DAP Akan Buat Laporan Polis Mendesak Tindakan Ke atas Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi Yang Sudah Hilang Akal Membuat Fitnah Jahat Dan Janggal Bahawa DAP Dibiayai Yahudi.

Kenyataan Akhbar Setiausaha-Agung DAP Dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng Di Kuala Lumpur Pada 23 Ogos 2015.

UMNO hilang akal dan bersikap “desperado” bila pemimpinnya seperti Ketua Bahagian UMNO Sri Gading Datuk Ab. Aziz Kaprawi dengan membuat fitnah jahat dan janggal bahawa DAP dibiayai Yahudi semata-mata nak menutup skendal kewangan RM 42 bilion 1MDB dan skendal derma politik RM2.6 bilion dimasukkan dalam akaun persendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib menjelang pilihan raya umum ke-13 pada 2013. Maka Tan Sri Muhyiddin dipecat kerana tidak tahu tentang derma politik RM2.6 bilion dan dipecat kerana menyuarakannya.

Apakah kekebalan dan keistimewaan undang-undang diberikan kepada pemimpin UMNO seperti Menteri Dalam Negeri Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang seorang sahaja boleh menentukan dan menetapkan samada Perdana Menteri itu bersalah atau tidak dalam skendal derma politik wang itu? Sepatutnya untuk menentukan seseorang itu bersalah atau tidaknya, kena melalui proses perundangan dan mahkamah bukanlah pemimpin UMNO sahaja yang tetapkan.

Sehingga pemimpin UMNO lain seperti Datuk Ab. Aziz sanggup mendakwa bahawa derma diberi pihak tertentu dari Timur Tengah kepada Datuk Seri Najib Razak sebelum ini bertujuan untuk membiayai perjuangan melawan DAP “yang dibiayai Yahudi”. Menurutnya, ini kerana jika UMNO kalah dalam pilihan raya, DAP yang disokong Yahudi akan berkuasa dan kalau kerajaan Islam Malaysia tumbang, rosaklah perjuangan Islam seluruh dunia

Tidak waras dan logic langsung bahawa DAP boleh berkuasa bila hanya bertanding dalam 51 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen. Menang semua pun tak mungkin jadi parti terbesar apatah lagi berkuasa. DAP hanya berdepan dengan calon UMNO dalam dua kerusi Parlimen, di mana DAP menang satu dan kalah satu. Tak kan perlu RM2.6 bilion untuk lawan DAP dalam dua kerusi Parlimen. Kalau begitu betapa banyak lagi dibelanjakan oleh UMNO dalam pertandingan kerusi-kerusi parlimennya yang lain?

Jelas sekali UMNO sudah hilang idea memerintah dan menutup kerakusan kuasa dan skendal rasuah dalam kerajaan. Oleh itu mereka akan buat fitnah besar yang bodoh tentang konspirasi Yahudi bersama dengan DAP, sungguhpun tidak benar sama sekali. Adalah lebih baik kerajaan persekutuan BN menjelaskan mengapa mereka berhubungan dengan syarikat kewangan besar antarabangsa yang dimiliki oleh Yahudi dalam urusan kewangan 1MDB.

Untuk menangkis fitnah jahat oleh seorang Timbalan Menteri UMNO, maka lapuran polis akan dibuat oleh pemimpin DAP mendesak tindakan diambil ke atas tuduhan fitnah dan tidak berasas ini. UMNO tidak boleh mencari jalan menutup skendal kewangan mereka dengan mengalihkan perhatian menerusi fitnah sedemikian.