Kenyataan Media oleh Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng pada 17.05.2018 di Kuala Lumpur:
DAP mengecam sekeras-kerasnya malapetaka terbaru di Jalur Gaza yang mengakibatkan jumlah kematian yang tertinggi sejak tahun 2014. Tentera Israel telah menembak mati sekurang-kurangnya 60 rakyat Palestin yang tidak bersenjata termasuk remaja, sementara 2,771 orang lain tercedera dengan 116 orang dalam keadaan kritikal. Pembunuhan 60 rakyat Palestin Tidak Bersenjata di Jalur Gaza oleh Rejim Israel Hanya Membuktikan Sekali Lagi Israel Adalah Pengganas Yang Tidak Berperikemanusiaan. Itulah sebabnya Israel tidak ada kawan sebenarnya di dunia kerana tidak ada sesiapa nak bersama dengan pengganas.
Serangan terbaru ini berlaku akibat demonstrasi oleh rakyat Palestin di sepanjang sempadan Gaza-Israel ekoran keputusan Amerika Syarikat untuk memindahkan kedutaan besar dari Tel Aviv ke kota suci Baitulmuqaddis (Jerusalem). Tindakan ini menjejaskan usaha untuk mencapai penyelesaian dua negara (two-state solution) serta hak rakyat Palestin untuk mewujudkan ibu kota yang dimiliki bersama di Baitulmuqaddis. Apa salahnya untuk mengadakan demonstrasi secara aman untuk menentang keputusan Amerika Syarikat dan Israel sehingga dibunuh dengan begitu zalim sekali?
Apa-apa pun alasan, tindakan tentera Israel untuk menggunakan senjata api ke atas orang awam yang hanya mampu membalas dengan membaling batu adalah amat terkutuk dan tidak boleh diterima sama sekali. Tiada seorang pun rakyat Israel yang cedera. Kehilangan nyawa rakyat Palestin begitu ramai tidak patut berlaku lebih-lebih lagi dalam menyambut bulan Ramadan yang suci ini. DAP menyatakan solidariti dengan rakyat Palestin dalam perjuangan mereka menuntut keadilan dan kebebasan.
Lim Guan Eng