Peruntukan BN untuk Hal Ehwal Islam tahun 2008 hanya RM12,548,580

Kenyataan Akhbar Setiausaha Sulit Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Farida-Hani M.Yacob di George Town pada 19.02.2010

Kerajaan Negeri menyangkal dakwaan liar pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah membuat kenyataan palsu di dalam suratkhabar hari ini mengenai peruntukan Hal Ehwal Agama Islam bagi tahun 2008 yang kononnya adalah tipu helah Kerajaan Pakatan Rakyat.

Adalah ditegaskan di sini bahawa laporan daripada Jabatan Kewangan Negeri jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah berbohong semasa memberi kenyataan bahawa peruntukan Barisan Nasional untuk Hal Ehwal Islam tahun 2008 adalah sebanyak RM12,548,580.00. Jabatan Kewangan Negeri mengesahkan bahawa RM12,548,580.00 terdiri daripada RM7,548,580 untuk belanja mengurus dan RM5,000,000 untuk perbelanjaan pembangunan. Oleh itu, adalah tidak benar dakwaan pihak tidak bertanggungjawab ini yang menyatakan bahawa RM12,548,580.00 adalah semuanya untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan RM12.5 juta adalah di bawah Kerajaan Barisan Nasional, di bawah Mantan Ketua Menteri Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon. Kalau dibandingkan dengan Belanjawan pertama Kerajaan Pakatan Rakyat pada 2009, peruntukan jelas bertambah kepada RM20.5 juta yang juga merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Sekali lagi pihak yang bersekongkol dengan Kerajaan Barisan Nasional cuba untuk memutar belit fakta yang diberikan. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri menyeru agar badan-badan tersebut berhenti membuat tuduhan dan fitnah kepada kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat. Malah, berdasarkan fakta dan kebenaran, jelas menunjukkan bahawa lebih banyak peruntukan untuk Hal Ehwal Agama diberikan di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng berbanding dengan Kerajaan Barisan Nasional.

Amar Ma’aruf Nahi Mungkar!

Leave a Comment