SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN INSENTIF TAMBAHAN KEPADA PEMENANG-PEMENANG PINGAT KONTINJEN NEGERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN YANG AMAT BERHORMAT TUAN LIM GUAN ENG KETUA MENTERI PULAU PINANG DI SUKAN MALAYSIA XVI KUALA LUMPUR 2013
PADA JAM 12.30 TENGAH HARI, HARI ISNIN, 14 OKTOBER 2013, BERTEMPAT DI BILIK GERAKAN, ARAS 28, KOMTAR

SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN INSENTIF TAMBAHAN KEPADA PEMENANG-PEMENANG PINGAT KONTINJEN NEGERI PULAU PINANG

Salam sejahtera dan selamat tengah hari kepada semua, rakan-rakan seperjuangan daripada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, dan wakil-wakil dari kesemua Persatuan-Persatuan Sukan negeri Pulau Pinang serta para atlet yang diraikan.

Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas sekali lagi kepada Kontinjen Negeri Pulau Pinang yang telah berjaya membawa pulang sebanyak 8 pingat Emas, 19 pingat Perak dan 21 pingat Gangsa daripada 17 jenis sukan yang disertai semasa Sukan Malaysia Ke-16 Kuala Lumpur 2013. Setinggi-tinggi tahniah juga saya ucapkan kepada Pasukan Judo, Silambam, Lawan Pedang, Renang Berirama, Ping Pong, Softbol, Futsal, Ekuestrian, Kriket, Woodball dan Muay Thai yang telah berjaya mengharumkan nama negeri Pulau Pinang di persada Sukan Malaysia.

Beberapa bulan yang lalu, saya telah dijemput untuk turut bersama memeriahkan Majlis Penyampaian Insentif kepada para atlet, jurulatih dan persatuan sukan yang telah berjaya membawa pulang pingat ketika Sukan Malaysia Ke-16 Kuala Lumpur 2013. Melihat kepada segala usaha dan kejayaan yang diperoleh oleh para atlet cemerlang, saya semakin yakin bahawa Pulau Pinang mampu melahirkan lebih ramai lagi atlet bertaraf antarabangsa. Sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, adalah diputuskan bahawa mereka yang cemerlang ketika temasya Sukan Malaysia 2013 akan diberikan insentif tambahan sebanyak 50% daripada insentif awal yang telah ditetapkan ketika Majlis Penyampaian Insentif Sukan Malaysia bagi Kontinjen Pulau Pinang pada 19 Julai lalu. Maka pada hari ini, bayaran tambahan 50% seperti yang telah saya janjikan akan dikotakan pada hari ini kepada atlet-atlet yang berjaya. Bayaran berjumlah RM61,700.00 ini merupakan bayaran tambahan 50% daripada jumlah keseluruhan RM123,400.00 yang telahpun disampaikan pada bulan Julai yang lalu.

Adalah diharapkan bahawa bayaran tambahan insentif ini dapat mendorong para atlet untuk mengekalkan dan meningkatkan lagi prestasi masing-masing, dan terus berusaha untuk meningkatkan lagi kecemerlangan sukan negeri Pulau Pinang.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

Dalam memperkasakan budaya kesukanan dikalangan masyarakat Pulau Pinang dan mengambil kira kepentingan dan sumbangan sukan ke arah meningkatkan masyarakat Pulau Pinang yang sihat, berdisiplin dan berdaya saing, Kerajaan Negeri akan berusaha untuk menggalakkan program-program sukan berprestasi tinggi dan sukan massa di Pulau Pinang terus dijalankan sepanjang tahun.

Penekanan oleh Kerajaan Negeri adalah untuk mewujudkan budaya bersukan di kalangan rakyat Pulau Pinang bagi menggalakkan aktiviti dan amalan gaya hidup sihat sentiasa sebati dalam kehidupan seharian masyarakat.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

Sememangnya benar bahawa untuk menjadi atlet yang berjaya, disiplin dan komitmen yang tinggi adalah amat perlu. Dan untuk melahirkan kecenderungan untuk berjaya, sokongan daripada ahli keluarga juga amat penting. Saya difahamkan bahwa ramai ahli keluarga atlet-atlet kita juga turut turun padang untuk berada disisi anak-anak kesayangan ketika pertandingan dan latihan bagi memberikan motivasi dan sokongan emosi agar nekad untuk berjaya tidak pudar walaubagaimana besar cabaran yang dihadapi.

Saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua atlet-atlet negeri termasuk ibu-bapa atlet, para jurulatih yang berdedikasi dan pihak persatuan yang tanpa penat lelah memberikan sokongan padu kepada atlet-atlet ini untuk terus berlatih dengan gigih untuk berjaya.

Sekian, terima kasih.

0 Responses to “SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN INSENTIF TAMBAHAN KEPADA PEMENANG-PEMENANG PINGAT KONTINJEN NEGERI PULAU PINANG”


Comments are currently closed.