Soalan Bertulis Y.B. Teh Yee Cheu (Tanjung Bunga): Nyatakan status atau setakat manakah perkembangan menyediakan enakmen “Freedom OF Information Act” atau Akta Kebebasan Informasi oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Jawapan: Sebagai makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan negeri masih lagi dalam peringkat perbincangan dan penilaian yang teliti dari semua aspek bagi tujuan penyediaan enakmen Freedom of Information Act. Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Kebebasan Maklumat yang dipengerusikan oleh Y.B. Abdul Malik bin Abul Kassim telah mengambil beberapa inisiatif dengan mengadakan sesi dialog bersama pelbagai pihak bagi mendapatkan pandangan orang ramai mengenai kebebasan maklumat sebelum Freedom of Information Act dikuatkuasakan. Antara pihak-pihak yang terlibat di dalam sesi dialog tersebut termasuklah pihak media, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan ahli akademik. Tujuan sesi dialog ini diadakan adalah untuk membincangkan mengenai kesesuaian dan keberkesanan Freedom of Information Act sekiranya dikuatkuasakan di Pulau Pinang.
Walau bagaimanapun, beberapa perkara masih lagi perlu dikaji dengan teliti dan dibuat penilaian secara berperingkat sebelum keputusan untuk menguatkuasakan Freedom of Information Act dilaksanakan. Sehubungan itu, perbincangan dan kajian menyeluruh akan terus dijalankan sehingga pendekatan yang sesuai dapat dikenalpasti.
Namun begitu, kerajaan negeri telah membuat beberapa penambahbaikan terhadap kebebasan maklumat bagi menyalurkan informasi terkini kepada rakyat dengan lebih berkesan lagi. Antaranya ialah dengan mewujudkan ruangan khas di dalam Tabloid Suara Rakyat bagi membolehkan rakyat mengemukakan pendapat, kritikan dan cadangan terhadap jkerajaan negeri.
Selain itu, kerajaan negeri juga meneruskan sesi siaran langsung (Web Streaming) persidangan Dewan Undangan Negeri agar seluruh rakyat Pulau Pinang dapat mengikuti pekembangan persidangan dewan dan sekaligus mengetahui perkembangan pembangunan Pulau Pinang secara langsung dan telus.