TRANSFORMASI KE ARAH INOVASI DAN KREATIVITI DI KALANGAN PENTADBIRAN AWAM DEMI MELONJAKKAN PULAU PINANG SEBAGAI EKONOMI BERPENDAPATAN TINGGI DARIPADA PER CAPITA PENDAPATAN SEBANYAK RM 33,000 SEKARANG KEPADA RM 50,000 PADA 2020.

1. Bersyukur kita kepada Tuhan kerana dapat bersama-sama berkumpul pada pagi yang mulia ini sempena Majlis Perhimpunan YAB Ketua Menteri Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang Tahun 2010. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Anggota Perkhidmatan Awam kerana dapat menghadiri majlis ini. Majlis sebegini merupakan satu platform penting di antara Pemimpin Tertinggi Kerajaan Negeri dan Warga Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang untuk memperbaharui azam dan tekad bagi mentransformasikan perkhidmatan awam ke arah lebih berinovatif dan kreatif. Justeru, tema majlis perhimpunan pada pagi ini iaitu ”TRANSFORMASI KE ARAH INOVASI DAN KREATIVITI” amatlah relevan dengan keadaan semasa.

2. Ramalan sebelum ini adalah Pulau Pinang Dijangka Mengalami Kesusutan Ekonomi Sebanyak 4% Pada 2009 Dan Pertumbuhan Keluaran Negara Kasar (KNK)Melebihi 4% Untuk 2010. Kita harapkan prestasi yang lebih baik bila data dan statistik dikumpulkan tetapi krisis ekonomi merupakan cabaran ke atas wawasan kerajaan negeri menjadi negeri bertaraf antarabangsa yang dapat dikecapi semua sebagai ekonomi berpendapatan tinggi.

3. Innovasi dan kreativiti dalam pentadbiran awam adalah penting sekiranya Pulau Pinang mahu berjaya melonjakkan diri SEBAGAI EKONOMI BERPENDAPATAN TINGGI DARIPADA PER KAPITA PENDAPATAN SEBANYAK RM 33,000 seorang setahun SEKARANG KEPADA RM 50,000 seorang setahunPADA 2020. Ia merupakan asas sebuah ekonomi berpengetahuan berteraskan sektor perkhidmatan dan berteknologi tinggi. Pendidikan dan penguasaan ilmu adalah penting dan mahu tak mahu, suka tak suka, rela tak rela, pentadbiran awam adalah salah satu pemangkin kepada kejayaan transformasi.

4. Usaha teras pentadbiran awam adalah perkhidmatan – perkhidmatan yang berintegriti, bernas dan berkesan kepada rakyat. Itulah prinsip urustadbir CAT – Cekap, Akauntable dan Telus. Tahun ini perkhidmatan yang baik dan cemerlang merupakan KPI atau kayu pengukur untuk menentukan samada pentadbiran awam dapat menangani cabaran inovasi dan kreativiti. Rakyat mestilah dapat lihat, sentuh dan rasa penambahbaikan mutu perkhidmatan setanding dengan peringkat antarabangsa.

5. Bagi mencapai matlamat sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa, kita perlu sentiasa mengamalkan konsep 3A, 3B, dan 3C. Kita memerlukan pegawai yang bersikap 3B iaitu Berani, Benar dan Bijak untuk menyediakan perkhidmatan yang bertaraf 3A iaitu Available, Accessible dan Affordable untuk menyelesaikan masalah 3C di Negeri Pulau Pinang iaitu Cleanliness, Crime dan Congestion atau Kedbersihan, Jenayah dan Kesesakan Lalulintas. Kerajaan Negeri memerlukan tenaga kerja yang berdaya saing bagi memastikan kemakmuran berterusan bagi Negeri Pulau Pinang serta taraf hidup lebih tinggi untuk rakyat Pulau Pinang. Oleh yang demikian, kita perlulah tegas dalam melaksanakan perubahan dan pembaharuan serta berani menghadapi cabaran agar sentiasa relevan dengan kehendak semasa.

6. Pada pagi ini, beberapa inisiatif jabatan kerajaan negeri dalam usaha mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam akan dilancarkan dan diberi pengiktirafan. Pelancaran Sistem Pendaftaran Perumahan online (e-RUMAH) yang dibangunkan oleh Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan akan dapat berjaya meningkatkan kemudahan bagi proses pendaftaran permohonan Perumahan sedia ada yang hanya berkonsepkan client-server kepada aplikasi yang berkonsepkan WEB. Sistem ini akan membolehkan pemohon membuat permohonan bagi rumah PPR, Kos Rendah dan Sederhana Rendah tanpa perlu berurusan di kaunter. Dengan adanya sistem eRumah ini diharap dapat membantu rakyat Negeri Pulau Pinang secara meluas dalam mencapai matlamat “Satu Keluarga Satu Rumah”.

7. Satu lagi usaha penambahbaikan yang akan diberi pengiktirafan adalah Laman Web Rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang di mana dalam penilaian terhadap portal/laman web rasmi jabatan dan agensi kerajaan yang dilakukan oleh Multimedia Development Corporation (MDeC) pada tahun 2009, Laman Web Rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang telah menduduki tempat pertama di bawah kategori institusi-institusi kehakiman syariah peringkat kebangsaan dan merupakan wakil tunggal institusi kehakiman syariah yang berjaya mendapat penarafan 4 bintang mendahului Jabatan Kehakiman Syariah negeri-negeri lain di seluruh Malaysia termasuk berjaya mengatasi Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Putrajaya yang hanya memperolehi 3 bintang. Ini jelas menunjukkan bahawa Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang sentiasa komited dan berusaha mempraktikkan atau mengamalkan penggunaan teknologi terkini ICT dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pengguna di seluruh negara amnya dan di Pulau Pinang khususnya. Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang juga merupakan jabatan/agensi negeri pertama yang berjaya memperolehi Sijil ISO 9001 versi 2008.

8. Ingat juga kita ada pemimpin berintegriti dengan Hakim Mahkamah Syariah Datuk Yusof Musa yang merupakan pemenang Hadiah Integriti pertama sebanyak RM 10,000 dengan membongkarkan skendal penyelewengan melebihi setengah juta.

9. Selain itu, kita akan memperlihatkan pelancaran Pelan Strategik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi tempoh 2010 hingga 2015. Pelan Strategik ini merupakan penyataan bagi manifestasikan hala tuju, komitmen dan mekanisme untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri mencapat taraf antarabangsa. Pelan Strategik ini digubal berdasarkan platform tadbir urus C.A.T dan berteraskan kepimpinan yang berintegriti dan menyediakan pendekatan untuk terus mampu berhadapan dengan cabaran globalisasi dan liberalisasi dalam usaha untuk memacu ekonomi berpendapatan tinggi.

10. Perhimpunan pada pagi ini juga akan menyaksikan penyampaian surat pelantikan sebagai Pegawai Pengawal kepada Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri. Pada tahun semasa 2010, Kerajaan Negeri telahpun meluluskan peruntukan untuk perbelanjaan Mengurus sejumlah RM404.02 juta dan RM379.77 juta untuk perbelanjaan Pembangunan. Bajet 2010 menumpukan kepada tiga strategi utama iaitu mempertingkatkan daya saing ekonomi negeri, memperkasa pembangunan modal insan dan menjamin kesejahteraan rakyat.

11. Prinsip C.A.T. harus menjadi pegangan prinsip dan dan amalan kerja sebagai tunjang pengurusan Kerajaan Negeri. Inisiatif Kerajaan Negeri terhadap pengamalan prinsip C.A.T. sebagai satu sistem pengurusan yang terbaik dalam pencegahan rasuah dan penyelewengan sememangnya telah mendapat pengiktirafan Transparency International Malaysia. Di samping itu, Laporan Ketua Audit Negara terhadap pengurusan kewangan jabatan Kerajaan Negeri pada tahun 2008 juga amat membanggakan dimana anggaran Belanjawan 2008 defisit RM35 juta telah berubah kepada lebihan RM88 juta, iaitu lebihan paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang. Saya yakin pencapaian pengurusan kewangan yang cemerlang ini telahpun dipertingkatkan dalam tahun kewangan 2009 dan akan terus dipertingkatkan lagi dalam tahun semasa 2010, supaya aspek integriti, keutuhan dan akauntabiliti yang ditekankan oleh Kerajaan Negeri akan terus dicapai.

12. Saya amat berharap Pegawai-pegawai Pengawal akan dapat terus mengamalkan sistem kawalan dalaman yang kukuh dan memastikan kecekapan, keberkesanan dan keekonomian serta optimal value for money dalam semua urusan jabatan. Justeru itu bagi mencapai kecemerlangan pengurusan kewangan Datuk SUK Datuk Zainal telah juga memperkenalkan untuk setiap anggota organisasi berkenaan untuk mengamalkan lima(5) ciri asas yang diringkaskan sebagai SIKAP iaitu:

i. SKILL – Melaksanakan pengurusan kewangan yang sistematik dan mematuhi arahan dalam mengaplikasikan konsep dan kaedah pengurusan kewangan secara berkesan;

ii. INTEGRITI – Pegawai yang terlibat dalam pengurusan kewangan melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan penuh kesungguhan serta minat yang tinggi;

iii. KNOWLEDGE – Pengurusan kewangan perlu disalurkan secara terbaik serta efektif dan ini memerlukan pengetahuan yang cekap;

iv. ATTITUDE – Pegawai-pegawai yang menguruskan kewangan mempunyai sikap yang berpaksikan nilai murni merangkumi berintegriti serta Bersih, Cekap dan Amanah;

v. PROSEDUR – Kerja-kerja yang berkaitan dengan kewangan hendaklah memastikan prosedur dipatuhi dan mempunyai senarai semak/check list yang lengkap.

13. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan yang tinggi kepada kesemua Pegawai Pengawal dan Pegawai-Pegawai yang telah menguruskan kewangan Kerajaan Negeri pada tahun 2009 dengan berkesan. Sebagai tanda penghargaan, kerajaan negeri telah memberikan tambahan RM250 kepada semua kakitangan, iaitu RM750 berbanding dengan RM500 di negeri lain.

14. Ingatlah bahawa dalam sebuah negeri bertaraf antarabangsa, kerajaan negeri bersedia memberikan ganjaran dalam bentuk gaji bertaraf antarabangsa – itulah hadiah kejayaan. Saya yakin bahawa selain daripada wang, suatu lagi bentuk hadiah kejayaan adalah pengiktirafan ke atas nilaian sumbangan kerja kita. Tidak ada sesiapa mahu menjadi yang paling buruk, semua mahu menjadi yang paling baik dan kerajaan negeri hendak memberikan peluang kepada semua untuk menjadi yang paling baik, yang dapat mengeluarkan idea yang paling kreatif dan innovatif .yang dapat melicinkan, menjimatkan wang dan memperbaiki perkhidmatan.

15. Itulah sebabnya kita mewujudkan Hadiah Kreativiti dan Innovasi sebanyak RM 10,000 yang masih menunggu pemenang kerana kita mahu membentuk minda yang unggul yang dapat menjanakan idea baru. Pulau Pinang tidak mahu minda kecil yang hanya boleh berborak tentang perihal seorang individu atau minda sederhana yang membicarakan peristiwa tetapi mahukan minda unggul yang membincangkan idea.

16. Kerajaan negeri juga telah wujudkan pengurusan kewangan dan prestasi yang akan diserapkan di semua peringkat termasuk line-item accounting, audit dan penilaian prestasi/hasil. Sistem pengurusan kewangan dan prestasi ini dapat melihat kejayaan bila anggaran defisit dua tahun berturut-turut dalam Belanjawan 2008 sebanyak RM 35 juta dan 2009 sebanyak RM 40 juta ditukarkan kepada lebihan rekod pada 2008 dan lebihan juga pada 2009(yang akan diumumkan kemudian).

17. Kita juga mahu merapatkan hubungan dan komunikasi di antara semua ahli pentadbiran awam baik dari peringkat atas dengan bawah mahupun di antara jabatan. Kita mesti mengikis mentaliti silo dan mewujukan suata semangat berpasukan. Kejayaan kita menukar defisit jadi lebihan adalah usaha sama semua. Bagaimana menggunakan wang kerajaan dan wang rakyat adalah penting dan saya menegaskan di sini bahawa tidak ada Jet Enjin yang lesap di Pulau Pinang. Semua anggota kerajaan di Pulau Pinang mesti bersih, benar dan jujur. Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang salah laku atau terlibat dalam penyelewengan.

18. Bagi menjayakan transformasi ini, antara pra-syarat penting yang perlu ada ialah perkhidmatan awam yang inovatif dan kreatif. Anggota perkhidmatan awam adalah pemegang amanah dan pengawas ke atas penggunaan kuasa dan sumber yang dipertanggungjawabkan. Lantaran itu, saya yakin semua anggota perkhidmatan awam dapat menginstitusikan amalan tadbir urus yang terbaik untuk kepentingan rakyat dan negeri, serta memberi imej positif kepada perkhidmatan awam. Keunggulan perkhidmatan awam negeri sangat bergantung kepada keupayaan anggotanya menterjemahkan aspirasi Kerajaan Negeri secara kolektif dengan berpegang kepada konsep Satu Pasukan, Satu Minda dan Satu Minat.

19. Akhir kata, saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru dan semoga tahun 2010 akan terus membawa lebih kejayaan kepada Pentadbiran Negeri Pulau Pinang.

Leave a Comment