Isu Kg Buah Bala

Soalan Bertulis YB. TUAN HAJI SR. MUHAMAD FARID BIN SAAD(Pulau Betong): Penduduk Kampung Buah Pala mendakwa bahawa pihak calon yang bertanding dalam Pilihan raya Umum Ke 12 pada bulan Mac 2008 yang kini membentuk kerajaan negeri telah tidak mengotakan janji-janji yang telah dibuat semasa kempen pilihan raya. Apakah yang telah dijanjikan dan oleh siapa? Apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah di kampung tersebut.

Jawapan Kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak menafikan bahawa terdapat calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-12 telah berjanji untuk mempertahankan Kampung Buah Pala daripada dirobohkan. Ini memang dilaksanakan atas sokongan perjuangan mereka sehingga Kampung Buah Pala masih berdiri sehingga hari ini. Sekiranya Barisan Nasional masih memerintah, maka ia hanya tinggal pasir dan debu sahaja. Y.B. patut tahu ini adalah angkara Barisan Nasional yang rampas tanah mereka.

Namun, Perintah Mahkamah Persekutuan yang telah diperolehi oleh pihak pemaju tidak menyebelahi pihak penduduk- penduduk Kampung Buah Pala. Pihak kerajaan negeri juga tidak boleh mengingkari perintah mahkamah selaras dengan prinsip menegakkan kedaulatan undang-undang.

Atas sebab ini, kerajaan negeri telah memainkan peranan yang gigih untuk berunding dengan pihak pemaju supaya setiap rumah yang akan dirobohkan dapat ditawarkan dengan sebuah rumah teres bertingkat dua dengan keluasan tanah 1,200 kaki persegi dan keluasan kawasan binaan 1,400 kaki persegi. Ini merupakan formula win-win yang dipersetujui oleh kerajaan negeri dan pihak pemaju untuk menyediakan rumah gantian bagi penduduk-penduduk yang terlibat.

Leave a Comment