Utusan Selamat Hari Raya Haji Aidil Adha Oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng

Umat Islam di seluruh dunia hari ini menyambut Aidil Adha atau turut dikenali dengan Hari Raya Korban dan Hari Raya Haji. Hari Raya Korban kali ini disambut pada 10 Zulhijjah 1429 Tahun Hijrah di mana jutaan umat Islam turut menunaikan ibadah Haji di Makkah.

Saya dengan ini mengucapkan salam Aidil Adha buat semua umat Islam di Malaysia dan di mana sahaja berada atas nama persaudaraan sesama insan dan semangat merapatkan tali silaturrahim.

Saya dimaklumkan bahawa pada hari yang mulia ini umat Islam merayakan sambutan terhadap iltizam dan pengorbanan kepada Tuhan sempena mengingati kepatuhan Nabi Ibrahim a.s. yang tunduk dan akur perintah Tuhan sehingga bersedia untuk mengorbankan anaknya sendiri.

Sebagaimana yang diketahui setiap umat Islam, Tuhan telah menggantikan Nabi Ismail, anak Nabi Ibrahim, dengan seekor biri-biri sebagai korban dan inilah yang dilakukan oleh umat Islam sejak zaman-berzaman sebagai mengingati peristiwa bersejarah dan suci ini.

Daging korban dibahagi-bahagikan kepada golongan miskin dan yang memerlukan. Inilah petanda sikap tolong-menolong yang harus diamali yang wujud di semua nilai agama. Pengorbanan bukan perkara mudah. Ia mempunyai makna yang mendalam. Ia adalah petanda menghargai nyawa dan membantu golongan yang teraniaya dan terpinggir.

Sebagaimana yang saya sering nyatakan, amalan amar makruf nahi mungkar yang menyuruh buat kebaikan dan jauhi kejahatan adalah bersifat universal yang boleh dikongsi bersama oleh semua kaum dan agama. Untuk mengamalkannya pasti perlukan pengorbanan di segi masa, harta benda, wang ringgit dan tulang empat kerat.

Sebagai Ketua Menteri, saya bertanggungjawab untuk memastikan setiap rakyat Malaysia di Pulau Pinang tidak dipinggirkan di segi pembangunan fizikal dan rohani. Pembangunan mestilah seimbang dalam aspek kerohanian dan fizikal kawasan perbandaran dan luar bandar golongan ada dan tidak berada.

Di samping itu, kerajaan negeri juga bertekad membasmi kemiskinan tegar (keluarga berpendapatan kurang RM 400 sebulan). Pada masa yang sama, memberikan harapan masa depan dengan membuka peluang menguasai pendidikan internet dengan menjadikan negeri wifi pertama yang boleh memberikan kemudahan wireless kepada semua warga Pulau Pinang secara percuma.

Kita mahu semua orang menikmati pembangunan dan kemajuan, dan bukan segelintir kelompok politik. Saya juga bertanggungjawab memimpin parti dan berusaha gigih ke arah merapatkan hubungan antara kaum dan agama di negara ini. Kita tidak boleh lagi hidup seperti katak di bawah tempurung kerana kita harus bekerjasama tanpa syak wasangka untuk kebaikan semua.

Itulah sebabnya kerajaan negeri selalunya menjalinkan hubungan silaturahim di antara semua kaum dan agama. Kita mahu pulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem kerajaan sebagai sebuah institusi yang boleh tolong dan bukan susahkan rakyat, yang boleh tahu berikan dan bukan hanya tahu angkat daripada rakyat.

Oleh itu, Kerajaan Negeri yang baru ini akan berusaha keras untuk mewujudkan peluang yang lebih adil dan saksama untuk dinikmati oleh semua masyarakat tanpa adanya diskriminasi jantina, kaum, agama mahupun fahaman politik. Semoga Aidil Adha kali ini akan membuka hati kita semua untuk sanggup sama-sama berkorban demi Malaysia yang kita cintai. Hanya dengan kerjasama ikhlas tanpa mengira kaum dan agama, kita boleh maju bersama.

Malah, tidak lama lagi umat Islam akan menyambut Tahun Baru Ma’al Hijrah 1430. Semoga semangat Aidil Adha diteruskan agar azam baru kita dikongsi bersama untuk membawa keharmonian dan keamanan tanpa rasa benci dan dendam. Sekali lagi, salam Aidil Adha buat semua umat Islam di mana sahaja berada; kukuhkan iltizam untuk hidup bersama dalam harmoni dan aman.

1 thought on “Utusan Selamat Hari Raya Haji Aidil Adha Oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng”

  1. Happy birthday YAB Lim. May God bless you and grant you the wisdom to be a great leader. Keep up the good work. We appreciate your sacrifices.

Leave a Comment