UCAPAN TUAN YANG TERUTAMA YANG DI PERTUA NEGERI PULAU PINANG SEMPENA PERASMIAN MESYUARAT PERTAMA PENGGAL YANG KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG

2. Di kesempatan ini, saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Najib Bin Tun Razak di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6.

3. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kerana berjaya menerajui sebuah Kerajaan Negeri yang telah berusia satu tahun dengan jayanya. Dedikasi, keikhlasan dan kejujuran Ahli-ahli Yang Berhormat dalam memikul tugas, tanggungjawab dan amanah berlandaskan prinsip CAT iaitu cekap, akauntabiliti dan telus amat disanjung tinggi. Demi memastikan negeri yang kita sayangi ini maju ke hadapan, sewajarnya ketepikanlah unsur perbalahan sebaliknya memberi tumpuan kepada aspek pembangunan bagi kemakmuran negeri. Kita seharusnya menekankan kepada kesejahteraan Malaysia tanpa memperlihatkan perbezaan fahaman. Wawasan Kerajaan Negeri masih bertekad menyamakan transformasi yang boleh menjadikan Pulau Pinang dengan negeri bertaraf antarabangsa yang menjadi pilihan utama untuk pelabur pelancong serta habitat terpilih untuk penghuni yang mahukan pembangunan yang mampan.

EKONOMI

4. Suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, merupakan satu cabaran utama Pulau Pinang. Kini, Pulau Pinang telah mula merasai impak kemerosotan permintaan dunia dengan adanya situasi penutupan beberapa buah kilang dan pemberhentian kerja yang semakin meningkat.

5. Bagi menangani masalah ini, Kerajaan Negeri mengatur strategi yang komprehensif bagi menstabilkan keadaan ekonomi semasa. Dengan pelancaran Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Pulau Pinang pada 5 Mac 2009 yang memang tepat pada waktunya adalah bertujuan untuk menyelesai dan menguruskan isu-isu ekonomi seterusnya memastikan kestabilan dan kemakmuran ekonomi negeri Pulau Pinang terus terjamin. Hasilnya, tiga buah jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Majlis ini iaitu Panel Penasihat Industri Pulau Pinang dan Panel Penasihat Perkhidmatan Pulau Pinang di bawah naungan Invest Penang, Penang Global Tourism Sdn. Bhd. dan Pasukan Petugas Hub Halal Antarabangsa Pulau Pinang yang menjadi badan penasihat akan sentiasa pro-aktif dalam menangani krisis ekonomi di negeri ini. Panel Penasihat Industri Pulau Pinang dan Panel Penasihat Perkhidmatan Pulau Pinang bertindak sebagai pemudahcara bagi menyediakan peluang dan kemudahan kepada ahli perniagaan dan perindustrian untuk sama-sama mengambil bahagian dan menyumbang idea bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri. Manakala Penang Global Tourism Sdn. Bhd. bertujuan menjadi jentera dan pemangkin ke arah pembangunan sektor pelancongan berikutan keputusan Kementerian Pelancongan untuk Penang Tourism Action Council (PTAC) dengan Kerajaan Negeri iaitu membatalkan memorandum persetujuan berhubung kegiatan pelancongan di Pulau Pinang.

6. Selain itu, dengan pengumuman Pakej Ransangan Ekonomi Kedua berjumlah 60 bilion ringgit baru-baru ini, adalah diharapkan agar peruntukan yang disediakan dapat diagih secara seimbang. Di kesempatan ini juga, Kerajaan Negeri ingin melahirkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan di atas peruntukan yang disediakan bagi projek pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang yang dianggarkan bernilai 250 juta ringgit di bawah pakej ransangan berkenaan.

7. Penubuhan Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (Chief Minister Incorporated) akan memberi dimensi baru kepada aktiviti pelaburan di Pulau Pinang. Dengan wujudnya Perbadanan ini, akan memfokuskan kepada apa-apa aktiviti pelaburan dan promosi pelaburan yang berpotensi untuk dimajukan bagi menjana ekonomi Negeri Pulau Pinang. Penubuhan Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang akan merancakkan lagi aktiviti pelaburan di Pulau Pinang dalam semua sektor, iaitu sektor hartanah, perumahan, pembuatan, pelancongan dan lain-lain. Yang penting sekali ia juga memberikan fokus kepada komitmen Kerajaan Negeri untuk memelihara, melindungi dan mempromosi nilai warisan di Georgetown khususnya selepas Georgetown disenaraikan sebagai Tapak Warisan UNESCO.

8. Bagi memastikan aktiviti ekonomi terus berkembang, usaha dan kerjasama daripada semua pihak amatlah diperlukan. Pelaksanaan projek-projek di bawah Northern Corridor Economic Region (NCER) haruslah disegerakan. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telahpun menerimapakai Akta Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara 2008 (Akta 687). Justeru itu, Kerajaan Negeri berharap agar semua perancangan di bawah NCER dapat terus dilaksanakan. Status Negeri Pulau Pinang sebagai hab logistik dan pengangkutan seperti di dalam perancangan NCER sememangnya bertepatan kerana Pulau Pinang mempunyai infrastruktur asas yang baik dalam sektor pengangkutan dan logistik, perindustrian, perdagangan dan pelancongan.

KESEJAHTERAAN RAKYAT

9. Walaupun dalam keadaan kegawatan ekonomi, masih terdapat syarikat-syarikat korporat yang sudi tampil ke hadapan bersama-sama dengan Kerajaan Negeri untuk berjuang membasmi kemiskinan tegar. Hasrat murni Kerajaan Negeri tersebut telah dikongsi bersama oleh syarikat-syarikat seperti Hunza Properties Berhad, IJM Properties Sdn. Bhd., YMCA, Lions Club of Penang dan beberapa badan bukan kerajaan yang lain merupakan rakan-rakan di bawah program Rakan Anti Kemiskinan (RAK). RAK merupakan usaha murni Kerajaan Negeri untuk mengembelingkan tenaga membasmi miskin tegar menerusi – PPP – ‘ Public Private Partnership’ . Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri atas kejayaan melepaskan Pulau Pinang daripada belenggu kemiskinan sifar. Kerajaan Negeri sehingga kini telah berjaya mengumpul dana melebihi RM2 juta bagi membolehkan sumbangan diberi kepada golongan miskin tegar. Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. telah memberi wang ehsan RM100 dalam bentuk air percuma sehingga 30,000 liter sebulan kepada keluarga miskin tegar. Usaha murni Kerajaan Negeri untuk meminimumkan perbezaan kualiti hidup penduduk bandar dan luar bandar dengan hasrat untuk memberi faedah kepada 170,000 buah keluarga berbanding kini memberi manfaat kepada seramai 155,642 keluarga.

Di samping itu, program sosial Kerajaan Negeri telah berjaya mencatit suatu kejayaan yang membanggakan rakyat dan mengharumkan nama Kerajaan Negeri di seluruh Malaysia iaitu menjadi negeri pertama yang bebas daripada kemiskinan tegar di Malaysia. Kemiskinan tegar ditakrifkan sebagai keluarga yang menerima pendapatan kurang daripadaa RM400 sebulan. Berasaskan maklumat terdahulu, terdapat 324 buah keluarga miskin tegar dan di bawah Kerajaan baru petunjuk sebenarnya ada sekurang-kurangnya 728 buah keluarga. Demi memastikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang benar-benar bebas daripada miskin tegar, maka sasaran yang lebih tinggi daripada RM400 sebulan ditetapkan iaitu menetapkan matlamat setiap keluarga akan memperolehi sekurang-kurangnya RM500 sebulan di Pulau Pinang. Hasil keperihatinan dan kerjasama erat antara pelbagai pihak ini telah menyaksikan kejayaan Negeri Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Malaysia yang mencapai status Miskin Tegar Sifar pada 30 Mac 2009.

10. Adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri agar setiap keluarga di Pulau Pinang memiliki rumah sendiri berdasarkan konsep ‘Satu Keluarga Satu Rumah’ terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan. Bagi mencapai hasrat tersebut, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah untuk memperbaiki dan menambahbaik sistem tawaran perumahan sedia ada melalui Sistem E perumahan mulai Mac 2009. Dengan peningkatan ke atas sistem pendaftaran ini, Kerajaan Negeri berharap pengagihan permohonan perumahan akan menjadi lebih telus.

11. Dalam usaha kerajaan memperbaiki mutu perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang, Rapid Penang akan membekal sejumlah 200 buah bas sebagai tambahan daripada 150 buah bas sedia ada untuk memberi perkhidmatan di bahagian Pulau dan Seberang Perai. Penambahan bas yang dilengkapi dengan kemudahan bagi orang kurang upaya ini akan bermula secara berperingkat mulai Jun 2009.

12. Disamping itu, Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan semula perkhidmatan bas percuma kepada rakyat Pulau Pinang khususnya di bahagian pulau yang dinamakan Central Area Transit (CAT), yang telah mula beroperasi pada 23 Januari 2009. Kini, terdapat 3 buah bas CAT yang memberikan perkhidmatan percuma dan Kerajaan Negeri harapkan boleh menambah 3 buah bas CAT lagi. Perkhidmatan bas ini dilihat dapat membantu dalam meringankan beban rakyat dalam menghadapi krisis ekonomi global masa kini.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

13. Dalam usaha mempelbagaikan ekonomi Pulau Pinang, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai Hab Produk Halal Antarabangsa. Kawasan Balik Pulau telah dipilih dan dirancang untuk dijadikan sebagai kawasan pembangunan peranginan berkonsepkan halal dan pelancongan perubatan.

14. Selain dari itu, Pulau Pinang juga bersedia untuk menjadi pemain utama dalam industri pembuatan produk halal dengan pewujudan tapak Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang seluas 131 ekar di kawasan perindustrian Bukit Minyak. Persetujuan dua syarikat iaitu Halagel (M) Sdn. Bhd. dan Granulab (M) Sdn. Bhd. untuk melabur di negeri ini dilihat sebagai keyakinan pihak swasta terhadap hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai hub halal bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat dunia. Pelaburan kedua-dua syarikat ini membuka peluang pekerjaan baru kepada lebih 500 orang di negeri ini.

PELANCONGAN

15. Visi Kerajaan Negeri adalah melalui pemasaran dan promosi pelancongan untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah destinasi kelas dunia dengan memfokuskan kepada peningkatan kualiti produk dan perkhidmatan pelancongan. Penyenaraian Georgetown sebagai Warisan Dunia oleh UNESCO pada awal bulan Julai 2008 merupakan satu lonjakan kepada sektor pelancongan di Pulau Pinang.

16. Kini, Pulau Pinang memang terkenal sebagai destinasi pelancongan perubatan di kalangan pelancong Indonesia. Kejayaan Mt Miriam Cancer Hospital memperolehi peralatan yang terkini dan termoden di Asia Tenggara iaitu Image Guided Radiotherapy Treatment (IGRT) Machine berharga lebih RM10 juta untuk merawat penyakit kanser akan menaikkan imej negeri ini sebagai sebuah bandar perubatan bertaraf antarabangsa. Hanya ada 4 buah GRT di dunia yang kini beroperasi. Pulau Pinang amat berbangga kerana salah satunya bertapak di Pulau Pinang.

17. Pada masa ini, Kerajaan Negeri sedang berusaha menambah beberapa produk pelancongan baru di Pulau Pinang. Antaranya, ialah cadangan Projek Kereta Kabel dari Taman Botani ke Bukit Bendera dengan jarak sejauh 2.7 km dan projek Auto City Theme Park di Juru. Kejayaan memperbaiki Keretapi Bukit Bendera dengan kaedah sendiri dengan penawaran harga lebih rendah daripada tawaran tender bukan sahaja membolehkan ia beroperasi tetapi dapat ditadbir urus selaras dengan urus tadbir CAT iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus. Di samping itu, keputusan Kerajaan Negeri untuk mewujudkan Perbadanan Pembangunan Bukit Bendera dilihat mampu menggiatkan lagi potensi pelancongan ke tempat peranginan tersebut memandangkan Bukit Bendera mempunyai banyak produk pelancongan yang boleh dimajukan.

18. Kerajaan Negeri juga akan meningkatkan usaha untuk mencari dan mewujudkan produk unik dan ekslusif kepada Negeri Pulau Pinang. Dengan ini, pelancong-pelancong akan lebih bertumpu kepada destinasi yang menawarkan kepelbagaian dan keunikan produk-produk pelancongan. Perhatian akan terus diberikan kepada pelancongan berasaskan eko-pelancongan dan agro-pelancongan, serta sosio-budaya tempatan, sesuai dengan Pulau Pinang yang kaya dengan kawasan-kawasan alam semulajadi dan tinggalan warisan budaya yang unik serta “ kelip-kelip “ atau firefly watching” di sepanjang Sungai Kerian di daerah Seberang Perai Selatan.

19. Penubuhan Penang Global Tourism Sdn. Bhd., yang merupakan sebuah anak syarikat milikan penuh PDC, akan dipertanggungjawabkan untuk mempergiatkan aktiviti promosi dan pemasaran di Negeri Pulau Pinang. Melalui unit ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha promosi dan pemasaran di dalam dan luar negara melalui penyertaan dalam pameran-pameran pelancongan antaranya World Travel Mart, AIME dan MATTA Fair.

20. Selain itu, aspek keselamatan tidak diabaikan. Ianya akan dipertingkatkan bagi meyakinkan para pelancong bahawa Pulau Pinang merupakan destinasi selamat untuk dikunjungi. Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Unit Polis Pelancong dan merancang pemasangan sistem CCTV di kawasan tumpuan pelancong. Kerajaan Negeri masih menunggu pemasangan 48 CCTV di Pulau Pinang dan bercadang menambahkan lebih banyak CCTV untuk menangani kes-kes jenayah. Dengan usaha yang dilaksanakan ini, Kerajaan Negeri yakin kes-kes jenayah yang melibatkan pelancong akan dapat dikurangkan dan imej Pulau Pinang adalah sebagai destinasi yang selamat. Dalam aspek keselamatan, Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri selamat yang membolehkan setiap orang bukan sahaja selamat tetapi rasa selamat. Demi menjayakan usaha ini, Kerajaan Negeri telah meminta tambahan anggota polis dan mengadakan sistem Pasukan Peronda Sukarrelawan (PPS) bersama dengan Rakan Cop. PPS ini membabitkan masyarakat dan Kerajaan Negeri. Untuk tujuan ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM1 juta untuk melicinkan operasi PPS.

PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA

21. Sebagai langkah pro-aktif untuk membantu pekerja dari sektor pembuatan yang telah kehilangan sumber mata pencarian disebabkan oleh permintaan global yang berkurangan, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Pusat Bantuan Kerjaya dan Latihan, atau lebih dikenali sebagai “Penang Career and Training (CAT) Center”. Pusat ini berperanan untuk memadankan pekerja yang telah diberhentikan kerja atau melantik pekerja baru melalui program-program latihan yang akhirnya menyediakan peluang pekerjaan atau perniagaan kepada mereka. Sehingga 14 April 2009, seramai 1303 orang telah mendaftar diri di Pusat CAT. Terdapat 3028 kekosongan dan seramai 873 orang pendaftar telah berjaya dipadankan dengan kerja/kekosongan yang setara dengan kelayakan akademik serta pengalaman mereka.

22. Pusat ini akan sentiasa bekerjasama dengan investPenang, Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP). Pusat CAT di KOMTAR telah beroperasi mulai 4 Mac 2009 yang lalu.

23. Selanjutnya, untuk menjadi sebuah negeri maju dan kekal di tahap tersebut, pembangunan modal insan tetap diutamakan. Dengan itu, Kerajaan Negeri amat serius dalam usaha melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran, berdaya saing, berinovatif, perlu bersikap proaktif dan progresif tanpa mengenepikan nilai etika dan moral.

24. Sebagai usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan mutu pendidikan di Pulau Pinang, bantuan kewangan berjumlah RM8.5 juta telah disalurkan kepada sekolah-sekolah bantuan modal iaitu di Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Missionary.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

KEMUDAHAN INFRASTRUKTUR

25. Kerajaan Persekutuan telah bersetuju menjadikan Pulau Pinang sebagai hab logistik di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) disebabkan kesediaan infrastruktur seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Pelabuhan Pulau Pinang. Tambahan pula kedudukan Pulau Pinang yang strategik di dalam IMT-GT akan dapat menggiatkan hubungan ekonomi dengan Sumatera dan Selatan Thailand. Dengan adanya kemudahan logistik seperti pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa di negeri ini menjadikan Pulau Pinang amat sesuai sebagai pusat memproses, mengedar dan mengeksport produk-produk tempatan.

26. Kerajaan Negeri ingin melahirkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan di atas persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk membesarkan Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang sebanyak RM250 juta.

27. Kerajaan Negeri amat menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan kerana meluluskan semula peruntukan untuk pelaksanaan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang yang telah ditangguhkan ke Rancangan Malaysia Ke Sepuluh. Projek berharga RM1.3 bilion amat penting disegerakan bagi menjamin sumber bekalan air mentah yang dijangka berkurangan pada tahun 2010. Projek kini berada pada peringkat akhir pengambilan balik tanah dan penyediaan dokumen tender. Apabila siap dapat meningkatkan kapasiti simpanan empangan dari 22 juta meter padu kepada 78 juta meter padu iaitu peningkatan simpanan sebanyak 56 juta meter padu. Dengan itu, kapasiti simpanan akan mengalami peningkatan sebanyak 254 peratus. Pelaksanaan kerja-kerja pembinaan akan dimulakan pada bulan Jun 2009 dan dijangka mengambil tempoh selama 4 tahun untuk siap.

28. Dalam aspek ini, rakyat Negeri Pulau Pinang harus mengurangkan penggunaan air sebanyak 285 liter seorang sehari yang merupakan kadar tertinggi di Malaysia. Adalah disasarkan pengurangan 10% kepada 257 liter sehari seorang pada tahun hadapan. Ini bukan sahaja akan menjimatkan wang, tetapi sumber air dan alam sekitar.

29. Pada tahun 2009, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Pulau Pinang telah diberi peruntukan berjumlah RM120.5 juta bagi melaksanakan Projek Tebatan Banjir (RM 114.9 juta), Projek Kawalan Hakisan Pantai (RM 0.8 juta), Pengurusan Sungai (RM 4.2 juta) dan Saliran Bandar (RM 0.6 juta). Projek utama dalam pelaksanaan tahun 2009 ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bertam-Kepala Batas yang dijangka siap pada penghujung tahun ini.

30. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sejumlah RM6.0 juta bagi melaksanakan projek-projek Rancangan Pemeliharaan Sungai, Mendalam dan Membaiki Sungai-sungai, Pencegahan Banjir, Pencegahan Hakisan Pantai dan Muara Sungai, Projek Laluan Ban, dan lain-lain projek bagi seluruh negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri amat berharap, dengan terlaksananya projek-projek ini, masalah banjir yang sering melanda Negeri Pulau Pinang akan dapat diselesaikan.

PERDAGANGAN TUKAR BARANG (BARTER TRADE)

31. Hubungan perdagangan tukar barang atau lebih dikenali sebagai aktiviti Barter Trade telah lama dijalankan antara Malaysia khususnya Negeri Pulau Pinang dengan negara lain seperti Thailand, Myanmar, Indochina dan Indonesia. Perdagangan yang dijalankan melalui Dermaga Perai Pulau Pinang menumpukan perdagangan yang melibatkan hasil pertanian seperti getah, sayuran, kopi, hasil perikanan, kayu bergegaji dan gula. Aktiviti perdagangan ini diwujudkan sebagai suatu platform kepada peniaga dan pedagang kecil untuk terlibat dalam perdagangan wilayah sebelum bergiat dalam perdagangan antarabangsa. Selain itu, perdagangan tukar barang ini akan dapat mengelakkan barangan daripada tidak terjual kerana ianya ditukarganti dengan produk lain.

32. Usaha Kerajaan Negeri juga diperhebatkan melalui mesyuarat Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) yang kerap diadakan. Pada masa ini, satu persetujuan telah dicapai dengan pihak Kerajaan Acheh yang membolehkan kapal dagang NV Marlisa berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang setiap hari.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

PERTANIAN

33. Bagi sektor pertanian pula, walaupun kadar pertumbuhan sektor pertanian Pulau Pinang dijangka 2.3 peratus bagi tempoh 2007 – 2010, sektor ini tidak diabaikan. Kerajaan Negeri sangat prihatin terhadap sektor pertanian dan menjadikan sektor ini bergerak maju seiring dengan pembangunan sektor lain di Pulau Pinang. Bagi tujuan ini, transformasi sektor pertanian daripada sektor yang dilaksanakan secara kecil-kecilan kepada sektor yang berteraskan perniagaan atau komersil terus diberi keutamaan. Antara projek yang disediakan ialah projek pertanian berkelompok dan projek pembangunan kawasan tumpuan pertanian baru.

34. Selain itu, Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian yang terhad melalui program pembangunan tanah terbiar. Untuk tujuan ini, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian dan PDC telah mengenalpasti beberapa tanah rizab TNB dan rizab sungai untuk ditanam dengan tanaman seperti nanas dan pala. Buat permulaan, satu projek perintis di bawah rentas TNB di Bukit Minyak sedang dirangka dan pengusaha akan dipilih daripada kalangan pekerja yang menerima tawaran perberhentian kerja dari majikan akibat kegawatan ekonomi.

35. Usaha Kerajaan Negeri untuk memajukan bidang pertanian dipertingkatkan dengan membangunkan Kuala Juru sebagai pusat penternakan, pemprosesan dan pemasaran hasil ternakan lembu dan kambing setempat dengan kemudahan infrastruktur seperti rumah penyembelihan dan bilik sejuk. Melalui program ini, hasil sektor ini akan dapat dipertingkatkan dan sumber bekalan makanan yang berkualiti akan lebih terjamin dan berterusan di Pulau Pinang.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

PEMBANGUNAN BELIA DAN SUKAN

36. Kerajaan Negeri sentiasa proaktif dalam memastikan perkembangan sukan dan belia seiring dengan pembangunan sukan negera. Masa depan dan kelangsungan kemajuan negeri ini adalah bergantung kepada kemampuan kita untuk mendidik dan membimbing golongan belia masa kini untuk menerajui kepimpinan pada masa hadapan.

37. Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjadikan aspek Kepimpinan, Kesukarelaan dan Keusahawanan sebagai fokus untuk membangunkan golongan belia di negeri ini. Tiga aspek tersebut merupakan kunci utama menjadikan seseorang belia berupaya menghadapi cabaran masa akan datang. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri akan memastikan setiap perancangan dan bantuan untuk golongan belia diteruskan walaupun ekonomi kini dalam keadaan gawat dan mencabar. Di antaranya ialah pembaikan Stadium Batu Kawan iaitu lebih RM1 juta telahpun diperuntukkan dan pembinaan Bangunan Majlis Belia Negeri Pulau Pinang yang kini sedang dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada pertengahan tahun ini yang akan menjadi mercu tanda sokongan Kerajaan Negeri terhadap pertubuhan belia. Saya berharap dengan siapnya bangunan tersebut nanti, maka usaha pembangunan golongan belia ini akan terus bersemarak dan cemerlang.

38. Negeri Pulau Pinang akan mengambil bahagian di dalam 18 jenis sukan wajib dan 7 jenis sukan di dalam Sukan Malaysia XIII 2010 di Negeri Melaka, Bandar Bersejarah. Pada tahun ini juga, Kerajaan Negeri dengan kerjasama persatuan-persatuan sukan negeri akan menganjurkan dua acara sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa di Pulau Pinang iaitu Sukan Pulau Pinang atau SUKPEN 2009 pada 30 Mei hingga 4 Jun 2009 dan Festival Sukan Kombat Antarabangsa atau FESKOM 2009 pada16 Disember hingga 20 Disember 2009. Dengan penyertaan atlet dari negeri ini membolehkan mereka bersaing di persada kebangsaan dan antarabangsa.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

ALAM SEKITAR

39. Kerajaan Negeri sentiasa peka terhadap isu dan masalah alam sekitar. Sungguhpun Kerajaan Negeri berpandangan bahawa pembangunan perlu diteruskan, namun ianya perlu dilaksanakan berteraskan kepada pembangunan lestari (sustainable development). Usaha pencegahan dan pengawalan pencemaran dan pemuliharaan alam sekitar perlu terus diberi perhatian serius bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar. Segala tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam membangunkan negeri ini perlu mengambil kira permasalahan alam sekitar kerana ianya bukan sahaja memberi implikasi ke atas generasi masa kini malah kepada generasi masa depan.

40. Kerajaan Negeri akan menggerakkan penanaman pokok “Cherry Blossom” secara berperingkat mengikut kawasan dalam tempoh dua tahun mulai tahun 2009. Kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti untuk ditanam sepanjang program ini ialah di Eco Stream, sebanyak 200 pokok, di Facade Pintu Masuk Utama, 400 pokok, di Taman Rekreasi Kuari, 100 pokok dan di Taman Botani sebanyak 100 pokok. Sehingga kini, jumlah keseluruhan penanaman pokok di kawasan Taman Botani adalah sebanyak 800 pokok.

41. Kebersihan perlu dijadikan amalan hidup dan program-program keindahan pantai, tempat awam, tapak makanan dan kawasan riadah perlulah dilaksanakan secara menyeluruh. Adalah diharapkan rakyat negeri akan bekerjasama untuk menukar imej Pulau Pinang sebagai di antara negeri yang paling bersih.

AGAMA

42. Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dalam meningkatkan keupayaan dari segi pembangunan wakaf telah merancang untuk mengadakan program bersepadu yang melibatkan tiga buah masjid iaitu Masjid Kapitan Keling, Masjid Melayu Lebuh Acheh dan Masjid Alimsah Walley. Dengan adanya program ini akan meningkatkan penyertaan lebih ramai umat Islam di negeri ini.

43. Tahun 2009 merupakan ulangtahun ke-15 penubuhan Pusat Urus Zakat, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, maka dengan itu pelbagai usaha dan kempen akan terus dipergiat untuk meningkatkan pungutan zakat demi kepentingan umat Islam seluruhnya. Kempen dan program akan dilipatgandakan lagi khususnya pada bulan Jun dan Julai iaitu bersempena dengan tarikh penubuhan Pusat urus Zakat dan juga pelancaran “Bulan Zakat Kebangsaan’.

44. Dalam mengharungi kemelut kegawatan ekonomi semasa, pelbagai usaha telah dirangka untuk mengenalpasti sumber-sumber baru pendapatan Baitulmal oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri. Salah satu sumber yang dikenalpasti adalah berkaitan penyaluran wang syubhah daripada pelaburan dana Islam ke Baitulmal Negeri.

Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,

45. Kemajuan dalam ICT membolehkan Persidangan Dewan yang mulia ini ditonton oleh seluruh rakyat Pulau Pinang khususnya dan Malaysia amnya. Justeru itu, saya ingin menasihati Ahli-ahli Yang Berhormat agar memperlihatkan peri laku yang baik di dalam dewan yang mulia ini. Memang benar dewan adalah tempat untuk kita berbahas dan berbincang mengenai isu-isu yang berkaitan dengan rakyat. Tetapi bahaslah dengan penuh semangat dan pada masa yang sama mematuhi peraturan, adab dan tata susila dewan yang mulia ini.

46. Saya juga ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua kakitangan Kerajaan atas sumbangan perkhidmatan, khususnya kepada pasukan keselamatan, polis, tentera dan bomba kerana menjaga keselamatan awam. Tahniah juga kepda Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YA.B. Ketua Menteri Pulau Pinang, Tuan Lim Guan Eng yang mendukung urus tadbir CAT di bawah prinsip 5K – Kebebasan, Keadilan, Kebajikan, Kebenaran dan Ketakwaan kepada Tuhan.

47. Akhirnya, saya sekali lagi menyeru semua Ahli-ahli Yang Berhormat agar menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat dengan cekap, telus dan akauntabiliti demi kepentingan rakyat dan negeri yang kita cintai.

Leave a Reply