran dan infrastruktur yang berkualiti, pengwujudan persekitaran hidup yang bersih, indah dan sejahtera serta mengamalkan urus tadbir yang baik.

3. Saya difahamkan bahawa Majlis Perbandaran Pulau Pinang telahpun mula mengambil tindakan untuk mengatasi masalah 3C iaitu (Cleanliness, Congestion dan Crime) di kawasan pentadbiran MPPP. Dari segi kewangan MPPP, dianggarkan mengalami defisit sebanyak RM40 juta pada tahun 2010 kerana pelancaran beberapa projek infrastruktur yang dapat membantu Pulau Pinang menuju ke arah sebuah negeri bertaraf antarabangsa. Projek ini diharap akan dapat mengatasi masalah 3C. Satu perkara yang mesti diperhatikan adalah kos emolumen sebanyak RM91 juta pada Bajet 2010 dengan per kapita gaji hampir RM40,000 setahun. Kos emolumen boleh diterima sekiranya warga Pulau Pinang menikmati perkhidmatan bertaraf antarabangsa. Itulah sebabnya Kerajaan Negeri memberi peluang kepada semua pegawai yang berintegriti untuk naik pangkat.

4. Bagi mencapai kualiti hidup yang tinggi dari segi kebersihan dan kesihatan, MPPP sedang dalam proses pengambilan 250 Pekerja Awam bagi memperkukuhkan lagi tenaga kerja di Bahagian Perkhidmatan Perbandaran. Di samping itu, prosedur kawal selia telahpun dimantapkan untuk memantau perjalanan kontraktor dengan kaedah kawal selia yang tersusun dan sistem demerit yang lebih efektif. Kontraktor pembersihan laut dan pantai telahpun diarahkan untuk membina papan maklumat yang mengandungi maklumat nama syarikat dan nombor telefon kontraktor di sepanjang pantai bagi membolehkan orang ramai membuat aduan tentang perkhidmatan yang diberi. Oleh itu sesiapa yang masih merasakan ketidakpuasan hati tentang kebersihan pantai sila hubungi no hotline MPPP di talian 04-2637637. MPPP telahpun diarahkan untuk membeli alat jentera dan mesin baru yang bernilai hampir RM10 juta bagi memantapkan lagi perkhidmatan agar adalah lebih baik.

5. Sejumlah RM4.7 juta telahpun disediakan bagi menaiktaraf dan kerja-kerja penyelenggaraan beberapa pasar lama iaitu Pasar Pulau Tikus, Pasar Jelutong, Pasar Air Itam, Pasar Lebuh Cecil dan TPS Batu Maung. Kerja-kerja menaiktaraf dan penyelenggaraan akan memberi fokus kepada aspek kebersihan dan keselesaan kepada rakyat seperti menaiktaraf sistem perparitan, pembekalan air dan elektrik serta penambahbaikan tandas awam. MPPP akan melancarkan satu kempen kebersihan kompleks makanan. Di bawah program kebersihan kompleks makanan satu kempen pemakaian apron dan topi yang bertemakan ”Kebersihan Amalan Kita” akan dilancarkan pada bulan Mac ini. Kempen tersebut adalah untuk menggalakkan pengendali makanan ke arah pemakaian apron dan topi serta amalan penyediaan makanan secara bersih.

6. Bagi menjayakan initiatif Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri hijau, MPPP juga terlibat dalam program kitar semula komputer peribadi (P.C Recycling) dengan Dell Global Business, IRM Industries, Sunshine Wholesale Mart dan Penang Environment Working Group (PEWOG). Program ini telah diusahakan mengikut konsep Local Agenda 21 telah berjaya mengutip 17,331 kg komputer peribadi dan aksesori komputer terpakai pada tahun 2009. Sebagai menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk mengurangkan penggunaan bag plastik, MPPP juga turut menjayakan kempen ”Say No To Plastics”. Ke arah ini, MPPP pada tahun 2009 telah menganjurkan 18 program bersama sekolah, penjaja, persatuan penduduk, kilang dan hypermarket dan program-program ini akan berterusan bagi tahun 2010.

7. Untuk mengatasi masalah kesesakan lalulintas atau ’congestion’, MPPP secara berterusan mengambil tindakan untuk memantapkan sistem pengangkutan dan lalulintas dengan membina dan menaiktaraf jalan, melaksana sistem jalan sehala, menambahbaik sistem kawalan lampu isyarat serta menaiktaraf laluan pejalan kaki dengan kemudahan OKU. Satu projek penyeleraian trafik akan dimulakan daripada Bulatan Bukit Gelugor ke Jalan Masjid Negeri pada tahun ini sebagai uji kaji. Sehubungan dengan ini juga, kajian “Decongesting George Town” telah ditauliahkan untuk menggariskan tindakan-tindakan bagi menambahbaik aliran lalulintas dan pengangkutan awam di kawasan-kawasan yang mengalami kesesakan yang serius seperti Jalan Masjid Negeri, Air Itam dan pusat bandar George Town. Dalam usaha menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan dalam kawasan pusat bandar serta bagi membolehkan rakyat menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih efisen, cepat dan berkualiti, Kerajaan Negeri melalui MPPP telahpun menyambung semula pengangkutan Bas CAT (Central Area Transit) yang disediakan setiap hari dari pukul 6.00 pagi hingga 12.00 malam yang melibatkan kos sebanyak RM600,000 setahun. Pada masa sekarang perkhidmatan Bas CAT mendapat sambutan yang baik dengan lebih daripada 50,000 penumpang menggunakan perkhidmatan ini setiap bulan.

8. Bagi tujuan mencegah jenayah di kawasan pentadbirannya, MPPP telah menggunapakai Program Bandar Selamat yang melibatkan 23 langkah pencegahan jenayah di mana langkah-langkah tersebut dilaksanakan secara berterusan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Sehingga kini, MPPP telah melaksanakan langkah-langkah berkaitan dengan bidang tugasnya seperti berikut:-
(a) pengasingan laluan pejalan kaki dari jalan bermotor
(b) pemasangan rel penghadang
(c) penyediaan bollard
(d) pemasangan cermin keselamatan
(e) pemasangan CCTV
(f) laluan awam yang tidak terlindung
Baru-baru ini, konsep Bandar Selamat juga telah dilengkapkan dengan ciri-ciri mesra OKU seperti laluan yang lebar tanpa halangan, pembinaan ramp dan pemasangan “guiding block”.
Di bawah Program Bandar Selamat, MPPP telah bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk mengenalpasti kawasan-kawasan kerap berlaku jenayah. PBT dipertanggungjawabkan untuk memasang dan menyelenggara sistem CCTV tersebut yang hendak disambung ke Ibu Pejabat Polis Daerah yang berkenaan manakala PDRM akan bertanggungjawab terhadap operasi dan pemantauan sistem CCTV tersebut. Setiap tahun MPPP membelanjakan lebih kurang RM1.16 juta untuk penyediaan sistem CCTV dengan 31 buah kamera yang dikendalikan oleh Polis. Pada tahun ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menambahkan 24 kamera CCTV lagi.

9. Saya percaya bahawa Cik Patahiyah bt Ismail sebagai seorang yang berpengalaman dan telah lama berkecimpung di dalam pentadbiran Majlis, dapat membawa MPPP ke tahap kecemerlangan dengan kerjasama yang erat di antara semua Ahli Majlis dan pegawai MPPP. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Sr. Ir. En Ang Aing Thye, selepas berkhidmat selama 31 tahun telah dilantik sebagai Setiausaha MPPP yang baru. Sebagai seorang jurutera bertauliah, beliau adalah jurutera pertama dilantik sebagai Setiausaha MPPP. Bersama-sama dengan Arkitek Patahiyah, gandingan professional sains teknikal yang pertama dalam sejarah PBT di Malaysia berpeluang mempamerkan prestasi perkhidmatan ala CAT.

10. Adalah menjadi harapan saya agar semua Ahli Majlis, Ketua Jabatan dan pegawai Majlis memberi sokongan padu kepada Yang Di Pertua yang baru dan bekerja sebagai satu pasukan untuk meningkatkan lagi perkhidmatan kepada orang ramai. Sekian, terima kasih.

1 thought on “Gandingan Professional Sains Teknikal Yang Pertama Dalam Sejarah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Malaysia Berpeluang Membuktikan Prestasi Perkhidmatan Ala CAT”

  1. Dear YAB Tuan Lim,

    Congratulation to Yang Di Pertua Puan Hjh Patahiyah Bt Ismail.

    Whoever can perform not matter what race or gender should give the equal opportunity to promote. And hope that the new mayor may do the best and act according to her role & responsibility.

    Pakatan Rakyat previous general election promise that is held local government election, what is the status now? Do Penang government have a feasibility studies about the local government election? Will this contradict with our Malaysia law?

    My recent reading to The Sun Columnists Dr. Goh Ban Lee, as my understanding from the article, the local government election may not be success without the support of Federal government.

    As I am happy to know that the MPPP had the above agendas, but how long it take to implement? The sooner to implement, the most costly we have to bear.

    Do the State government have a reasonable KPI toward the local council? And the emolument should be reward to those who can perform and vice-versa. And hope that Penang can soon over come the 3C issues.

    Thank you.

    TL Ong

Leave a Comment