Mesyuarat Exco Pada Jumaat Ini Akan Diminta Untuk Mendeklasifikasi Rahsia Minit Mesyuarat Exco Dan Jawatankuasa Tanah Berkaitan Dengan Keputusan Yang Dibuat Ke atas PDC Heritage Hotel Sdn Bhd.

Mesyuarat EXCO pada Jumaat ini akan diminta untuk mendeklasifikasikan rahsia minit mesyuarat EXCO dan Jawatankuasa Tanah berkaitan dengan keputusan yang dibuat ke atas PDC Heritage Hotel Sdn Bhd(PHH). Pendedahan minit mesyuarat berkaitan dengan keputusan akan berikan gambaran jelas tentang tujuan sebenar penukaran hak milik PHH kepada hak milik kekal dan juga sikap berani kerana benar kerajaan Pakatan Rakyat.

Ulasan awal daripada Pejabat Tanah dan Galian(PTG) mengenai dakwaan ADUN Pulau Betong Y.B. Tuan Haji Sr. Muhamad Farid Bin Saad adalah bahawa soalannya di DUN Pulau Pinang yang dikemukakan oleh beliau adalah lebih menjurus kepada ‘tanah-tanah kerajaan negeri’ yang berbentuk pajakan. Mengikut PTG, ini bermakna tanah-tanah yang dimaksudkan adalah tanah kerajaan yang dipegang atas nama State Secretary Incorporated (SSI). Buat masa ini tidak ada permohonan sedemikian diterima oleh SSI.

PHH adalah tuanpunya tanah seluas 3.5 ekar di Lebuh Farquhar. Pada asalnya PHH dimiliki 49% oleh PDC dan YTL Hotels & Properties Sdn Bhd(51%). Kedudukan equiti ini telahpun berubah. Walaubagaimanapun, adalah perlu keputusan berkaitan minit mesyuarat EXCO dan Jawatankuasa Tanah berkenaan dideklasifikasikan supaya latar belakang yang jelas dapat diberikan tentang status milikan syarikat terkini dan tujuan murni kerajaan negeri untuk memulihkan sebuah projek di dalam tapak warisan George Town yang lama terbengkalai dapat difahami semua.

Tindakan mendeklasifikasikan keputusan adalah selari dengan prinsip urustadbir CAT – Cekap, Akauntable dan Telus yang jauh berbeza dengan sikap kerajaan BN yang tidak pernah berbuat demikian.

Leave a Comment