Pulau Pinang terkenal dengan isu kemiskinan orang Melayunya. Sejak zaman berzaman ia sudah diperkatakan. Bagaimana YAB melihat isu ini dan bagaimana YAB menghadapinya?
Tentulah kita mempunyai cabaran yang kuat daripada Umno yang telah menanam sikap perkauman dan couvinis yang begitu tebal di kalangan rakyat Melayu bahawa rakyat Melayu boleh hidup dengan Umno sahaja. Sebenarnya semua rakyat boleh hidup dengan diri sendiri. Itu yang saya tak faham. Mereka cakap orang Melayu hanya boleh hidup dengan Umno, kalau begitu kenapa ada kesultanan Melayu Melaka dahulu yang begitu cemerlang? Masa itu ada Umno ke? Masa itu tak ada Umno tapi Orang Melayu hidup dengan cemerlang, gemilang, betul-betul terbilang. Tapi sekarang mereka cakap hanya dengan Umno bukan sahaja Melayu tapi Malaysia baru boleh hidup. Tapi ini tak masuk akal.
Di Pulau Pinang kita hadapi cabaran kerana mereka gunakan apa-apa tindakan yang kita buat mengikut pendekatan perkauman. Tapi kita teruskan program sosial kerajaan Pulau Pinang antaranya kiat membasmi miskin tegar. Mula-mula saya jadi Ketua Menteri saya nak tahu bilangan miskin tegar kerana saya rasa itu sesuatu yang harus kita hapuskan. Takkan sebuah negeri maju boleh benarkan wujudnya miskin tegar.
Miskin tegar ditakrifkan sebagai keluarga yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM400 sebulan. Jadi saya cakap tak boleh. Kita harus hapuskannya dan kita berusaha dan menyatakan usaha kita untuk membasmi miskin tegar dalam masa setahun dengan memastikan setiap keluarga boleh mendapat pendapatan sebulan sekurang-kurangnya RM500 sebulan iaitu lebih tinggi daripada tahap miskin tegar iaitu RM400.
Sesudah setahun, kita bersyukur kerana kita berjaya menghapuskan miskin tegar dengan mereka mendapat sekuarang-kurangnya RM500 sebulan. Kalau pendapatan RM300 kita akan tambah RM200 sampai cukup RM500. Saya rasa itu adalah satu kejayaan kerana 90 peratus daripada golongan miskin tegar datang dari satu kaum iaitu Melayu. Saya rasa, ini mungkin Umno terasa sangatlah kerana Pakatan Rakyat berjaya menghapuskan miskin tegar dalam masa setahun sahaja. Bila uMno dan BN memerintah selama 51 tahun tidak dapat melakukannya. Itu yang pertama.
Kedua kita bagi wang kepada rakyat. Sebelum ini, masa Barisan Nasional kita diberitahu tidak boleh bagi wang kepada rakyat. Itu sebab rakyat tidak pernah terima wang. Tapi di bawah Pakatan Rakyat baik di Kelantan pun sekarang semua negeri PR, rakyat boleh menerima wang. Dan itu membuka mata mereka bahawa kerajaan boleh bagi wang. Mengapa sebelum ini kerajaan tidak dapat bagi wang? Kerana mereka tidak ada wang kerana semua lesap akibat amalan rasuah dan penyelewengan. Kerana Pakatan Rakyat tidak amalkan budaya kemungkaran macam Barisan Nasional, kita yang dapat jimatkan wang, kita agihkan kepada rakyat.
Ketiga kita percaya bahawa orang Melayu sama dengan bangsa lain, boleh bersaing bukan sahaja di peringkat nasional juga di peringkat antarabangsa. Bila kita adakan tender terbuka, ada orang cakap tentu oang Melayu tak dapat kerana mereka mempunyai mentaliti pesimis bahawa orang Melayu tidak dapat berdaya saing. Tapi itu tidak benar. Macam kontraktor kelas F ini semua orang Melayu. Sebelum ini lihat kabel politik mana yang kuat. Kabel politik kuat, boleh dapat projek.
Sekarang kita cakap tak boleh, kita buat tender terbuka melalui komputer. Semua mesti berdaya saing. Sekarang tak perlu kabel politik, hanya perlu kabel komputer. Tapi ini di kalangan bumiputera. Sekarang yang paling baik dapat. Ada kontarktor cakap dulu hanya orang Umno yang boleh dapat, sekarang kita ada peluang. Tak bagus ke?
Apa reaksi orang ramai?
Tentu orang Umno marahlah. Tapi sekarang mereka tak dapat, yang lain-lain dapat. Tapi di kalangan tender terbuka untuk semua. Melayu pun dapat. Baru-baru ini kes tentang insurans. Ada persaingan di antara yang paling rendah dan kedua rendah. Perbezaan hanya lapan sen. Begitu sengit dan dapat itu syarikat bumiputera. Ada bumiputera dapat dengan tender terbuka dengan semua rakyat Malaysia. Itu menunjukkan bahawa pengusaha dan juga peniaga bumiputera boleh berdaya saing. Saya selalu percaya janganlah anggap sesuatu bangsa itu tak boleh maju. Saya tolak tafsiran seperti ini. Saya percaya bahawa dasar kerajaan yang akan menentukan segala-galanya.
Dulu di negeri Cina pada tahun 60-an dan 70-an ekonominya begitu mundur sekali. Rakyat hidup merana tanpa bantuan. Malah ekonomi Cina dianggap sebagai pesakit Asia. Kenapa? Kerana dasar kerajaan komunis tak boleh jalan. Dasar di mana semua akan makan satu mangkuk nasi. Tak kira kerja kuat atau tak kerja,semua akan dapat satu mangkuk nasi. Yang kerja lapan jam, dapat satu mangkuk. Yang kerja lapan minit pun satu mangkuk. Siapa nak bertungkus lumus? Siapa nak kerja rajin dan tekun? Sebab itu orang Cina waktu itu malas berkerja. Adakah malas kerana mereka sendiri malas? Bukan. Tapi kerana dasar subsidi membuatkan mereka malas. Tapi kita bukan buat dengan serentaklah. Tapi kita mesti ada dasar baik supaya mereka dapat berdaya saing. Bila mereka ikut dasar yang maju, menggalakkan mereka berdaya saing, saya rasa itu adalah sesuatu yang paling baik untuk orang Melayu dan juga negara Malaysia.
Kita tengok Cina, selepas dasar diubah mereka terus menjadi maju. Daripada malas mereka manjadi rajin kerana dasar galakkan, kalau sesiapa tak kerja, dia akan lapar. Kalau kerja, baru boleh kenyang. Jadi semua akan kerja. Sama dengan di sini, kena kerja, bukan kita bagi wang sahaja. Kalau kita bagi wang kepada orang muda, mereka guna beli motosikal, jadi mat rempit. Tapi bila mereka kerja dan dapat duit, mereka akan menghargainya. Saya rasa itu yang lebih penting.
Di sini kita nak berikan peluang kepada mereka yang pandai, mereka yang mampu dan mereka yang cerdik. Dan kita lantik mereka yang cerdik bukan kerana mereka orang Melayu tapi atas kebolehan dan kemampuan mereka. Itulah sebab di Pulau Pinang tak kira sesiapa yang dilantik, dia mesti yang berkemampauan. Yang kita lantik baru-baru ini Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan orang Melayu. Mereka dilantik bukan sebab mereka di kalangan Melayu tapi kerana mereka mampu.
Baru-baru ini saya lantik seorang perempuan jadi YDP MPPP. Ini wanita pertama yang menjadi YDP kerana beliau mampu. Ini menunjukkan kita memberikan peluang kepada mana-mana yang mampu, tetapi kita selalu diserang kerana media massa dipunyai oleh Umno. Macam Jawatankuasa Hal Ehwal Islam. Di bawah BN tahun 2008 belanjawana adalah sebanyak RM12.5 juta. Bila kita buat belanjawan pertama tahun 2009 kita telah naikkan kepada RM20.5 juta ringgit. Tahun 2010 kita telah naikkan lagi kepada RM24.3 juta. Bermakna dalam dua tahun kita hampir sekali ganda lebih besar daripada apa yang diperuntukkan oleh Barisan Nasional.
Jangan pula cuba cemuh kita, maki hamun kita dengan fitnah bahawa kita tak hormati orang Islam. Kita hormati agama Islam sebagai agama Persekutuan dan ini dicerminkan melalui peruntukan yang kita berikan. Kita pun martabatkan para hafiz yang selama ini tidak diberikan tempat. Kita martabatkan dengan pengiktirafan, dengan sedikit penghargaan dan sebagainya.
Sekolah agama rakyat sebelum ini tidak pernah diberikan bantuan. Kita berikan bantuan. Ini semua usaha dari kerajaan negeri tetapi tak dapat perhatian dan tak diberi liputan langsung oleh media massa yang dikongkong oleh Barisan Nasional khususnya seperti Utusan malaysia. Kita buat baik mereka tak siarkan, yang kita tak buat mereka reka fitnah dan pembohongan.
Apa harapan YAB terhadap masa depan Pakatan Rakyat?
Saya masih bersifat optimis. Saya bersikap optimis bukan kerana Pakatan Rakyat tetapi kerana rakyat. Saya percaya dengan rakyat. Saya yakin kalau sesebuah kerajaan itu baik, itu adalah kerana kerajaan itu berani dan percaya dengan rakyat. Kalau kerajaan itu buruk, jangan persalahkan rakyat kerana rakyat tidak jahat. Dan kalau rakyat baik kerajaan mesti baik. Kalau rakyat baik dan kerajaan tidak baik, itu kesalahan kerajaan. Dan ia harus ditumbangkan seperti mana lima buah kerajaan negeri ditumbangkan pada tahun 2008. Kita selalu berpegang kepada prinsip kerajaan adalah sebaik rakyatnya.
Jadi marilah kita sama-sama dengan Pakatan Rakyat yang berpegang kepada prinsip yang selalu saya tegaskan 5 K iaitu kebenaran, kebebasan, keadilan, kebajikan kepada rakyat dan ketakwaan kepada Tuhan. Marilah kita sama-sama berganding bahu untuk sebuah negara yang dikongsi bersama rakyat, marilah kita buang yang keruh, ambillah yang jernih supaya kita jamin satu masa depan yang cerah untuk anak-anak kita yang menikmati peluang yang sama tanpa mengira kedudukan dan latar belakang di mana dengan kebolehan dan kemampuan yang kerajaan berikan kepada mereka secara saksama. Mereka boleh berdaya maju bukan sahaja di pentas negara tapi juga di pentas antarabangsa.