Salam Sejahtera, Selamat Berpuasa Dan Selamat Menyambut Hari Malaysia
Saya berasa amat gembira kerana dapat berhimpun pada pagi yang mulia ini bagi meraikan Sambutan Hari Malaysia yang ke 46. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Malaysia pada pagi ini. Sambutan ini memberi pengertian yang sangat bermakna kepada semua anggota Perkhidmatan Awam dan kita sebagai rakyat Malaysia. Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963 dan dijadikan sebagai satu sambutan untuk seluruh negara memandangkan tarikh ini merupakan sejarah penggabungan negeri Sabah dan Sarawak dengan Tanah Melayu.
Saya juga ingin mengambil kesempatan mengalu-alukan kehadiran dua ADUN daripada Sarawak yang sempat dapat bersama kita pagi ini iaitu ADUN Kota Sentosa YB Chong Chien Jen dan ADUN Ngemah YB Gabriel Adit. ADUN Sabah tidak dapat berkesempatan bersama dengan kita dan kirim Salam Menyambut Hari Malaysia.
Dalam 46 tahun ini, negara Malaysia telah menunjukkan tahap pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, di mana kita telah berubah daripada sebuah ekonomi berasaskan pertanian dan penggantian import kepada negara perindustrian yang maju. Namun masih wujud ketidakseimbangan dan ketidakadilan dalam aspek pembahagian hasil di mana 40% rakyat yang termiskin hanya menguasai 13.5% hasil atau pendapatan negara.
Kemajuan tidak membawa erti sekiranya hanya sebilangan kecil dapat menikmati. Apakah makna Hari Malaysia kepada rakyat Sabah sekiranya mereka masih terperangkap dalam kancah kemiskinan sebagai negeri termiskin di Malaysia dengan kadar kemiskinan 25%? Apakah makna Hari Malaysia kepada rakyat Sarawak sekiranya mereka tidak dapat hidup dengan bermaruah dengan penuh jaminan hak asasi dan perlindungan keselamatan bila gadis sunti, remaja dan wanita kaum Penan boleh dirogol dengan sewenang-wenangnya oleh pekerja syarikat balak? Itulah sebabnya integrasi nasional, perpaduan negara dan Satu Malaysia hanya tercapai sekiranya semua rakyat Malaysia dibenarkan berkongsi kuasa, menikmati hasil bumi mereka dan kemajuan setara dalam sebuah kerajaan berjiwa rakyat
Integrasi nasional, perpaduan negara dan Hari Malaysia hanya membawa erti sekiranya didokong oleh demokrasi dan prinsip keadilan, kebebasan, kebenaran, kebajikan kepada rakyat dan ketakwaan kepada Tuhan. Semua mesti diberikan layanan sama tanpa diskriminasi ataupun peminggiran sosial dan pengabaian ekonomi.
Sekiranya Semenanjung Malaysia ada jalan dan lebuhraya maka Sabah dan Sarawak mesti pun ada. Sekiranya kemiskinan tidak mencecah 10 % di Semenanjung ia juga tidak harus melebihi 10 % di Malaysia Timur.
Sabah dan Sarawak adalah jauh lebih besar daripada Semenanjung. Tetapi adakah ia dicerminkan dalam perkongsian kuasa di peringkat Kerajaan pusat? Apa salahnya melantik salah seorang pemimpin Sabah atau Sarawak sebagai salah satu lagi Timbalan Perdana Menteri?
Kemajuan tidak membawa erti sekiranya tidak dinikmati oleh rakyat. Kemiskinan mesti diperangi dengan tegas sama seperti rasuah.
Hasil bumi mestilah dinikmati terlebih dahulu oleh rakyat tempatan. Misalnya Pulau Pinang tidak mendapat balik sumbangan cukai kepada kerajaan pusat kira-kira RM 4-5 bilion setahun. Sabah dan Sarawak mengeluarkan sumber semulajadi yang besar tetapi hanya menikmati 5% hasil sahaja diberikan bila ia harus dinaikkan kepada 25%. Formula 25% ini pun harus terpakai di Semenanjung supaya lebih adil kepada negeri dan rakyat yang membuat sumbangan mendapat balasan balik yang setimpal. supaya tidak rasai hak mereka dinafikan.
Sebagai tanda solidariti dengan rakyat Sabah dan Sarawak kerajaan negeri buat pertama kali meraikan Hari Malaysia dengan upacara khas. Kerajaan negeri Pulau Pinang sungguhpun dipisahkan oleh laut dan gunung daripada saudara warga kita daripada Sabah dan Sarawak amat prihatin tentang perjuangan mereka memperbaiki dan mengukuhkan hak asasi manusia dan sosio-ekonomi mereka.
Kami sebagai bapa, ibu, abang dan kakak amat marah dan sedih bila membaca kesengsaraan kaum Penan yang dianiayai oleh pembalak di Sarawak. Untuk membantu kaum wanita Penan daripada terus dirogol dan dianiayai, saya akan cadangkan dalam mesyuarat EXCO nanti bahawa kerajaan negeri menderma RM 30,000 kepada usaha membela nasih gadis kecil dan remaja Penan yang dirogol semasa tumpang kereta pergi ke sekolah untuk membela dan menuntut keadilan di mahkamah ke atas penjenayah. Sekiranya pergi ke sekolah pun terpaksa hari-hari hadapi risiko di rogol bukanlah erti ke Malaysiaan. Diharapkan jenayah rogol dan penderitaan kaum Penan dapat dihentikan. Sumbangan kecil kerajaan negeri ingin ingatkan kaum asli Sarawak bahawa mereka tidak dilupakan dan diingati oleh rakyat Pulau Pinang.
Perkhidmatan awam di Malaysia juga telah melalui pelbagai fasa transformasi dan pembangunan yang pesat untuk menjadi satu sistem perkhidmatan awam yang moden dan bertaraf antarabangsa. Pada tahun 1960-an, perkhidmatan awam berperanan sebagai penjaga ketenteraman dan keamanan negara; pada tahun 1970-an, perkhidmatan awam melaksanakan tanggungjawab sebagai pelaksana utama program pembangunan dan penyelia kemudahan-kemudahan asas; pada tahun 1980-an dan 1990-an, perkhidmatan awam berperanan sebagai fasilitator dan pacesetter untuk membantu sektor swasta menjadi “enjin pertumbuhan” ekonomi negara; dan abad ke-21, perkhidmatan awam berperanan menyahut cabaran-cabaran globalisasi ke arah pembangunan mapan.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa memastikan penjawat-penjawat awam mengamalkan dan menjulang falsafah urus tadbir “Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT)” pada setiap masa, dan dalam setiap tugas yang dilaksanakan. Pelaksanaan prinsip CAT di Pulau Pinang diharapkan bakal menjadikan perkhidmatan awam negeri ini sebagai perkhidmatan awam bertaraf dunia yang pertama di Malaysia.
Kerajaan negeri Pulau Pinang telah melaksanakan pelbagai projek yang bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat dan ekonomi negeri ke rantaian nilai yang lebih tinggi. Antara program-program dan dasar-dasar pembangunan signifikan yang dilaksanakan termasuklah:
i.) Menarik masuk sejumlah RM 10.2 billion pelaburan asing pada tahun 2008.
ii.) Berjaya meningkatkan kemasukan pelancong ke Pulau Pinang sebanyak 21 peratus pada tahun 2009 berbanding 2008
iii.) Menjadi negeri pertama di Malaysia yang membasmi kemiskinan tegar melalui Program Rakan Anti-Kemiskinan.
iv.) Negeri pertama yang melancarkan program-program pemuliharaan alam sekitar yang komprehensif seperti hari Tanpa Beg Plastik dan penggunaan bebola selut EM untuk menyingkirkan pencemaran di sungai-sungai sekitar Pulau Pinang.
v.) Penghuluran bantuan RM 100 sebagai tanda penghargaan kepada warga emas atas perjuangan kemerdekaan, di bawah Program Pendaftaran Warga Emas.
vi.) Melancarkan Jawatankuasa Pemantau Pengguna
vii.) Pelaksanaan wi-fi percuma di seluruh Pulau Pinang ke arah mewujudkan negeri berakyat celik ICT.
viii.) Pembangunan Hab Halal Antarabngsa di Batu Kawan, Balik Pulau dan Bukit Minyak serta penubuhan Jawatankuasa Petugas Hab Halal
ix.) Pemuliharaan semula KOMTAR sebagai pusat tumpuan orang ramai
x.) Berjaya mengekalkan status Pulau Pinang sebagai ”Tapak Warisan UNESCO’
xi.) Melancarkan program skim kredit mikro Program Titian Harapan, dengan kerjasama USM dan PDC, bagi membantu golongan miskin menceburi bidang keusahawanan.
xii.) Pelancaran Pusat Bantuan dan Latihan Kerjaya (CAT) bagi mewujudkan tenaga kerja yang berkemahiran dan berdaya saing dan mengatasi pengangguran.
Di dalam the Global Competitiveness Report 2008-09, Malaysia telah menduduki tangga yang ke-21, Namun begitu, bagi laporan yang sama bagi 2009-10, kita dapat melihat Malaysia telah jatuh tiga anak tangga ke tempat ke-24.
Empat masalah utama yang disenaraikan di dalam laporan itu sebagai faktor-faktor penghalang utama untuk menjalankan perniagaan di Malaysia, adalah kesukaran mendapatkan dana, birokrasi awam, ketidakstabilan dasar awam dan rasuah.Penjawat kerajaan merupakan tunggak utama untuk menjayakan aspirasi dan wawasan negeri menjadi negeri yang dapat berdaya saing di pentas antarabangsa.
Secara rumusan kita hendaklah menubuhkan Kerajaan Berjiwa Rakyat dengan Wawasan Negeri Bertaraf Antarabangsa
Menjana transformasi menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri bertaraf Antarabangsa yang merupakan :
– Tapak pilihan untuk para pelabur
– Destinasi pilihan untuk para pelancong
– Habitat pilihan untuk kehidupan lestari
Misi- 3P
Menjadi sebuah masyarakat yang demokrasi, menimba ilmu dan makmur melalui
– Perkasakan (Enables) rakyat dengan kepakaran, ilmu dan pendidikan serta menyediakan peluang yang saksama kepada semua lapisan masyarakat demi mewujudkan kemakmuran
– Perkuasakan (Empowers) rakyat dengan hak-hak asasi, kebebasan dan kebertanggungjawaban
– Perkayakan (Enrich) rakyat dengan perkongsian kekayaan dan hasil ekonomi bagi mencapai keadilan sosio-ekonomi
Strategi- Pentadbiran CAT
Urus tadbir Kerajaan yang baik berdasarkan Cekap, Akauntable dan Telus (CAT) yang menegakkan 5 prinsip utama iaitu keadilan, kebebasan, kebenaran, kebajikan sosial dan ketakwaan kepada Tuhan
Agenda pembangunan negeri yang mapan perlu diteruskan. Kemajuan Negeri Pulau Pinang adalah ditentukan oleh kekuatan semangat perpaduan rakyat. Oleh itu, kita mestilah mengekalkan perpaduan dan harmoni. Kita juga harus menerima apa jua perbezaan agama, adat dan tradisi sebagai cara hidup dan bukan sebagai penghalang kepada perpaduan dan keharmonian. Kepelbagaian agama, budaya dan tradisi rakyat merupakan aset yang bernilai yang memperkayakan kualiti kenegaraan Malaysia. Bagi golongan penjawat awam, kita perlu berasa bangga kerana diberi peluang untuk bersama-sama memainkan peranan dalam usaha-usaha pembangunan negeri.
Pembayaran Bantuan Khas Kewangan RM500.00 untuk Kumpulan Sokong bagi Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang Yang Akan Dikeluarkan Sempena Hari Raya Aidilfitri.
Selaras dengan tindakan kerajaan pusat, kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meluluskan bayaran RM500.00 kepada kesemua 3,299 pegawai kumpulan sokongan di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagaimana yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan. Bayaran ini melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,649,500.00 dan akan dibayar mulai dua(2) ansuran masing-masing RM250.00. Kumpulan Sokongan yang terlibat temasuk Pegawai Tetap, Sementara, Sangkut, Sambilan dan lain-lain sebagaimana yang akan dijelaskan oleh Pekeliling yang akan dikeluarkan.
Arahan pembayaran RM 500 ini akan dikeluarkan kepada MPPP, MPSP dan semua agensi kerajaan negeri. Gaji akan dibayar lebih awal untuk menyambut dua hari perayaan Hari Raya Puasa dan Hari Deepavali.
Bayaran RM250.00 pertama akan dilakukan pada hari ini Rabu 16 September bagi membolehkan wang tersebut digunakan sempena dengan sambutan Aidil Fitri manakala bakinya sejumlah RM250.00 lagi akan dibayar pada akhir Disember 2009.
Adalah diharapkan pembayaran ini nanti dapat meringankan beban pegawai kumpulan sokongan khasnya dalam membuat persiapan untuk Aidil Fitri. Namun begitu adalah juga diingatkan bahawa perbelanjaan secara berhemah dan berpatutan perlu diamalkan.
Dalam bulan Ramadan yang mulia dan suci ini eloklah satu pertunjukan khas disembahkan untuk renungan kita semua. Menunggu Kata Dari Tuhan yang akan ditayangkan dibawa untuk tatapan dan juga tontonan semua kerana ia bukanlah teater/persembahan biasa. Ia adalah mengenai sahabat Nabi Muhammad iaitu Ka’ab bin Malik yang mengalami krisis dan dilema dalam diri akibat tidak ikut bersama Nabi Muhammad menyertai Perang Tabuk. Teater/persembahan ini yang akan disembahkan selama 45 minit diolah oleh Dinsman dari sebuah Hadis yang panjang Riwayat Bukhari dan Muslim. Pelakon dan Pemuzik yang dibawakan khas ini adalah terdiri daripada Pelakon dan Pemuzik terkenal.
Dengan itu, dan dengan rasa sukacita dan gembira saya mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh warga anggota Perkhidmatan Awam Pulau Pinang dan rakyat Malaysia.