Isu penyelewengan tanah yang berpunca daripada Kerajaan Negeri BN

Soalan bertulis YB. DATO’ HAJI ROSLAN BIN SAIDIN (Pinang Tunggal): Apakah status terkini isu yang sering dihebahkan oleh pihak Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat berhubung isu penyelewengan tanah yang dikatakan berpunca daripada Kerajaan Negeri Barisan Nasional yang lalu. Kenapakah sehingga sekarang masih belum didedahkan isu tersebut.

Jawapan: Terdapat sebilangan kes-kes yang berkaitan dengan tanah yang telah diuruskan semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional telah menimbulkan masalah kepada kerajaan sekarang dan dipercayai berpunca hasil daripada salah urus tadbir kerajaan yang terdahulu. Di antara kes-kes besar yang telah di temui adalah seperti berikut:-

(a) Kes pemberian milik tanah Kampung Buah Pala;
(b) Kes pemberian milik tanah Tan Hak Ju; dan
(c) Kes pengambilan balik tanah Empangan Mengkuang.

Kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi setiap kes yang telah ditemui. Salah satu cara jawatankuasa ini menjalankan siasatan ialah melalui pengumpulan maklumat dari mereka yang terlibat bagi setiap kes yang disebutkan. Dalam hubungan ini, jawatankuasa telah memanggil beberapa individu termasuk Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) terdahulu yang terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan. Malangnya, mereka enggan tampil memberikan kerjasama kepada jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan. Keengganan mereka telah menyebabkan siasatan tidak dapat dilengkapkan dengan sempurna dan melambatkan penyediaan laporan siasatan. Memandangkan laporan akhir belum lagi disiapkan, maka hasil siasatan belum dapat didedahkan.

Leave a Comment