KENYATAAN MEDIA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
Penghormatan Diraja oleh Angkatan Tentera Malaysia Kepada TYT Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang Adalah Satu Kewajipan Tradisi Sambutan Hari Kemerdekaan
Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil maklum perkembangan terkini melibatkan isu penyertaan beberapa agensi Kerajaan Pusat di Sambutan Hari Kemerdekaan 2015 peringkat negeri Pulau Pinang. Pengumuman penarikan diri Angkatan Tentera Malaysia dari menyertai perarakan ini adalah sesuatu yang amat mendukacitakan. Peranan Angkatan Tentera Malaysia untuk melakukan perarakan kehormat di Raja di hadapan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang adalah satu tradisi yang penting untuk sambutan ini.
Di saat negara berada di dalam krisis ekonomi dan politik, isu tema “Bersih, Cekap, Amanah” tidak sepatutnya menjadi punca pertikaian dan dipolitikkan oleh Menteri Barisan Nasional, YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid dan YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, dan menjadi penghalang kepada suatu sambutan yang menggalakkan perpaduan dan menaikkan semangat patriotisme rakyat. Sikap Menteri ini adalah satu sikap yang tidak matang dan menyalahgunakan kuasa mereka untuk menafikan hak kami untuk sama – sama meraikan Kemerdekaan negara ini.
Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Pulau Pinang sememangnya telah menggunakan tema yang berlainan daripada sambutan di peringkat kebangsaan semenjak tahun 2010 tanpa sebarang masalah oleh pihak Kerajaan Persekutuan. Semenjak itu, sambutan di Pulau Pinang telah dianjurkan dengan tema yang tersendiri dan menepati aspirasi dan harapan rakyat Pulau Pinang. Sambutan ini juga telah disertai oleh Jabatan Pelajaran Negeri dan Angkatan Tentera Malaysia tanpa sebarang masalah sebelum ini.
Berdasarkan amalan ini, untuk sambutan tahun 2015, Kerajaan Negeri telah mencadangkan tema “Bersih, Cekap, Amanah”. Kerajaan Negeri berpandangan bahawa tema ini menepati hasrat kami untuk mewujudkan sebuah negeri yang bersih dari segi persekitaran, cekap dalam pentadbirannya dan yang paling penting menjadi sebuah kerajaan yang amanah kepada rakyat negeri ini. Ini juga bukanlah kali pertama Kerajaan Negeri menggunakan perkataan ‘Bersih’ di dalam tema – tema sambutan sebelum ini.
Keputusan Angkatan Tentera Malaysia menarik diri daripada sambutan kali ini akibat akur kepada desakan Kerajaan Pusat telah menyebabkan Kerajaan Negeri membuat pertimbangan semula. Atas semangat kemerdekaan, dan demi mempertahankan kewibawaan Tuan Yang Terutama, Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang, sebagai Ketua Negeri yang sebenarnya diberikan penghormatan diraja sebagai lambang yang mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri dengan berat hati menarik balik tema “Bersih, Cekap, Amanah” untuk Sambutan Hari Kemerdekaan 2015 Peringkat Negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri akan menggunakan tema yang sama dengan yang telah diumumkan oleh Kerajaan Pusat.
Penghormatan Diraja oleh Angkatan Tentera Malaysia Kepada TYT Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang adalah satu kewajipan tradisi sambutan Hari Kemerdekaan. Kerajaan Negeri berharap dengan penarikan ini, tidak timbul lagi masalah untuk agensi – agensi Persekutuan seperti Angkatan Tentera Malaysia menyertai Sambutan Hari Kemerdekaan 2015 Peringkat Negeri Pulau Pinang.
YAB LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang
24 Ogos 2015