Hentikan serangan ketenteraannya ke atas Gaza

Sejak Israel mengiystiharkan kemerdekaannya kira-kira 60 tahun lalu, rantau Timur Tengah atau Asia barat tidak pernah sunyi dari konflik yang mengorbankan banyak nyawa. Permulaan berdarah pada tahun 1948 berlaku apabila negara-negara Arab telah menyerang Israel untuk membebaskan bumi Palestin dari taklukan kumpulan Zionis Israel.

Pada tahun 1948 itu, Jordan mengambil alih Tebing Barat manakala Mesir pula membawa Gaza di bawah penguasaannya. Namun, negara-negara Arab tewas dalam peperangan pertama mereka dengan Israel.

Pada 1967, negara-negara Arab sekali lagi cuba menyerang Israel tetapi masih gagal. Malah dalam masa enam hari, kuasa ketenteraan mereka dilumpuhkan oleh serangan balas Israel di mana Gaza turut ditawan.

Pada 1973, serangan mengejut negara-negara Arab yang dipimpin oleh Mesir terhadap Israel menggegarkan dunia. Walaupun kedua-dua pihak mengisytiharkan menang perang, ia membawa kembali kepada keadaan yang sama pada tahun 1967. Yang pasti, jumlah nyawa rakyat tidak berdosa yang terkorban telah meningkat.

Gaza dan Tebing Barat telah dijadikan kem untuk melatih gerila Palestin menyerang kubu-kubu tentera Israel. Rakyat Palestin yang lain melimpah sebagai pelarian di negara-negara Arab seperti Lubnan dan Syria.

Sejak itu juga, pemimpin-pemimpin Arab bermain politik demi kepentingan negara dan ideologi masing-masing. Yang terus menjadi mangsa adalah rakyat Palestin.

Pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an, rakyat Palestin dibawa ke kiri ke arah sosialisme Arab. Setelah ideologi itu gagal menumpaskan Israel, rakyat Palestin dibawa ke arah agama pula selepas tahun 1980-an.

Rakyat Palestin sendiri yang sudah kecewa dengan kumpulan-kumpulan politik dan ideologi telah bangkit sendiri menentang kekerasan dan keganasan Israel. Bermula dengan gerakan akar umbi “intifadah” pada 1987, akhirnya ia membawa kepada usaha damai Oslo pada tahun 1993.

Rangka rancangan damai Oslo tidak memberikan hak milik sepenuhnya kepada rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, dan ini menyebabkan proses itu gagal dilaksanakan. Pada tahun 2000, tawaran untuk tambahan kawasan hak milik Palestin di Tebing Bara ditambah tetapi penguasaan politik dan ketenteraan tetap di tangan Israel. Dalam erti kata yang lain, walaupun negara Palestin “berdaulat” ia tetap dikuasai oleh Israel.

Keadaan ini sekali lagi membangkitkan intifadah di Palestin. Munculnya Hamas yang menolak rancangan “dua negara – satu untuk Israel dan satu untuk Palestin” juga membangkitkan semangat baru di kalangan rakyat Palestin yang sering dipermainkan oleh kuasa-kuasa besar serta sesetengah negara Arab sendiri.

Namun, di saat-saat genting untuk mencapai perpaduan, pertelingkahan sesama parti-parti politik di Palestin terutamanya di antara Hamas dan Fatah memburukan lagi keadaan di mana dunia melihat kegagalan dalam mencapai perpaduan Palestin.

Pemimpin PLO Allahyarham Yasser Arafat selama berpuluh tahun telah membawa perjuangan gerila dan kemudiannya melalui diplomasi untuk mencapai perdamaian di Timur Tengah, dan kembali kepada strategi menyerang Israel – tidak membawa banyak perubahan.

Namun, pada awal dekad ini, usaha damai menunjukkan sedikit hasil. Wujud apa yang dikatakan sebagai Kerajaan Palestin. Tetapi pertentangan ideologi dan tatacara di antara Fatah, Hamas dan Jihad Islamiah menyebabkan usaha murni itu terbantut.

Pada tahun 2007, Presiden Palestin Mahmoud Abbas dari kumpulan Fatah telah menyingkirkan Hamas dari kerajaan perpaduan Palestin untuk menubuhkan Kabinet baru di Tebing Barat berikutan penguasaan Gaza oleh kumpulan Hamas melalui pilihan raya.

Hamas menang pilihan raya itu di atas slogan enggan mengiktiraf kewujudan Israel dan enggan meletak senjata dan mahu terus menyerang Israel. Kedua-dua pihak bukan setakat berperang mulut, malah benar-benar terbabit dalam perang saudara di Palestin.

Tahun lalu, gencatan senjata semua pihak selama enam bulan mengurangkan ketegangan di rantau Asia Barat. Namun, Israel telah menuduh Hamas melancarkan serangan roket ke dalam negara itu yang menyebabkan orang awam terbunuh.

Bulan lalu, sewaktu umat Islam sedunia bersiap sedia menghadapi Tahun Baru Ma’al Hijrah, Israel telah melancarkan serangan udara secara besar-besaran terhadap Gaza.

Saudara kita – orang awam di bumi Palestin – telah sekali lagi menjadi mangsa. Serangan udara itu telah mengakibatkan lebih 300 orang terbunuh manakala beratus lagi cedera. Tidak lama selepas itu, Israel melancarkan pula seangan ketenteraan darat. Makin banyak nyawa melayang, hampir kesemuanya orang awam termasuk kanak-kanak.

Saya bagi pihak DAP mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel terhadap orang awam dan mendesak Israel supaya menghentikan tindakan ganas serta mencari jalan penyelesaian melalui usaha damai.

Bagi saya, walau apa pun alasannya atas dasar ketenteraan, tindakan ganas yang mengorbankan orang awam tidak akan dapat menyelesaikan masalah politik. Jalan terbaik ialah meneruskan usaha damai melalui rundingan dan tidak perlu ada pertumpahan darah ke arah mencapai kedamaian di Timur Tengah.

Saya telah pun meminta Kerajaan Malaysia supaya memanggil Duta Amerika Syarikat di Malaysia untuk menyampaikan bantahan rakyat Malaysia terhadap sokongan membuta-tuli Amerika kepada Israel. Jelas tindakan pengeboman yang tidak berperi kemanusiaan telah membunuh dan mencederakan orang awam termasuk kanak-kanak yang tak berdosa. Selain daripada menghentikan sokongan membabi buta kepada rejim Tel-A-Viv, kerajaan Malaysia harus mendesak Amerika Syarikat menggunakan pengaruh mengarahkan Israel menghentikan peperangan dan undur dari bumi Gaza.

Keengganan Amerika Syarikat sebaliknya sikap degil terus bekalkan senjata peperangan kepada rejim Israel untuk membunuh wanita dan kanak-kanak menjadikan kerajaan Amerika Syarikat di bawah pimpinan George Bush sama-sama bersalah dan tidak bertamadun yang perlu dibaling kasut.

Saya ingin menegaskan bahawa DAP tidak memusuhi rakyat Amerika Syarikat tetapi hanya kerajaan dan Presidennya George Bush. Rakyat Amerika Syarikat sendiri pun telah menolak parti George Bush bila memberikan kemenangan besar kepada Obama dan parti Demokratnya dalam pilihanraya Presiden tahun lepas. Kita harap bahawa Obama akan memenuhi aspirasi dunia untuk suatu dasar luar negara yang seimbang adil dan perikemanusiaan kepada rakyat Palestin yang terpinggir, terlupa dan terhanyut oleh dunia antarabangsa selama ini.

Saya juga meminta Kerajaan Malaysia supaya mendesak kerajaan Amerika Syarikat untuk campur tangan bagi mendapatkan penyelesaian yang adil dan saksama untuk semua pihak yang berbalah di bumi Palestin.

Untuk itu, saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan kerana sudi menerima cadangan parti pembangkang mengadakan sidang khas di Dewan Rakyat hari ini untuk menyuarakan bantahan rakyat Malaysia terhadap kekejaman yang berlaku di dumi Palestin.
Pada hari Jumaat yang lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB telah meluluskan resolusi menggesa dilaksanakan gencatan senjata secara serta-merta yang mesti dihormati oleh semua pihak. Resolusi itu juga mendesak Israel berundur dari Gaza dengan segera.

Saya bagi pihak DAP menyokong penuh Resolusi 1860 itu yang menggesa diadakan gencatan senjata segera, secara berpanjangan dan dipatuhi sepenuhnya, dan seterusnya membawa kepada pengunduran seluruh askar Israel dari Gaza.

Majlis Keselamatan PBB turut menggesa agar diambil langkah untuk menyekat penyeludupan senjata ke Gaza di samping membenarkan penghantaran masuk bantuan kemanusiaan untuk 750,000 penduduk di Gaza.

Sebanyak 14 anggota majlis menyokong resolusi berkenaan manakala Amerika Syarikat bersikap berkecuali. Setakat ini Israel dan Hamas tidak pula menunjukkan sikap positif terhadap resolusi itu.

Kita sedar terlalu banyak pihak yang berkepentingan dalam konflik Palestin ini di mana masing-masing mempunyai agenda tersendiri. Masalah yang saya ingin kemukakan ialah siapa yang benar-benar memikirkan nasib dan masa depan rakyat Palestin?

Sudah banyak pihak mengemukakan cadangan bagi melaksanakan proses damai di Palestin dan semuanya tidak dapat bertahan lama. Namun saya berharap usaha damai perlu diteruskan atas dasar kemanusiaan.

Saya menyokong usaha PBB untuk mencari penyelesaian terhadap krisis yang semakin meruncing ini serta memastikan proses perdamaian jangka panjang demi membela nasib orang awam tanpa mengira di mana mereka berada.

Sebelum Resolusi 1860 yang menggesa gencatan senjata serta mendesak Israel keluar dari Gaza, Majlis Keselamatan PBB bulan lalu telah mengulangi ketetapan untuk menggalakkan usaha mewujudkan penyelesaian dua-negara bagi menamatkan konflik Israel-Palestin.

Saya menyokong usaha ini, seperti mana yang dijelaskan oleh Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon, bahawa keamanan yang berkekalan hanya boleh diwujudkan atas iltizam semua pihak untuk saling menghormati dan mengiktiraf kewujudan masing-masing, bebas dari keganasan dan kekejaman, dan penyelesaian dua-negara yang dibina atas janji-janji dan tanggungjawab sebelum ini.

Saya berharap Kerajaan Malaysia juga menyokong penuh usaha PBB melalui inisiatif “Quarter” bagi Asia Barat, iaitu PBB, Amerika Syarikat, Rusia dan Kesatuan Eropah (EU) di samping saluran-saluran lain yang mana matlamatnya adalah untuk memastikan wujudkan perdamaian di Timur Tengah serta memastikan tidak ada lagi nyawa orang awam menjadi korban konflik politik.

Walaupun kita sedar peranan Amerika dalam Quartet ini masih boleh dipertikaikan kerana terlalu berlembut dengan Israel, saya berharap setitik nila tidak akan menghancurkan usaha murni perdamaian.

Quartet ini telah pun menyuarakan iltizam untuk memastikan wujudnya sebuah negara Palestin yang berdaulat yang berjiran dengan Israel yang dapat hidup aman dan damai. Apa yang telah ditetapkan, dan boleh diubah suai mengikut keperluan, adalah “road map” untuk menamatkan konflik yang kejam dan berdarah ini.

Walaupun Hamas menolak usaha Quartet, saya berharap kita di Malaysia tidak akan berputus asa dan terus mencari jalan untuk memujuk Hamas menyertai proses usaha damai yang dapat memastikan berakhirnya pertumpahan darah serta tidak merugikan rakyat Palestin.

Saya juga ingin menegaskan bahawa ini bukan isu agama atau kaum tetapi usaha semua pihak untuk mendapatkan penyelesaian yang adil tanpa mendiskriminasi sesiapa mengikut agama dan kaum. Ini adalah soal kemanusiaan sejagat yang harus diselesaikan bersama tanpa sentimen tertentu.

Pendirian DAP adalah jelas – kami menolak sebarang tindakan keganasan, sama ada dilakukan oleh kumpulan pengganas atau mana-mana kerajaan. Selagi orang awam menjadi mangsa, selagi itulah kami menganggapnya tindakan keganasan.

Dengan itu, saya menyeru semua sahabat saya di Dewan yang mulia ini, agar sama-sama memberi sokongan penuh terhadap usul ini, sebagai membuktikan iltizam kita sebagai rakyat Malaysia yang menolak keganasan dan sebaliknya mencintai perdamaian dan keamanan.

1 Response to “Hentikan serangan ketenteraannya ke atas Gaza”


  • Yang Berhormat dapat menulis dengan amat baik sekali dalam Bahasa Malaysia. Mengagumkan.
    Pada pendapat Yang Berhormat, kawasan Gaza itu milik Israel atau Palestin sebenarnya?

Leave a Reply

You must login to post a comment.