–Tamu dan Wawancara HarakahDaily–
Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang mendapat sorotan luar biasa sejak akhir-akhir ini terutama selepas diserang sedemikian rupa oleh Datuk Zaharain Mohd Hashim, bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang. Pelbagai dakwaan yang dibuat beliau terhadap Lim. Wartawan Harakahdaily Zulkifli Sulong, Nazri Abdullah dan Hazayani Zakaria telah menebual beliau baru-baru ini bagi menilai sendiri pandangan beliau dalam beberapa isu penting.
Ikuti wawancara bahagian pertama dari dua bahagian ini.
Dalam mesyuarat agung DAP baru-baru ini YAB telah membentangkan satu dasar atau pendekatan baru DAP iaitu “Midle Malaysia” atau “Malaysia Tengah”. Apa sebenarnya yang YAB maksudkan dengan slogan ini?
Yang saya maksud Midle Malaysia atau Malaysia Tengah adalah konsep di mana kita bersederhana dalam semua hal. Bukan ektremis. Kita ambil pendekatan pertengahan, tidak melampau. Pertama dalam ekonomi. Ekonomi yang maju, yang adil, dan memberi peluang kepada semua untuk mengecapi kejayaan.
Kedua ialah isu pendidikan. Mahu sistem pendidikan yang cemerlang dan memberi peluang juga kepada semua. Yang ketiga mahukan sebuah masyarakat yang selamat tanpa ancaman jenayah. Keempat ialah bahawa mereka mahukan satu masyarakat yang merangkumi semua di mana kita berkongsi nilai-nilai bersama berdasarkan keadilan, kebajikan rakyat, kebenaran dan ketakwaan kepada Tuhan. Yang kelima tentu mereka mahu kepimpinan yang berintegriti supaya kita dapat menjauhi diri daripada gejala rasuah bersifat amar makruf nahi mungkar.
Ada yang berpendapat, slogan ini adalah satu strategi politik baru untuk menukar imej DAP dan ia adalah pendekatan politik. Apa komen YAB?
Tentulah mereka ada banyak pandangan, banyak kritikan, tapi saya rasa di belakang banyak pandangan dan banyak perbincangan ini menunjukkan bahawa ia membuahkan hasil. Jika ia bukan satu idea yang menarik, ataupun tepat pada analisanya ataupun pada sasarannya saya rasa orang tak akan ambil peduli. Sungguhpun dapat banyak kritikan dan sebagainya saya rasa ini menunjukkan bahawa idea ini boleh diterima pakai. Oleh sebab itu saya rasa ini mencerminkan bahawa keadaan yang kita ramalkan mungkin tepat. Itulah sebab menarik begitu banyak perhatian.
Apa yang penting kita nak tegaskan dan kita percaya kebanyakan rakyat Malaysia mirip dan mendekati prinsip seperti ini. Mereka mahu masyarakat di mana mereka rasa mereka mempunyai hak yang sama. Mereka mahu bermesyuarat, bukan nak berkonfrontasi. Mereka mahu perbincangan atau perundingan bukanlah keganasan dan mereka mahu rasa bahawa mereka adalah termasuk dalam keluarga Malaysia dan bukan hanya khusus untuk kroni-kroni tertentu ataupun Umno Putra dan BN Putra. Mereka mahu ia merangkumi semua rakyat Malaysia.
Dalam aspek ini saya rasa itulah sebabnya kerajaan berjiwa rakyat adalah satu manifestasi ‘Middle Malaysia’ kerana selama ini dianggap bahawa dari segi mulut hanya untuk rakyat tapi dari segi tindakan jauh menyimpang daripada itu.
Bagi pihak Pakatan Rakyat kalau kita cakap tentang kerajaan berjiwa rakyat adalah bercorak tiga P. Kalau kerajaan berjiwa rakyat dia mesti perkasakan rakyat. Perkasakan rakyat dengan ilmu pengetahuan dan juga pendidikan yang tinggi kerana hanya dengan ilmu pengetahuan baru kita boleh berdikari, kita boleh bebas dan kita boleh maju. Itu sangat penting untuk memperkasakan rakyat dengan ilmu pengetahuan.
Kedua ialah perkuasakan rakyat. Perkuasakan rakyat supaya mereka menikmati hak asasi yang telah diturunkan oleh Tuhan. Semua dilahirkan bebas dan semua akan pergi secara bebas. Hanya Tuhan yang menentukan segala-galanya. Tidak ada manusia yang berkuasa untuk mengongkong dan menindas. Jadi kita harus perkuasakan rakyat.
Yang ketiga kita mesti perkayakan rakyat. Itu adalah asas keadilan di mana semua hasil negara adalah milik semua bukan khusus kepada satu dua kumpulan atau satu dua kroni sahaja.
Apakah ia bertujuan untuk mencabar 1 Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri?
Saya rasa apa yang selalu dipamerkan oleh BN, dia dari segi slogannya cantik, sedap didengar tapi samaada lazat dimakan itu lain cerita. Yang saya rasa semuanya indah khabar dari rupa dan jangan kita terpedaya dengan slogan-slogan cantik ini. Dulu kita selalu disebutkan tentang BN tradisi membela rakyat. Tapi kita tahu tradisi bukan membela rakyat tapi tradisi temberang sama rakyat.
Saya rasa buktinya yang rakyat nak lihat ialah adakah ia disusuli dengan tindakan. Kalau tak disusuli dengan tindakan maka ia hanya menanam tebu di bibir sahaja. Jadi di sini yang kita nak tunjukkan ialah satu hakikat mengenai strategi politik yang mesti diamalkan Pakatan Rakyat kalau kita nak menang di Putrajaya. Iaitu kita mesti menarik perhatian golongan rakyat Malaysia yang berada di Middle Malaysia. Ini saya rasa adalah perjuangan DAP selama ini.
Kalau cakap bahawa DAP adalah sebuah parti couvinis ini adalah kejayaan mainan politik BN Umno. Kalau saya seorang couvinis takkan saya masuk penjara kerana seorang gadis Melayu dan ini adalah fakta yang tidak dapat dinafikan. Kita sifat keMalaysiaan tapi kerana mereka menguasai media yang hitam boleh jadi putih, yang putih boleh jadi hitam. Saya rasa yang kenal agama akan tahu perbezaannya.
YAB beberapa kali bercakap soal mencontohi Khalifah Islam Umar Abdul Aziz. Apakah maksud sebenar kenyataan YAB itu?
Saya membaca riwayat hidup Khalifah Umar Abdul Aziz. Saya amat terpegun dan kagum dengan pengorbanannya. Bagaimana seorang yang mempunyai kuasa mutlak tanpa batasan sedia turun ke landasan biasa bersama dengan orang bawahan dan mempunyai prinsip demokrasi yang begitu terbuka. Saya ingat Umar Abdul Aziz pernah cakap ‘walaupun saya telah dilantik menjadi khalifah, saya sedia untuk serahkan ini dan biarkan rakyat yang memutuskannya.’ Jawapan yang diterima oleh rakyat ‘kita masih mahu Umar Abdul Aziz terus menjadi khalifah kita’.
Jadi dari awal-awal lagi sebelum idea demokrasi ditanam, Umar Abdul Aziz telah menanamkan budaya demokrasi. Sungguhpun beliau hanya memerintah selama dua tahun tapi dalam dua tahun ini kita boleh lihat kepimpinan yang begitu berintegriti. Saya rasa susah untuk sesiapa menandinginya. Saya hanya dapat nak mencontohi setakat yang boleh. Kita tengok sampai beliau cuba dibunuh oleh hambanya. Beliau maafkan hambanya dan minta dia lari bebaskan diri. Saya rasa saya tak dapat buat demikian.
Ada yang berkata ini satu strategi YAB untuk mendekati orang Islam dan Melayu di Pulau Pinang?
Kalau kita buat baik, dia cakap ini satu strategi. Kalau dia cakap kita tidak baik ini menunjukkan bahawa pemimpin itu jahat dan sebagainya. Jadi kita buat baik pun salah, kita tegas pun salah. Tapi itu saya tidak kisah. Macam saya gunakan istilah amar ma’ruf nahi mungkar untuk memandu kita. Saya pun dikritik. Saya cakap saya nak belajar buat baik pun salah. Saya pun mintak secara terbuka kalau boleh mintak Perdana Menteri ajarlah bagaimana amar ma’ruf nahi mungkar. Lepas itu orang Umno cakap Lim Guan Eng nak buat amar ma’ruf nahi mungkar kurang ajar. Nak gunakan atau nak ikut amar ma’ruf nahi mungkar pun dilabelkan kurang ajar. Tak apalah..kalau nak ikut amar ma’ruf nahi mungkar dikatakan kurang ajar oleh Umno, kurang ajar pun tak apalah.