Kerajaan Negeri telah mendepositkan bayaran RM14.7 juta ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang

Kerajaan Negeri telah mendepositkan bayaran RM14.7 juta ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang seperti yang telah diperintahkan bagi Kes Penyelewengan Tanah Tang Hak Ju yang berlaku pada pentadbiran dulu.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendepositkan wang sejumlah RM14,678,135.50 ke Mahkamah Tinggi (3) Pulau Pinang seperti yang telah diperintahkan bagi kes penyelewengan tanah Tang Hak Ju yang berlaku pada pentadbiran lama.

Bayaran 50% daripada jumlah kos ganti rugi kepada Tang Hak Ju itu telah dibuat oleh Jabatan Kewangan Negeri pada 13 Mei 2009 melalui cek. Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah menerima surat daripada Tetuan Lim Kean Siew & Co yang mewakili pemohon (iaitu Tang Hak Ju) untuk mendepositkan jumlah tersebut sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 19 Febuari 2009. Kerajaan Negeri membuat bayaran tersebut bagi mengelakkan tindakan menghina Mahkamah yang boleh diambil oleh Responden-responden.

Ini merupakan kes yang telah merugikan Kerajaan Negeri dan pembaziran wang rakyat akibat kecuaian dan keputusan yang tidak tepat. Saya sangat musykil bagaimana Kerajaan Negeri yang dulu boleh meluluskan sekeping tanah yang luasnya 10.6 ekar kepada seorang individu yang kononnya adalah pengusaha kuari. Tanah seluas 10.6 ekar adalah cukup besar untuk diberikan hanya kepada seorang individu yang sepatutnya tidak berlaku. Dalam kes ini saya sesungguhnya berpendapat telah berlaku kecuaian di semua peringkat.

Kes ini telah menjadi kes mahkamah apabila Kerajaan Negeri yang lalu telah membatalkan pemberian milik tanah tersebut. Akibatnya Kerajaan Negeri mengalami kerugian apabila keputusan mahkamah telah berpihak kepada individu berkenaan. Sebelum kes ini difailkan di mahkamah, terdapat proses perundingan untuk menyelesaikan kes ini di luar mahkamah dengan ganti rugi yang jauh lebih rendah iaitu RM1.8 juta, tetapi Kerajaan Negeri yang dahulu tidak bersetuju menyebabkan berlakunya saman di mahkamah di mana akibatnya perintah bayaran yang dibuat oleh mahkamah ialah RM29 juta (asalnya RM40 juta – dikurangkan selepas rayuan).

Dengan kadar 8% sejak tahun Februari 2005, jumlah kehilangan yang mungkin dialami oleh pihak kerajaan negeri mungkin mencecah RM 40 juta. Sekiranya jumlah wang ini dibahagi rata kepada semua rakyat Pulau Pinang yang berjumlah 1.5 juta, setiap orang akan menerima RM27. Jika angka ini diberikan kepada 150,000 warga mas yang dijangka menetap di Pulau Pinang maka setiap orang akan menerima RM270.

Kerajaan Negeri juga telah lancarkan siasatan terhadap skandal penyelewengan tanah Kes Tang Hak Ju ini. Namun Kerajaan Negeri menghadapi kesulitan kerana keengganan ahli-ahli pentadbiran dulu seperti Tan Sri Koh Tsu Koon, Datuk Dr Teng Hock Nan dan Dato’ Seri Abdul Rashid untuk bekerjasama dalam menyiasat kes ini dengan lebih terperinci demi mencari kebenaran dalam kes ini.

One Reply to “Kerajaan Negeri telah mendepositkan bayaran RM14.7 juta ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang”

Leave a Reply