UCAPAN OLEH YAB TUAN LIM GUAN ENG KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA ISTIADAT MENGANGKAT SUMPAH PELANTIKAN YANG DIPERTUA NEGERI PULAU PINANG TUAN YANG TERUTAMA TUN DATO’ SERI UTAMA (Dr) HAJI ABDUL RAHMAN BIN HAJI ABBAS

1. Pada saat yang bersejarah dan penuh gilang-gemilang ini, saya bagi pihak kerajaan dan rakyat Negeri Pulau Pinang dengan segala hormat dan sukacita menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena lanjutan perkhidmatan Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas sebagai Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang untuk kali ke-empat. Sesungguhnya, kami berasa amat bersyukur dan gembira kerana Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan berdua akan terus menjadi payung kepimpinan kepada Kerajaan Negeri dan rakyat negeri ini.

2. Pada kesempatan ini, sukacita dinyatakan bahawa semenjak Kerajaan Pakatan Rakyat memrintah Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun telah banyak memberi nasihat, pandangan dan tunjuk ajar dalam membantu pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Sehingga kini, rakyat Negeri Pulau Pinang berpuas hati di atas keprihatinan Tuan Yang Terutama Tun. Pentadbiran Kerajaan Negeri juga amat menyanjung tinggi sikap mengambil berat Tuan Yang Terutama Tun yang sentiasa mendampingi seluruh lapisan masyarakat.

3. Negeri Pulau Pinang telah mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelbagai bidang di samping kemajuan yang pesat lagi membanggakan. Ini terbukti apabila Pulau Pinang berjaya mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang melebihi KDNK Malaysia pada kadar 8.1 peratus bagi tahun 2010. Prestasi kewangan 2010 juga memberangsangkan dengan lebihan Belanjawan sebanyak RM33.5 juta berbanding dengan anggaran Belanjawan Defisit sebanyak RM79 juta. Dengan kata lain, Kerajaan Negeri telah mencapai “turnaround” sebanyak RM112.5 juta. Perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum semakin erat bagi mewujudkan kestabilan dan keamanan di negeri ini yang membolehkan pentadbiran Kerajaan Negeri menumpukan usaha sepenuhnya terhadap pembangunan.

4. Ini dibuktikan dengan jumlah pelaburan yang meningkat sebanyak RM12.2 billion pada tahun 2010 berbanding RM2.1 billion pada tahun 2009.

5. Peningkatan pelaburan Pulau Pinang sebagai jaguh pelaburan Malaysia disebabkan tujuh (7) faktor kejayaan utama seperti berikut :-

· Urus tadbir yang baik dan kepimpinan berwibawa

· Memiliki tenaga kerja berbakat bagi pertumbuhan ekonomi negeri

· Bandaraya paling baik didiami di Malaysia yang menjadi pilihan profesional yang kreatif dan berinovasi bagi habitat kehidupan mampan

· Jaminan perlindungan harta intelek

· Memiliki hub lojistik yang cekap

· Pengurusan rantaian bekalan yang kompeten

· Usaha memupuk kreativiti dan inovasi di dalam bidang sains dan teknologi

6. Pelancongan yang merupakan penggerak ekonomi kedua Negeri Pulau Pinang selain sektor industri pembuatan menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan. Ini dicerminkan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang mencatatkan pertumbuhan penumpang udara paling tinggi di Malaysia sebanyak 25%, jauh mendahului Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

7. Kerajaan Negeri juga amat serius untuk menjadikan Pulau Pinang “Cleaner, Greener and Safer” (Lebih Hijau, Lebih Bersih & Selamat). Indeks jenayah juga menunjukkan penurunan sebanyak 27% iaitu kadar yang paling besar di Malaysia. Dasar-dasar seperti No Free Plastic Bag Day’ dan mempergiatkan kempen kitar semula 3R menunjukkan komitmen ke arah negeri hijau yang pertama di Malaysia. Pengurangan sisa pepejal sebanyak 175 tan metrik sehari di kawasan MPSP adalah satu tanda kejayaan.

8. Sebagai kerajaan berjiwa rakyat yang mengamalkan 3P iaitu Perkasakan Rakyat, Perkuasakan Rakyat dan Perkayakan Rakyat, Kerajaan Negeri telah Perkasakan rakyat dengan meningkatkan tahap kemudahan ICT yang merupakan faktor penting yang dinilai bagi menjadi sebuah negeri maju dan bertaraf antarabangsa. Ini akan membantu anak-anak kita menguasai pengetahuan komputer. Sehingga kini, Kerajaan Negeri dengan tajaan percuma syarikat swasta telah menyediakan 750 lokasi hotspot internet WiFi percuma di tempat awam. Kemudahan ini akan diperluaskan ke 750 lokasi lagi dengan bayaran Kerajaan Negeri yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,500 lokasi demi mencapai hasrat Pulau Pinang sebagai negeri WiFi yang pertama di Malaysia.

9. Kerajaan Negeri mengambil inisiatif Perkuasakan rakyatnya dengan menghormati hak, kebebasan dan peluang rakyat dengan mewujudkan sebuah Sudut Pidato atau “Speaker Square” di Padang Kota pada bulan Mei tahun lepas. Rakyat diperkayakan dengan hasil ekonomi negeri dengan program warga emas sebanyak RM20 juta yang membayar RM100 setahun kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas yang berdaftar. Tahun ini merupakan tahun kedua pemberian seumpama ini diadakan, dan waris si mati diberikan RM1,000 untuk jenazah. Program ini yang mendapat sambutan yang begitu popular di kalangan 115,000 daripada 130,000 warga emas atau 88% di Pulau Pinang akan diperluaskan kepada OKU dan ibu tunggal.

10. Kerajaan Negeri berhasrat bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kebaikan negara dan kepentingan 1.6 juta rakyat Pulau Pinang. Lantaran itu, Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif Kerajaan Persekutuan merangka satu rancangan megapolis George Town yang merangkumi Pulau Pinang. Sebagai tanda keikhlasan Kerajaan Negeri dalam merangka Greater Penang Masterplan ini secara bersama, Kerajaan Negeri telah ketepikan Laporan Penang Blueprint 2011-2015. Penang Blueprint yang telahpun disiapkan lebih awal untuk tempoh masa depan lima (5) tahun pelan industri Pulau Pinang. Adalah diharapkan lab selama 6 minggu yang akan dipandu bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Idris Jala dan saya akan dapat menjalankan kerja mulai bulan Jun ini.

11. Akhirnya kemudahan infrastruktur adalah paling mustahak. Demi mengatasi masalah kesesakan trafik, satu Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang sedang disediakan oleh perunding pakar trafik dengan kos RM3.2 juta. Ia akan merangkumi sistem jalan raya terowong. Di antara cadangannya telahpun dicatat dalam Memorandum Of Understanding yang ditandatangani oleh BUCG dari Beijing dan saya pada 28hb April 2011 dan disaksikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri China Wen Jia Bao. Projek jalan dan terowong adalah :

a) Gurney Drive menghubungkan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu sepanjang 4.2KM

b) Bandar Baru Air Itam menghubungkan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu sepanjang 4.6KM

c) Terowong Pulau Pinang – Butterworth sepanjang 6.5KM. Pembinaan ini bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan trafik di kawasan pulau tetapi juga akan memacu pembangunan ekonomi di kawasan Seberang Perai Utara (SPU) seperti Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Butterworth. Ini membuktikan Kerajaan Negeri bertindak adil menjaga semua rakyat Pulau Pinang tanpa mengira fahaman politik dan kaum.

Projek-projek ini akan dijalankan secara tender terbuka. Menandatangani MOU ini juga adalah satu tanda pengiktirafan kebangkitan Pulau Pinang dalam pentas antarabangsa sehingga mendapat perhatian oleh negara-negara besar dan maju.

12. Secara keseluruhannya, dalam konteks pembangunan Negeri Pulau Pinang serta kemajuan sosial dan masyarakat, Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan telah banyak menyumbang kepada program-program kebajikan dan kebudayaan negeri. Sokongan dan galakan yang disumbangkan oleh Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan di dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan amat disanjung tinggi. Sesungguhnya, sifat keprihatinan Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan tunjukkan menjadi mendorong ke arah perpaduan yang lebih erat sesama rakyat. Sekalung penghargaan turut diucapkan kepada anggota pasukan keselamatan polis, tentera dan bomba yang tidak pernah berkompromi dalam usaha menjaga keharmonian dan keamanan negeri ini di bawah kepimpinan Tuan Yang Terutama Tun.

13. Sempena hari bersejarah dan penuh bermakna ini, saya dan seluruh warga pentadbiran Kerajaan Negeri serta rakyat negeri Pulau Pinang ingin mengambil peluang menzahirkan ucapan tahniah dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuan Yang Terutama Tun.

14. Akhir kata, marilah kita bersama-sama memanjatkan doa semoga Yang Maha Esa melanjutkan usia Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan berdua dan sentiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat di bawah lindungan Yang Maha Esa sepanjang masa.

Sekian, terima kasih.

Leave a Comment