Majlis Penyampain Sumbangan pengurusan jenazah/kematian dan penghargaan warga emas

TEKS UCAPAN Y.A.B LIM GUAN ENG KETUA MENTERI PULAU PINANG BAGI
MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN PENGURUSAN JENAZAH / KEMATIAN SEBANYAK RM1,000 DAN WANG PENGHARGAAN WARGA EMAS RM100 DI BALIK PULAU, PULAU PINANGPADA 28.8.2010

1. Bersyukur kita kepada tuhan kerana dapat berjumpa di dalam Majlis yang penuh bermakna ini iaitu majlis penghargaan kepada golongan warga emas yang telah banyak menyumbangkan bakti kepada Negeri Pulau Pinang khasnya dan Negara Malaysia amnya.

2. Golongan warga emas memang tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan untuk menghargai dan mengiktiraf golongan ini, penghargaan berupa sumbangan wang tunai RM 100.00 telah, sedang dan akan diteruskan sebagai sumbangan tahunan kepada golongan yang berumur 60 tahun ke atas dengan syarat mereka telah mendaftar sebagai pengundi di Pulau Pinang. Untuk makluman tuan-puan juga, seramai 107,625 warga emas telahpun menikmati wang penghargaan warga emas, iaitu peningkatan hampir 25,000 orang daripada lebih 83,000 sebelum ini. Ini menunjukkan bahawa warga emas di negeri Pulau Pinang tetap dihargai dan jasa-jasa mereka tidak pernah dilupakan. Yang 25,000 warga emas ini diharapkan dapat menerima bayaran RM 100 sebelum Hari Raya ini.

Jumlah Permohonan yang berdaftar (sejak Mei 2009 sehingga Ogos 2010)

Daerah

SPS 11968
SPT 16402
SPU 21292
DTL 45051
DBD 12912
Jumlah 107625

3. Sebagai meringankan beban kepada waris warga emas yang telah meninggal dunia, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif bagi membantu waris atau keluarga terdekat warga emas yang meninggal dunia dengan menambah satu lagi bentuk sumbangan iaitu sumbangan jenazah atau kematian sebanyak RM 1000.00 sekaligus (bukan tahunan) kepada waris setiap warga emas yang meninggal dunia. Walaupun sumbangan yang diberikan ini tidaklah seberapa, namun Kerajaan Negeri percaya sumbangan sebanyak RM 1000.00 ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan waris atau ahli keluarga yang terdekat. Ia juga merupakan galakan kerajaan negeri ke atas orang muda menjaga ibu-bapa mereka dan tidak mengabaikan tanggungjawab mereka.

4. Untuk makluman tuan-puan, mengikut pendaftaran di dalam sistem i-sejahtera yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, setakat 24 Ogos 2010, seramai 34 orang waris daripada Daerah Barat Daya akan menerima sumbangan RM 1,000 ini.

5. Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, sesungguhnya beban untuk menjaga kebajikan rakyat negeri ini bukan hanya terletak dibahu Kerajaan Negeri, malah semua pihak termasuk sektor swasta dan korporat perlu turut serta dan bersama-sama berganding bahu membantu menjayakan program-program Kerajaan Negeri yang bertujuan untuk membantu dan meningkatkan taraf hidup rakyat Negeri Pulau Pinang, terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan.

6. Sokongan dan kerjasama badan-badan swasta dan korporat ini amat dialu-alukan dan dihargai agar agenda-agenda kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

7. Saya yakin dan percaya rakyat Pulau Pinang akan menikmati faedah yang lebih besar lagi sekiranya semua pihak terutamanya pihak swasta sanggup bersama-sama kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mampu berbuat demikian kerana berpegang kepada prinsip perbelanjaan berhemah dan berjimat-cermat dalam menguruskan wang awam, melaksanakan urus tadbir yang cemerlang berdasarkan CAT iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus berkonsepkan ‘AMAR MAA’RUF NAHI MUNGKAR’. Dengan cara ini Kerajaan Negeri dapat memastikan bahawa tiada golongan atau kumpulan yang terpinggir dari arus pembangunan negeri ini.

8. Disamping itu, Kerajaan Negeri telahpun berjaya dalam mencapai miskin tegar sifar pada Mac 2009 yang lalu. ini menunjukkan Kerajaan Negeri juga amat prihatin terhadap nasib golongan miskin tegar di Negeri Pulau Pinang dan usaha bagi membantu golongan miskin tegar akan diteruskan dari masa ke semasa. Sehingga bulan Julia 2010 seramai 741 KIR sedang menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri. Selaras dengan Dasar Pembasmian miskin tegar, Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak hampir RM 200 ribu setiap bulan dalam usaha untuk mengeluarkan golongan tersebut dari kepompong kemiskinan.

9. Saya telah mencadangkan kepada Y.B Phee supaya sumbangan kewangan ini dapat diberi dan diselesaikan sebelum menjelangnya Hari Raya Aidilfitri nanti. Ini adalah bagi meringankan bebanan kewangan kepada waris-waris warga emas terutamanya kepada golongan muslimin dan muslimat yang akan meyambut Hari Raya yang mulia nanti. Sumbangan kewangan ini mungkin tidak dapat menampung keseluruhan perbelanjaan untuk menyambut hari raya nanti, tetapi saya percaya sedikit sebanyak Wang RM 1000.00 dapat juga meringankan bebanan tuan-puan dalam meyediakan keperluan sambutan hari raya nanti.

10. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Y.B Tuan Phee Boon Poh, semua ahli-ahli Jawatankuasanya, pegawai-pegawai dan kakitangan di semua jabatan dan agensi kerajaan yang telah bertungkus lumus dalam menganjur dan menjayakan program ini.

11. Sekian, saya sudahi ucapan saya dengan ucapan selamat sejahtera kepada semua waris-waris warga emas dan kepada kaum muslimin dan muslimat saya ucapkan selamat menjalani ibadah puasa juga saya ucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri. Terima Kasih

0 Responses to “Majlis Penyampain Sumbangan pengurusan jenazah/kematian dan penghargaan warga emas”


  • No Comments

Leave a Reply

You must login to post a comment.