Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk penaiktarafan Stadium Mini, Permatang Rawa, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang pada November 2016. Kos keseluruhan penaiktarafan stadium tersebut dianggarkan berjumlah RM3,535,000. Kerajaan Negeri telah bersetuju membiayai RM2,400,000 daripada kos tersebut, manakala bakinya akan dibiayai oleh Syarikat AEI International Berhad. Kerja-kerja penaiktarafan ini melibatkan penaiktarafan padang bola sepak, penaiktarafan gelanggang tenis kepada gelanggang serbaguna, penaiktarafan clubhouse dan pembinaan lima (5) gelanggang futsal.
Kos keseluruhan penaiktarafan stadium sebanyak RM3,535,000 adalah untuk kerja-kerja penaiktarafan stadium dan komponen sedia ada sahaja dan tidak termasuk kos pembinaan gelanggang futsal. Kos pembinaan gelanggang futsal akan ditanggung sepenuhnya oleh Syarikat AEI. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Syarikat AEI International Berhad atas sumbangan mereka yang membuktikan kejayaan 4P Partnership – Public (Awam), Private (Swasta), People (Rakyat) & Profesional.
Penaiktarafan padang bola sepak di Stadium Mini Permatang Rawa melibatkan penggunaan rumput sintetik. Sejak tahun 2013, terdapat beberapa padang bola sepak di Malaysia telah dinaiktaraf dan menggunakan rumput sintetik berbanding rumput biasa yang kerap kali digunakan di kebanyakan tempat. Dalam era bola sepak yang semakin moden, pembinaan stadium atau padang yang menggunakan rumput sintetik ini ada relevannya kerana ia dapat menjimatkan kos penyelenggaraan.
Sehingga kini, terdapat dua (2) padang bola rumput sintetik di Pulau Pinang iaitu di Gelugor, bersebelahan pejabat Jabatan Laut Wilayah Utara dan di Bayan Lepas. Kerajaan Negeri berhasrat untuk mewujudkan padang bola sintetik yang ketiga di Pulau Pinang. Kerja-kerja penaiktarafan ini akan mengambil masa selama setahun.
Sekian, terima kasih.